Sunday, February 28, 2010

"MESYUARAT AGUNG PAS CAWANGAN TAMAN EHSAN KALI KE 22 - RENUNGAN KITA BERSAMA"

Bismillahirahmanirahim
Asalamualaikum wrt wbt


Firman Allah yg bermaksud:


"dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu" (Ali Imran: 159)


Firman Allah lagi yg bermaksud:


"Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna: dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami berik kepadaNya;" [Syura: 38]


TUJUAN MESYUARAT

Untuk mewujudkan satu fikir, satu hati dan satu kerja didalam menyempurnakan tuntutan usaha agama. Ini juga merupakan sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan satu perintah Allah subhanahu wataala yang amat penting.



FADHILAT MESYUARAT:

Berkat mesyuarat menyebabkan tertangguhnya sebarang azab yang hendak diturunkan dan akan mempercepatkan turunnya rahmat Allah taala.


Melalui mesyuarat kita akan mendapat berkat wahyu.

Tidak rugi mereka yang bermesyuarat dan tidak menyesal mereka yang bersolat istikharah untuk membuat
sesuatu pilihan dan keputusan.

Setiap keputusan hasil dari mesyuarat pasti ada kebaikan dan kejayaan.

Mereka yang menerima keputusan mesyuarat dan berazam untuk beramal denganya, Allah Subhanahu wataala akan menghantar malaikat untuk menyertainya.


ADAB-ADAB MESYUARAT

  1. Lantik seorang Amir untuk mengendalikan mesyuarat.
  2. Mesyuaratlah dengan penuh tawajjuh kepada Allah taala.
  3. Mesyuaratlah dengan kasih sayang dan berniat untuk mengamalkannya.
  4. Amir boleh meminta syor dari sebelah kanan dan tidak semestinya meminta syor dari setiap orang, tetapi maruah setiap orang mesti dijaga.
  5. Apabila Amir meminta syor dari kita, maka berilah syor dengan penuh kasih sayang dan lemah lembut, jangan ada niat untuk menyokong atau membangkang.
  6. Janganlah merasakan syor kita sahaja yang terbaik lalu mendesak Amir dan ahli jemaah untuk menerimanya kerana ini akan menjauhkan kita dari mendapat nusrah dari Allah taala.
  7. Sebaliknya berilah syor yang paling baik dari kita dan anggaplah syor kita yang paling lemah dari syor orang lain.
  8. Berilah syor dengan meletakkan kepentingan agama di depan dan kepentingan diri dan kepentingan dunia di belakang.
  9. Hargailah dan hormatilah setiap syor dari orang lain.
  10. Janganlah mentertawakan atau memandang rendah syor orang lain kerana setiap syor boleh mencetuskan idea yang lebih baik.
  11. Setiap orang semestinyalah ingat dalam dirinya bahawa syornya hanyalah mengikut hawa nafsunya sahaja. Maka jika ditolak hendaklah dia bersyukur dan jika syornya diterima maka hendaklah beristighfar kerana mungkin syornya akan mendatangkan keburukan dan kemudharatan kepada agama Allah subhanahu wataala.
  12. Janganlah mengeluarkan sesuatu syor yang kita sendiri merasakan syor itu akan membawa kepada perpecahan dan perbalahan.
  13. Syor diberi sebagai syor saya dan keputusan sebagai keputusan kita
  14. Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan ilham yang dikurniakan oleh Allah taala kepada Amir berkat kerjasama dan tawajjuh semua ahli mesyuarat.
  15. Keputusan yang dibuat tidak bergantung kepada jumlah syor yang majority atau minority tetapi jika syor majority itu boleh membawa perpaduan dan kasih sayang maka itu adalah dibenarkan.
  16. Amir hendaklah memikirkan setiap syor secara mendalam dan membuat keputusan dengan jujur dan ikhlas tanpa menimbulkan sebarang syak wasangka di kalangan ahli jemaah.
  17. Mesyuarat sebelum mesyuarat adalah khianat dan mesyuarat selepas mesyuarat adalah fitnah
  18. Seorang amir janganlah bersikap seperti seorang diktator di dalam membuat keputusan sebaliknya dia hendaklah selalu berbincang dengan ahli jemaahnya.
  19. Semua ahli mesyuarat hendaklah memberi kerjasama kepada Amir dan mentaati setiap keputusan yang Amir buat. Anggaplah bahawa syor merekalah yang sedang di amalkan bersama.
  20. Kalau seseorang merasakan bahawa syorlah yang paling betul maka dia janganlah sekali-kali mencebir atau mencemuh Amir sebaliknya dia hendaklah yakin bahawa keputusan Amirlah yang akan membawa kejayaan dan kebaikan.
  21. Jika sesuatu keputusan itu sangat benar untuk kita terima maka kita hendaklah sabar dan taat sebaliknya jika keputusan itu bersesuaian dengan kita maka hendaklah taat dan sabar.
  22. Sebarang perkara yang berlaku selepas mesyuarat adalah ditakdirkan didalam Qada dan Qadar Allah Subhanahu wataala, maka janganlah kita mengungkit atau memberi sebarang komen terhadap perkara tersebut.
Diharapkan apa jua keputusan hasil daripada Mesyuarat Agung PAS kali ini, dapat diterima semua dengan hati yang terbuka. Tahniah kepada semua yang menyumbang idea demi untuk kebaikan PAS Cawangan Taman Ehsan, tetapi, kita tidak perlu terkecil hati,terkilan atau marah sekiranya idea kita tidak diterima dalam mesyuarat, sebaliknya kita perlu rasa bersyukur kepada Allah SWT. Kerana, jika idea kita tidak dpt dilaksanakan kelak, kita adalah penyumbang kepada kemurkaan Allah SWT. Ingatlah, keputusan yang dihasilkan dalam mesyuarat lebih baik dan diberkati ALLAH SWT dari keputusan sendiri....

SELAMAT BERMESYUARAT!!!


Ikhlas daripada,
Saf Jawatankuasa Pemuda PAS Taman Ehsan

No comments:

Post a Comment