Wednesday, December 16, 2009

Penduduk lihat hukuman rejam


MOHAMED ditanam dalam lubang di Afgoye, pada Ahad lalu.

MOGADISHU - Sekumpulan militan Islam memaksa penduduk melihat mereka merejam seorang lelaki sehingga mati kerana berzina di Somalia, lapor sebuah akhbar semalam.

Kumpulan itu turut membunuh seorang lelaki kerana didakwa sebagai pembunuh.

Menurut beberapa saksi, hukuman itu mencetuskan pertempuran senjata antara kumpulan tersebut dengan kumpulan lain dengan mengakibatkan tiga militan terbunuh.

Kejadian berlaku di Afgoye, 32 kilometer dari sini pada Ahad lalu.

"Tiga anggota pejuang kumpulan Hizbul Islam terbunuh dan lima lagi cedera apabila mereka saling bergaduh antara satu sama lain," kata seorang pekedai, Halima Osman.

"Sebahagian anggota kumpulan itu mahu menangguhkan hukuman manakala yang lain menentangnya.

"Anggota-anggota itu kemudian berbalas tembakan.

"Kumpulan yang menentang hukuman itu tewas dan kemudian melarikan diri," tambahnya.


SEORANG lelaki menimbus tanah di dada Mohamed.

Sebelum dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang syariah, Hakim Osman Siidow Hasan memberitahu penduduk, dua lelaki itu mengaku melakukan kesalahan selepas siasatan dilakukan.

Seorang wanita yang mengaku melakukan hubungan seks di luar nikah turut dihukum 100 kali sebatan.

"Ini merupakan hari penghakiman," kata Osman kepada orang ramai.

"Kami telah melakukan siasatan dan mereka sudah mengaku," tambahnya.

Hukuman itu dibuat selepas pertempuran antara kumpulan yang menentang dan kumpulan yang mahu hukuman itu dilaksanakan dengan segera berakhir.

Seorang anggota keluarga mangsa yang dibunuh kemudian menembak mati penembaknya yang telah ditangkap.


BEBERAPA orang merejam Mohamed sehingga dia mati.

Pesalah zina tersebut, Mohamed Abukar Ibrahim ditanam di dalam lubang sehingga ke dada dan direjam sehingga dia mati.

"Saya tidak sanggup untuk melihatnya," kata seorang lelaki, Ali Gabow.

Menurutnya, seorang wanita yang mengaku berzina itu dihukum 100 kali sebatan kerana dia menyatakan dirinya masih belum berkahwin. - Agensi

Read more...

Thursday, December 3, 2009

Dr. M Dapat Lihat Sendiri Kemusnahannya Seperti Didoakan Almarhum Ust Fadzil Noor

Kini Mahathir baru terkejut dengan apa yang telah terjadi kepada UMNO dan ahli serta para pemimpinnya. Harakahdaily menyiarkan berita bahawa Mahathir berkata “UMNO kini busuk hingga ke ususnya“.

Ketika ramai di kalangan kita tidak hairan dan terkejut dengan apa yang kini telah menimpa UMNO, mungkin kita terkejut kerana Mahathir baru terkejut.

Suatu masa dahulu ketika Dr. M menerajui UMNO, Shahnon Ahmad pernah memperkatakan tentang kebusukkan apa yang ada di dalam usus UMNO, ramai pemimpin dan ahli UMNO menentang dan marah. Kemarahan mereka dibawa hingga ke dalam teks khutbah Jumaat (di seluruh masjid negeri Selangor ketika itu).

Apakah ini seperti yang pernah IB sebut sebelum ini – Al-Marhum Ustaz Fadzil Doa Mahathir Dipanjang Umur … ?

Namun kemusnahan yang dialami UMNO kini berpunca tidak lain dari Mahathir sendiri. Dalam era pemerintahannya yang hampir suku abad itu telah sedikit demi sedikit merosakkan UMNO dari sistem hingga ke orang-orangnya sekali. Kemusnahan ini tidak terbendung di dalam UMNO sahaja malah wabak ini berjangkit hingga ke parti-parti komponen BN yang lain dengan apa yang kita dapat lihat hari ini.

Malangnya bagi negara kita, kerana kekuasaan BN dan kekuatan mereka, kemusnahan ini turut terkesan kepada kita semua rakyat yang biasa hinggakan boleh juga kita lihat tercerna pengaruhnya di dalam pemikiran sesetengah ahli dan pimpinan parti lawan (yang mungkin sebelum ini mereka pernah bergelumang dalam UMNO dan terikut-ikut dengan budaya sana) – dan PAS pun terkesan sama.

Mungkin ini menjadi suatu cerminan untuk pemimpin PAS memerhati perilaku dan budaya kita supaya tidak terikut-ikut kemusnahan yang dilalui UMNO. -IbrahimBaba
Al-Marhum Ustaz Fadzil Doa Mahathir Dipanjang Umur …

Dalam perjalanan untuk hadir ke satu majlis pada tahun 2000, Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor pernah berkata kepada kami dalam kereta yang dipandu IB sendiri ketika itu, bahawa beliau mendoakan agar Mahathir dipanjangkan umur untuk melihat kemusnahan yang telah dilakukannya sendiri.
Apakah kini doa Al-Marhum mantan Presiden PAS itu dimakbulkan satu demi satu?

Kemusnahan institusi kehakiman, kerosakan akhlak remaja [dan orang-orang tua pun!], kebejatan sosial, rasuah berleluasa, asas ekonomi yang mula goyah … sebahagian besarnya ini adalah hasil tangan Mahathir sendiri. Kebanyakan rungutan yang Mahathir luah kini adalah berpangkal dari Mahathir sendiri. Pak Lah mungkin sebagai perlengkap sahaja.

Saban hari, satu demi satu isu dan pelbagai pembongkaran dihebahkan di dada akhbar dan lain-lain media untuk dihukumkan oleh masyarakat. Kini Mahathir seolah-olah sedang dibicarakan oleh rakyat umum. Walaupun Mahathir tetap menjawab namun suara-suara yang dulu pernah dikunci beliau sudah tidak lagi menikus dengannya. Tidak mungkin mampu Mahathir membela dirinya untuk segala tuduhan dan isu yang dilodehkan oleh mereka yang pernah berada di sekeliling beliau ketika berkuasa selama lebih 22 tahun.

Mereka yang dulu mendiam diri kini bangkit berani bersuara.

Senarai “pendakwa raya” “perbicaraan rakyat” Mahathir panjang dan kini bertambah setiap hari [tidak mungkin IB boleh lengkapkan senarai yang kian bertambah itu]. Pak Lah yang sebelum ini hanya sekadar menepis pelbagai tuduhan Mahathir kini telah kian lantang membongkar pula pelbagai dakwaan terhadap Mahathir.

Walaupun ada yang menyebelahi Mahathir dalam krisis kini untuk menjadi “peguam bela” namun ramai dari “peguam bela” ini sendiri turut terbabit dalam pelbagai kes yang dibongkar itu. Dan mereka ini adalah sebenarnya antara barisan “saksi” utama dalam “perbicaraan rakyat” ini.

Dalam membela dirinya, Mahathir turut, tanpa disedarinya sendiri, membongkarkan pelbagai perkara yang sebelum ini rakyat umum tidak tahu. Betul atau tidak kata-kata Mahathir itu dalam keadaan beliau tersempit – banyak yang kita boleh persoalkan. Sememangnya persaksian orang-orang seperti Mahathir ditolak dalam Al-Qur’an.

Apabila seseorang berbohong dia akan berbohong lagi untuk menutup pembohongan lamanya [when you compound a lie, you compounded the consequences]. Dan dia akan terus dengan pembohongan demi pembohongan. -IbrahimBaba Read more...

Monday, November 30, 2009

DOA TGNA TITIK TEORI RAHMAN?

oleh: anaksengat

Tahniah buat mufti Perak yang dah tak berapa larat tu.... tiba tiba macam dapat tonik bila isu doa TGNA di paparkan media. Terasa hiba melihat mufti yang kian di hujung usia. Kalau Allahyarham Datuk Ishak Baharum meninggalkan nama yang harum mewangi... doa saya moga mufti yang sempat semerbak dengan isu murtad itu kembali mencari redhoAllah di hujung usianya... begitu juga Noh Gadut yang sentiasa seharum bunga tahi ayam sejak kemunculannya...

Tulisan ini bukan fasal dua mufti, tetapi pasal doa yang digeruni. Memang lidah TGNA terlebih masin... apa sahaja yang keluar dari mulutnya akan menyakitkan orang yang sedang luka.... bila disimbah limau ...tambah perit la luka itu.... Walaupun orang yang terluka itu menahan pedih, namun kesakitannya dapat dilihat dari kenyataan "doktor" yang merawat dan menutup segala penyakit dan hanyir dari penyakit si pesakit itu.

Doa adalah senjata mukmin... Orang beriman akan sentiasa ingat tuhannya bila rase diri diinaya. Bukan juga tulisan ini bermaksud memberikan hujjah benarnya tindakan TGNA dengan doa yang dianggap kontroversi ini. TGNA sendiri bersedia berdepan dengan mana mana ulama demi mempertahankan hujjahnya. Sila ke depan wahai ulama "bilik hawa dingin" dan ulama terompah tandas. Kalau setakat ketua wanita umNO bahagian yang membaca kenyataan dari skrip yang disediakan , tak perlu bersama menyahut cabaran ini.

Bagi orang yang tak percaya doa, mereka tak peduli soal doa. Begitu juga doa yang diyakini tidak dimakbulkan Allah tentu langsung tak dipeduli. Doa Abu Jahal kepada Allah dalam perang Badar tak dipedulikan oleh tentera Islam. Begitu juga doa seorang ulama yang berniat jahat juga tidak digeruni sebagaimana kisah doa Bal'Am bin Baura yang memohon dihancurkan tentera nabi Musa setelah didesak kaumnya. Doa Bal'am menjadi "back fire" dimana lidahnya dipalingkan Allah menimpa kaumnya. Kisah Bal'am ini boleh dibaca dalam Tanbihul Ghofilin sekalipun sandarannya dikatakan agak lemah.

Apa yang ditakutkan oleh gerombolan umNO dan pengikutnya tak ubah seperti ketakutan gerombolan Nasrani Najran dalam peristiwa mubahalah. Walaupun Mubahalah ialah sumpah laknat dan bukan doa, tetapi ketakutan Nasrani Najran itu lantaran keyakinan mereka terhadap kebenaran Rasulullah dan salahnya mereka. Apa yang menakutkan umNO ialah menyedari kesalahan merekan dan benarnya TGNA. Doa TGNA bukan hanya doa orang yang benar dan doa seorang ulama, tetapi bersama doa itu ialah doa orang yang terinaya dari rakyat Kelantan yang dinafikan hak oleh Najib. Doa orang dizalimi taiada hijab antara mereka dengan Allah!

Sejak bila umNO sayang sangat dekat TGNA sampai bimbang beliau buat perkara yang bercanggah dengan islam kononnya? Cadangan saya pada umNO..cabar TGNA segera mendoakan kehancuran Najib kerana Allah maha Adil yang tidak akan menghukum hambanya yang tak bersalah... Ada berani???? Apakah Doa TGNA adalah yang terakhir untuk kehancuran umNO setelah sempurnanya teori RAHMAN Read more...

Wednesday, November 25, 2009

Monopoli individu saham Bernas, kerajaan terus dipersoal

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Ahli Parlimen Pakatan rakyat hari ini terus mempersoal kepekaan kerajaan berhubung monopoli saham Padi Beras Nasional Bhd. (Bernas) iaitu sebuah sektor strategik makanan utama negara oleh seorang tokoh perniagaan.

Jika sebelum ini, isu pemilikan 32 peratus saham Bernas oleh syarikat asing Wang Tak Co. Ltd. (Wang Tak) dipertikai, kini isu pengambilan milikan Wan Tak tersebut pula dipersoal.

Tradewinds (Malaysia) Bhd (Tradewinds), yang dimiliki oleh tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary telah diarah untuk membeli kesemua milikan Wan Tak, selepas kerajaan dikritik hebat kerana membiarkan syarikat berpengkalan di Hong Kong itu memegang saham tunggal terbesar Bernas.

Hasil pembelian 32 peratus itu, dan ditambah 55 peratus lagi milikan Budaya Generasi yang juga syarikat milik Syed Mokhtar, menjadikan jumlah keseluruhan milikan tokoh perniagaan tersebut adalah 87 peratus.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam satu sidang media di parlimen siang tadi berkata, monopoli pemilikan saham Bernas sebanyak itu oleh entiti berorientasikan keuntungan semata-mata telah memperjudikan sektor strategik makanan utama negara.

Lebih malang apabila rakyat yang akan menerima kesannya apabila hanya keuntungan diletakkan mengatasi kepentingan rakyat secara keseluruhan.

"Kita bimbang bahawa Syed Mokhtar yang memiliki bisnes yang begitu besar dan pelbagai dan akhirnya akan mempertaruhkan sektor pemakanan asasi ini untuk memastikan dia terus mendapat peluang-peluang bisnes yang lain," katanya.

Menurutnya lagi, beberapa kes pernah berlaku sebelum ini membuktikan kerajaan hilang kawalan terhadap Bernas.

Pernah sebelum ini Bernas menaikkan harga beras tanpa mendapat persetujuan pihak kerajaan, dan akhirnya kerajaan terpaksa mengarahkan pembatalan kenaikan tersebut.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan sendiri sudah hilang kawaklan dan tidak berupaya membuat pemantauan untuk memastikan dasar dan polisi padi dan beras negara ini dapat memberi kebaikan kepada rakyat secara keseluruhannya," katanya lagi.

Beliau turut menuntut kerajaan mengambil kembali hak permit import dari Bernas agar tiada sebarang penyalahgunaan berlaku.

Selain itu beliau juga menuntut agar Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diwujudkan dan berperanan semula mengendalikan industri beras negara ini dengan penuh tanggungjawab sosial dan menjamin hak petani dan pengguna.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution yang turut menyertai sidang media tersebut mempersoal adakah kerajaan mengambil kira dan bersedia dengan kaedah mengurangkan risiko yang terpaksa dihadapi oleh rakyat negara ini.

Menurut beliau sekira berlaku sesuatu masalah kepada perniagaan Syed Mokhtar, rangkaian bekalan beras negara juga turut akan terjejas.

Turut dipersoal adakah perpindahan milikihan pegangan saham tersebut memenuhi kalusa perjanjian pemegang saham yang memperuntukkan perlu kepada tawaran bertulis di kalangan pemegang saham sebelum ianya berpindah tangan.

"Jika dipenuhi bagaimana berlaku monopoli begitu besar ke atas seorang tokoh perniagaan?" soalnya.

Menurut laporan, pada tahun 1995, terdapat sembilan syarikat yang memiliki saham dalam Bernas.

Ianya termasuk hampir 38 peratus adalah syarikat berkaitan peladang, nelayan dan penanam padi.

Dengan pemilikan Syed Mokhtar sebanyak 87 peratus pada waktu ini, maka satu lagi persoalan timbul iaitu berkaitan nasib 38 peratus syarikat berkaitan peladang, nelayan dan penanam padi tersebut.

Sebelum ini kerajaan beberapa kali dibidas kerana membiarkan pemilikan 32 peratus ekuiti Bernas oleh syarikat Wang Tak .

Antara yang dipersoal adalah bagaimana sayarikat asing itu boleh mengumpul dan menaikkan pemilikannya daripada sekitar 18 peratus pada tahun 2007 kepada 32 peratus sekarang tanpa dikesan oleh agensi-agensi kawal selaras kerajaan seperti Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara mahupun Kementerian Kewangan.

Lazimnya juga kerajaan mempunyai dua orang wakil dalam Lembaga Pengarah Bernas dan sewajarnya mengetahui perkara itu.

Lebih menghairankan apabila tindakan Wang Tak itu juga 'tidak disedari' oleh kerajaan pusat melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan, memegang saham pilihan yang boleh ditebus (redeemable preference share) atau lebih kenali sebagai saham emas di dalam Bernas.

Saham istimewa itu memberikannya kuasa pembatal bagi melindungi kepentingan awam.

Dan turut dipersoal adakah Bursa Malaysia tidak tahu atau tidak dimaklumkan sedangkan semua jual-beli saham yang melebihi lima peratus saham berbayar sesebuah syarikat wajib dimaklumkan kepadanya.
Read more...

Nik Aziz Tidak Tolak Sudah Ada Pelapis

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak terdapat kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya sebagai Menteri Besar jika beliau melepaskan jawatan itu.

Beliau yang enggan membayangkan nama yang disebutsebut bakal menggantikannya itu, bagaimanapun memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri.

Nik Aziz juga tetap menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan sematamata kerana kemelut yang kini melanda dalam PAS atau atas desakan manamana pihak.

"Saya tidak akan melepaskan jawatan kecuali kerana uzur atau tua, tetapi pada masa ini belum sampai masanya lagi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di rumahnya, di sini malam tadi.

Nik Aziz berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS III Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam laman web Malaysian Insider yang dipetik sebagai berkata Nik Aziz perlu mengumumkan calon penggantinya bagi mengelak perebutan dan konflik dalam PAS Kelantan apabila beliau tiada. BERNAMA

Read more...

Dr Asri persoal pegawai JAIS 'kutuk' Hadi, Nik Aziz
Oleh: Azamin Amin Harakahdaily

Bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin mempersoalkan tindakan seorang pegawai JAIS yang terlibat dalam kes beliau, yang turut mengutuk Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pegawai terbabit yang juga AJK Pegawalan Aqidah Majlis Agama Islam Selangor dikatakan turut menyesatkan kedua-dua tok guru itu dengan tuduhan wahabi.

"Dii sini disertakan tulisan-tulisan pegawai JAIS yang terlibat dalam kes saya. Tulisan-tulisan ini dipetik dari blognya. al-Subki adalah nama penanya.

"Tulisan-tulisan menunjukkan beliau juga turut menyesatkan YAB Nik Aziz dan YB Hj Abd Hadi dengan tuduhan wahabi. 'Anak Pak Wahab' itu merujuk ke pengikut wahabi." kata Dr Asri kepada Harakahdaily.

Tinjauan Harakahdaily mendapati terdapat satu carian alsubki2.blogspot.com di bawah nama Ustaz Mahfuz Muhammad @Hj. Khalil, dipercayai AJK Pegawalan Aqidah Majlis Agama Islam Selangor terbabit.

Terdapat satu tulisan Mahfuz bertarikh 18 March 2009 dibawah tajuk "Dari blog Ahli Sunnah Wal Jamaah Diari - Mesyuarat Anti Wahabi" berhubung penentangan untuk mengekang gerakan fahaman Wahabi di negara ini.

"Untuk penjelasan lanjut, boleh layari laman blog sahabat saya al-subki.blogspot.com. yang membicarakan dengan lebih terperinci lagi mengenai fahaman ini. Atau sekiranya ada soalan, saya akan cuba memberi jawapan sebaik mungkin," tulis Mahfuz dalam blognya.

Harakahdaily bertanya kenapa blog asal al-subki ini telah bertukar, Dr Asri menjawab ianya disebabkan oleh satu kes yang berlaku, yang tidak mahu didedahkan beliau.

"Dia ini telah mengutuk dan menghina Ustaz Nik Aziz dan Ustaz Hadi lebih dulu daripada saya.

"Orang seperti ini tidak boleh dibiarkan, sehingga ramai marah dan jika dibiarkan akan semakin melampau," katanya yang merujuk keratan yang diemaikan kepada Harakahdaily.

Tiga keratan antaranya bertarikh 26 Jun 2008, membabitkan kutukan beliau terhadap Nik Aziz dan Abdul Hadi.

Salah satu keratan di bawah tajuk "Nik Aziz dan Allah duduk lendik atas arash" memuatkan petikan dipercayai daripada tulisan pegawai terbabit yang antaranya berbunyi :"Kalau di lihat sejarah beliau di Kelantan sejak pulang dari luar negeri telah dilihat membawa fahaman songsang..."

Dr Asri membangkitkan apakah pegawai JAIS 'dibiarkan' oleh Kerajaan Selangor dengan tujuan tertentu dan sewajarnya satu tindakan perlu diambil berhubung isu ini.

"Apakah ini pendirian Kerajaan Selangor, atau hanya JAIS?" katanya yang mahu perkara ini didedahkan untuk pengetahuan umum.

Read more...

Tuesday, November 17, 2009

Dr Mohd Asri perlu bersama PAS

oleh: Zolkharnain Abidin

Saya terbaca bahawa bekas Mufti Perlis ini pernah menyebut, dia hanya akan menyertai politik sekiranya ruang dakwah melalui saluran lain sudah tertutup. Maknanya dia tidak akan menyertai politik kerana ruang dakwah sampai bila pun tidak akan tertutup semuanya kerana ruang itu sangat luas.

Namun, tidak mustahil ruang yang luas itu boleh tertutup semuanya. Kamal Attarturk pernah menutup ruang dakwah serapat-rapatnya walau pun kesudahannya dia gagal.

Umno memang berminat dengan Asri. Semasa PRK Permatang Pauh, ada bayu berhembus dia bakal diletakkan untuk menentang Anwar tetapi tidak menjadi kenyataan. Terakhir, dia diuar-uarkan untuk dilantik sebagai YDP YADIM, itu pun tidak menjadi juga. Umum tahu, YDP YADIM sekarang dan sebelum ini adalah orang Umno, begitu halnya juga untuk masa akan datang.

Agak mustahil ruang dakwah di negara ini tertutup semuanya tetapi mungkin ada ruang-ruang yang menjadi ‘favourite’ Asri akan tertutup. Maka ketika itu tentu Asri tiada pilihan lain kecuali menyertai politik. Kalau begitu, parti mana yang akan dipilih oleh Asri?

Saya fikir, Asri tidak akan memilih Umno. Parti itu kurang serasi dengan jiwa dan semangatnya. Dia hanya agak mesra dengan Umno apabila dia menjadi Mufti Perlis sahaja. Kemesraan itu pun atas sifatnya sebagai penjawat awam yang perlu sentiasa menjaga hubungan baik dengan pemimpin kerajaan semasa.

Sebelum itu, nadanya, gayanya, penampilannya, adalah nada, gaya dan penampilan PAS. Semasa di luar negara juga, khabarnya dia antara individu yang rapat dengan pemimpin PAS terutama semasa kunjungan pemimpin PAS ke sana.

Maksudnya, PAS tidak asing sangat dengan Asri. Dan, rasa-rasanya pun dia lebih selesa, serasi dan mesra dengan PAS berbanding Umno. Cuma suasana dan persekitaran yang ada mendorongnya kelihatan agak rapat dengan pemimpin Umno.

Justeru, Asri wajar bersama PAS. Dia tidak perlu menunggu ruang dakwah tertutup semuanya kerana pada masa ini pun dia telah dibelenggu dengan ‘tauliah’ yang menjadi sebahagian ‘penutup’ ruang dakwah.

Kalau PAS boleh menerima orang Umno, orang JIM, orang ABIM, orang Tabligh, orang tidak berparti dan dalam proses untuk menerima orang bukan Islam pula sebagai ahli, mengapa PAS tidak boleh menerima Asri? Darahnya pernah panas dengan hawa perjuangan PAS. Kalau kini ia sudah sejuk pun, bukan sukar sangat untuk memanaskannya kembali.

Saya percaya ada sesuatu yang Asri mampu buat apabila dia bersama PAS. Paling kurang pun, dia pasti berjaya mengurangkan kemaruk Umno kepada orang agama sepertinya. Kalau dia bersama Umno pun, tidak ada apa sangat yang dia boleh buat kecuali diberikan jawatan di institusi tertentu dan dia dikongkong dengan budaya Umno. Kalau dia cuba menyanggah budaya itu, tentu dia akan dicantas.

Asri tidak akan mendapat tempat dalam hierarki Umno kerana budaya politik wang, ampu-mengampu, cantas-mencantas adalah budaya asing bagi Asri, sedangkan budaya itu selama ini serasi dengan Umno. Dia orang baik dan orang baik sepertinya tentu tidak bersedia mendedahkan diri kepada budaya songsang itu.

Bagaimana dengan ‘pembawaan’ Asri dalam soal tertentu yang berlainan daripada amalan masyarakat umum?

Itu bukan masalah. Dia buat semua itu berdasarkan ilmu. Lagi pun ‘kelainan’ itu bukan isu asas, ia hanya perkara cabang sahaja. Dalam PAS sendiri pun, misalnya PAS Perlis, ada kelainan dalam soal cabang dalam ibadat. Orang PAS yang baca qunut boleh solat di belakang orang PAS yang tak baca qunut. Tiada masalah pun.

Justeru, isu kelainan dalam soal cabang beberapa amalan ibadat tidak menjadi masalah kecuali kepada mereka yang taksub dan jahil. Ramai orang PAS Perlis malah dimana-mana sahaja sukakan cara ibadat sebegitu kerana itu bukan perkara baru tetapi perkara lama yang tidak perlu dipersoalkan.

Kalau ada orang yang tidak suka Asri pun, cuma kerana sikap dan pendekatannya sahaja. Dia agak agresif, kurang mengambil kira persepsi umum, kurang melayani suara orang-orang yang memang telah lama berpengaruh dalam masyarakat setempat dan sentiasa mencungkil perkara-perkara yang dijangka boleh menimbulkan kontroversi kepada umum. Itu sahaja.

Saya percaya, kalau dia bersama PAS, dia akan lebih fokus kepada soal-soal dan isu-isu pokok dalam perjuangan PAS. Dia tidak punya banyak masa untuk membangkitkan perkara-perkara yang selama ini menimbulkan kontroversi kepada umum seperti sekarang.

Kalau bersama Umno pun, dia akan bersikap begitu juga kerana dia tentu akan fokus kepada hala tuju politik Umno. Berbanding dia menjadi begitu jika bersama Umno, lebih baik dia bersama PAS. Sekurang-kurangnya PAS meletakkan agama sebagai asas perjuangan dan bersih daripada budaya songsang yang menjadi amalan Umno yang tidak serasi dengan Asri itu.

Mazhab Wahabi? Wahabi bukan mazhab, ia cuma sebuah gerakan ‘islah’. Kebanyakan pengikut Wahabi bermazhab Hanafi dalam fiqh atau selainnya. Gerakan itu tidak akan mendapat tempat di negara ini. Ia hanya wujud dan diterima secara eksklusif di kalangan kelompok tertentu sahaja. Lagi pun gerakan itu bukan merosakkan aqidah seperti kumpulan Ayah Pin misalnya.

Bagi saya, sudah sampai masanya Asri bersama PAS. Citra perjuangan dan dakwahnya akan lebih bersinar dan menyerlah jika dia bersama PAS berbanding dia ‘berseorangan’ ketika ini. Dia perlu bersama jamaah.

Dibimbangi jika dia terus ‘berseorangan’ seperti sekarang, dia bakal dibaham ‘serigala’ yang berkeliaran meninjau, mengejar dan menerkam mangsanya. Antara serigala itu ialah…

Read more...

Pemuda PAS kaji punca kemerosotan sokongan muda
oleh: Nazri Abdullah

Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat sedang serius mengkaji dakwaan kemerosotan sokongan anak muda terhadap parti itu seperti yang didedahkan Dr. Abu Hassan Hasbullah pada seminar politik 7 November lalu.

Ketuanya, Nasarudin Hassan berkata, Institut Kajian Polisi (IPS) dewan itu telah diarah membuat kajian terperinci terhadap perkara itu sebelum tampil dengan pelan strategik baru menarik anak muda bersama parti itu.

"Kita mengarahkan Institute Policies Study Dewan Pemuda PAS untuk membuat kajian susulan sebab dia (Dr. Abu Hassan Hasbullah) hanya menyebut angka tetapi tidak menyebut faktor, jadi kita nak tahu faktornya apa.

"Lepas tahu faktor, baru kita boleh menyusun pendekatan strategik," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Hasil kajian yang bakal diperolehi dalam sedikit masa lagi itu katanya, akan melihat sejauh mana keseriusan dakwaan itu dan pendekatan bagaimana harus diguna oleh DPP bagi memperbetulkan keadaan.

"Dalam masa terdekat IPS akan menyediakan laporan untuk melihat angka dan faktornya, sejauh mana kajian itu bertepatan.

"Atau masih kekal ataupun ianya adalah lebih kepada satu persepsi yang boleh diubah oleh beberapa tindakan politik dan seumpamanya," katanya lagi.

Kajian ini juga katanya sebagai respon dewan itu bertindak berdasarkan pandangan dari orang luar termasuk ahli akademik.

Ianya juga menunjukkan bukti mereka bersikap terbuka dan mendengar sebarang pandangan dari luar.

DPP Pusat pada waktu ini juga beritahunya sedang giat mempromosikan slogan "Orang Muda Geng Kita" bagi menarik lebih ramai anak muda negara ini bersama dengan PAS.

Semua lajnah dan jabatan dewan itu sedang digerakkan secara maksimum bagi mencapai matlamat tersebut.

Selain menarik anak muda menyokong PAS, kempen itu juga bertujuan memastikan mereka yang layak mengundi, didaftarkan dengan SRP dan pada masa yang sama dialu-alukan mendaftar sebagai ahli PAS

Sehingga kini, kempen tersebut telah berjaya dilancarkan di Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Kedah dengan penyertaan yang sangat memberangsangkan.

Pada seminar memperkasa PAS, 7 November lalu, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa UIA, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dan Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya (UM) Dr Abu Hassan Hasbullah telah dijemput sebagai panel memberi pandangan terhadap PAS.

Mereka antara lain mendedahkan bahawa sedang berlaku kemerosotan sokongan terhadap PAS khususnya dari kalangan orang muda dan memerlukan perubahan segera sebelum berlaku Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sehubungan itu, DPP Pusat sekali lagi mahu menjemput kedua-dua tokoh tersebut bagi mendapat gambaran lebih jelas berhubung dakwaan mereka.

Pertemuan susulan dengan Abdul Aziz bagaimanapun telah selesai diadakan pada minggu lalu.

Manakala pertemuan dengan Abu Hassan Hassan pula dijadual Disember ini.

Read more...

Thursday, November 5, 2009

Justifikasi Seorang Teman
oleh: Ust Hasrizal - www.saifulislam.com

012995422

Saya tidak pasti apa yang mahu dicatat.

Menulis tanpa ketenangan fikiran, bukanlah sesuatu yang baik.

Terlalu mudah untuk dikesan pada apa yang diluahkan. Ternampak fikiran yang tidak tenteram, hati yang kusam dan pandangan yang kelam.

Tetapi diam bukanlah ubat kebah pada jiwa yang tidak tenteram. Nyatanya bagi orang yang berehat dengan menulis, selagi tulisan belum dilangsaikan, tiada rehat dan tiada tenteram untuk selimut malam.

DI BUMI SYAM

Di Bumi Syam, saya bukanlah insan yang paling rapat dengan Ustaz Asri. Sesuai dengan jarak universiti pengajian saya yang ratusan batu di seberang lembah kering membelah sahara, pertemuan kami yang terbaiknya hanya sekali seminggu. Teman-teman lain yang ‘bertuah’ dikurniakan peluang mengaji di Amman, lebih berkongsi talam hidangan dan tikar bualan bersama Ustaz Asri.

Namun entah di mana titiknya, antara saya dan beliau ada sesuatu yang lebih daripada kenalan.

Teringat saya ketika pulang bercuti ke Malaysia pada suatu ketika, saya berkunjung ke Taman Melewar sebagai pemerhati Muktamar. Seorang super senior menyampuk saya, “hah, Hasrizal, anta orang Asri kan? Dengar khabar dia sekarang ini sudah masuk UMNO. Apa cerita?”

Muka saya merah padam.

Tetapi sentuhan Bumi Syam sudah banyak meredakan baran saya yang banyak mengundang susah. Saya menggigit lidah dan membalas ringkas, “kalau mahu tahu tentang Ustaz Asri, tanyalah yang empunya diri. Ana tidak tahu menahu!”

Soalan, “Asri apa khabar?” sangat sinonim dalam pertemuan saya dengan teman lama. Ia mungkin sedikit sebanyak menggambarkan siapa Ustaz Asri dan siapa saya. Terlalu rumit untuk dicoret, hanya yang berpada untuk menukil ibrah.

PERTEMUAN PERTAMA

Cuti musim sejuk selepas tamat semester satu di awal pengajian saya, kami pelajar baru berpeluang ke Makkah menunaikan ibadah Umrah. Perjalanan sehari semalam dengan bas merentas padang pasir, banyak kenangan yang masih segar dalam lipatan.

Saya teringat di suatu petang, semasa duduk di celah-celah orang lain di pinggir rumah tumpangan kami di sisi al-Masjid al-Haram, perbualan kami terhenti apabila seorang pelajar yang memperkenalkan dirinya sebagai penuntut Malaysia di Makkah menyergah Ustaz Asri.

“Anta Wahabi!” kata pelajar itu.

“Wahabi itu apa?” tanya Ustaz Asri semula kepadanya.

“Tu, yang Ibnu Taimiyah pegang tu, Wahabi le” kata pelajar tersebut dengan penuh yakin.

“Ibnu Taimiyah mati lama sebelum Muhammad bin Abdul Wahhab lahir. Macam mana boleh Ibnu Taimiyah jadi Wahabi?” Ustaz Asri menambah soalan.

Pelajar itu tidak menjawab dan terus meninggalkan kami.

Saya sendiri terkejut dan terpinga-pinga.

Di dalam perjalanan pulang ke Jordan, kami sepi merenung ke luar. Cuaca yang semakin sejuk tatkala semakin bergerak ke Utara menyebabkan sesetengah kami selsema.

“Nak berhenti di mana ni? Rasanya tak ada masjid depan-depan tu,” kata ketua rombongan.

Subuh sudah lebih setengah jam masuk, dan kami tidak bertemu dengan masjid untuk singgah mengadap Allah. Akhirnya semua bersetuju agar bas berhenti sahaja di tepi jalan dan kami bersolat di tanah lapang.

Subhanallah…

Cuaca yang amat sejuk menggigit kami hingga ke tulang. Tidak mampu menjamah air, kebanyakan kami bertayammum dengan tanah mengelakkan diri daripada mudarat. Solat Fajar segera didirikan kerana mentari juga sudah hampir menyimbah siang. Pengalaman bersolat di padang pasir yang sejuk, kering dan penuh batu sungguh nostalgia.

Namun saya tidak lupa kepada teguran Ustaz Asri kepada sahabat saya yang mengimamkan Solat Fajar itu.

“Anta, orang solat separuh nyawa menahan sejuk, anta nak buat Qunut juga ya!” kata Ustaz Asri.

Sahabat saya tersengih.

Sudah belajar, dan sudah faham perbahasan sekalian mazhab tentang persoalan Qunut di Solat Fajar itu. Tetapi mengubah kebiasaan, berbeza-beza antara seorang dengan seorang yang lain.

ILMIAH DAN ILMIAH

Itulah muqaddimah imej Ustaz Asri kepada saya, pelajar tahun satu di tahun 1993 itu. Pergaulan kami dengan beliau banyak terisi dengan wacana yang kata kuncinya cuma satu, ILMIAH.

Ilmiah dalam menadah kitab, ilmiah semasa hadir ke kuliah, ilmiah semasa berbahaskan khilaf, ilmiah juga dalam soal dakwah dan berjamaah. Uniknya ialah, Ustaz Asri tidaklah bersendirian berpegangan demikian. Malah ia adalah pegangan sesiapa sahaja di Jordan yang serius dengan pengajian. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ketika kami di tahun satu pengajian, kami sentiasa mengagumi para senior yang kemas ilmu pengetahuannya.

Rata-rata, kebanyakan senior ini adalah daripada kalangan mahasiswa yang membuat pengkhususan di dalam Sastera Arab, tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia (lebih sinonim disebut KP). Pelajar persendirian dan tajaan Yayasan Negeri juga ramai yang bagus. Tetapi rata-rata pemegang biasiswa KP lebih menonjol sebagai pelajar yang berwibawa. Sebabnya mudah, Kementerian Pendidikan Malaysia hanya menaja pelajar cemerlang SPM dan STPM untuk menyambung pelajaran di Jordan. Maka hampir kesemua mereka yang saya kenali, adalah pelajar yang mendalam pengetahuan tentang ilmu Syariah, biar pun mereka membuat pengkhususan utama di dalam Kesusasteraan Arab.

Tambahan pula, ketika itu University of Jordan masih menawarkan program yang membolehkan pelajar membuat majoring di dalam satu bidang, kemudian minor di dalam satu bidang yang dipilih. Ramai yang saya kenal ketika itu, mereka mengambil Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Arab dengan minoring in Shariah.

Saya tidak pasti di tahun manakah program tersebut dimansuhkan, tetapi ia berlaku di awal pengajian kami, generasi pelajar tahun satu tahun 1993.

Tetapi Ustaz Asri adalah Ustaz Asri. Sesuatu yang tidak pernah berubah bermula daripada hari pertama saya mengenalinya. Dua sifatnya yang paling menonjol ialah beliau sentiasa berpendapat berlapikkan hujah, dan sifat peribadinya, pantang dicabar.

Adakalanya kami jadi letih dengan asakan-asakan yang ditujukan kepadanya kerana sebahagiannya lebih bersifat ’sengaja mencari penyakit’.

AJAR MENGKAJI SYIAH

Antara jasa terbesar Ustaz Asri kepada saya, ialah pada mengajar saya cara mengkaji tentang Syiah.

Semasa di sekolah menengah, saya memiliki gambar Khomeini di dalam dompet. Tidak pernah mengambil tahu tentang Syiah sebagai Mazhab Aqidah dan Fekah, saya mengagumi Khomeini pada siasah dan revolusinya. Regu berbual tentang Syiah pula adalah Ustaz Maszlee Malik yang merupakan salah seorang pelajar Rancangan Bersama JPA – Petronas ketika itu. Kami ditempatkan di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) untuk kursus intensif Bahasa Arab sebelum berlepas ke Jordan, Morocco dan Mesir.

Selepas Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menganjurkan Seminar Taqrib Antara Mazhab Sunni dan Syiah di Kuala Lumpur pada tahun 1993, KUSZA menganjurkan sebuah seminar berkaitan topik yang sama, tetapi lebih merupakan reaksi kepada seminar anjuran PUM itu. Panelis berdua, terdiri daripada Sheikh Ahmad al-Khatib, Pensyarah di Akademi Islam Nilam Puri yang berasal dari Iraq, bersama Maulana Asri Yusuf , pendakwah bebas yang terkenal pada masa itu.

Seminar itu telah memukul minda saya pada tahap yang luar biasa. Bersama segala hujah yang dikemukakan, saya tidak mampu lagi untuk mempertahankan Khomeini, baik dari segi pendirian politik, apatah lagi aqidah dan fekah. Keributan minda dikongsi bersama Maszlee Malik dan kami berbual hingga dinihari bermalam-malam selepas seminar itu. Namun pendirian masih belum konklusif. Masih membaca dan mengkaji.

Hanya setelah tiba di Jordan, kecelaruan minda saya tentang Syiah dibantu penyelesaiannya oleh Ustaz Asri. Beliau tidak mendoktrinkan saya dan teman-teman. Apa yang dilakukannya hanyalah pada memperkenalkan kitab-kitab induk Syiah seperti Usul Min al-Kafi, membaca sendiri tulisan Syiah tentang kepercayaan mereka, dan seterusnya menganalisa secara mantiq dan logik tentang idea-idea yang dikemukakan.

Setelah Ustaz Asri menamatkan pengajian, saya masih konsisten mengutip kitab-kitab Syiah yang terselit di celah lautan buku di Bumi Syam, untuk meluaskan lagi kefahaman tentang pendirian yang sejahtera mengenai hal ini.

Itu adalah sebahagian daripada kesan yang ditinggalkan oleh Ustaz Asri kepada saya.

Cuma, dengan tempoh masa lebih dua tahun saya mendampingi beliau, saya tidak menjadi beliau. Yakni, saya tidaklah sentiasa menyetujui pandangannya pada setiap masa, kerana itulah intipati nasihat beliau sendiri kepada saya. Jangan bertaqlid. Benarkan yang benar, hindarkan yang batil.

Hubungan yang akrab di antara Ustaz Asri bersama Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, serta sejumlah ilmuan terkemuka di Jordan juga banyak memercikkan peluang kami untuk mendapatkan sentuhan didikan Ulama terbilang ini. Kepulangannya banyak menghilangkan peluang yang satu ini.

SELEPAS BELIAU PULANG

Di era pertengahan 90′an, Jordan dan Malaysia itu amat jauh kedudukannya. Tanpa telefon bimbit dan internet, perpisahan kami dengan Ustaz Asri, sempat disejukkan dengan kesinambungan halaqah kami bersama ‘klon’ Ustaz Asri yang sempat ditinggalkan iaitu Ustaz Abdul Rasyid Idris, senior setahun saya di SMAP Labu juga di Jordan. Beliau kini memimpin Dewan Pengajian Ibn Qayyim di Pulau Pinang.

“Lepas Ustaz Asri balik Malaysia ni baru tenang sikit kepala kita, kan?” Ustaz Rasyid berseloroh.

Kami ketawa.

Benar.

Banyak kontroversi yang terpadam selepas kepulangan Ustaz Asri ke Malaysia. Tetapi ketiadaan kontroversi itu turut sedikit sebanyak menghambarkan wacana mingguan kami.

Selepas Ustaz Rasyid juga menamatkan pengajian, hubungan kami hanya diperbaharui apabila saya berpeluang balik bercuti ke Malaysia.

Ketika itu Ustaz Rasyid mengajar di Parit Buntar, manakala Ustaz Asri masih mengajar di SMK Raja Tun Uda di Pulau Pinang. Lucu juga mengenangkan Ustaz Asri letih melayan kerenah anak muridnya yang pelbagai ragam. Saya menghabiskan masa beberapa hari bermalam di rumah beliau di Mengkuang. Ketika itu Dewan Pengajian Ibn Qayyim hanyalah berupa sebuah dewan sederhana besar di sisi rumah Ustaz Asri.

Ketika itu juga saya sempat menemankan Ustaz Asri berceramah di Penjara Pulau Pinang. Beliau bercerita kepada banduan tentang luasnya rahmat Allah dan menggalakkan banduan berqiamullail sebagai proses taubat. Tatkala sampai kepada sesi soal jawab, seorang banduan melontarkan soalan cepumas kepadanya.

“Tadi ustaz kata pada sepertiga akhir malam, Allah turun dan membukakan tangan-Nya bertanya siapa daripada kalangan hamba-Nya yang mahukan keampunan. Saya nak tanya, tangan Allah tu apa?” tanya banduan berkenaan.

Saya tersentak dengan soalan itu. Mengetahui akan manhaj Ustaz Asri, saya menanti bagaimanakah jawapan balas Ustaz Asri kepada si penyoal, yang merupakan seorang banduan, dengan segala kekurangan yang ada pada akses mereka kepada ilmu pengetahuan.

“Tangan Allah itu maksudnya rahmat Allah!” kata Ustaz Asri.

Saya tersenyum mendengar jawapan itu. Ustaz Asri yang dilabel tegas dengan manhaj pegangannya, tidaklah pula sampai tidak menoleh ke kiri dan kanan untuk membaca suasana. Takwil berlaku apabila ada keperluan yang boleh dijustifikasikan oleh Syara’.

Itu pemerhatian saya.

“Ustaz, ni saya nak tanya satu perkara, betul ke mengubah-ubah hukum Allah itu berdosa?” tanya seorang lagi banduan.

Kami terkejut.

“Dia nak tanya tentang hudud ke?” bisik Ustaz Asri kepada saya.

“Agaknya!” saya membalas.

“Betui la tu!” jawab Ustaz Asri kepada banduan berkenaan dengan loghat Pulau Pinangnya.

“Kalau macam tu, ni saya nak tanya, apa pasai ada satu benda ni dulu Ulama kata makruh, la ni Ulama kata Haram pula? Tidakkah ini mengubah-ubah hukum Allah!” tanya banduan tersebut dengan penuh semangat.

Semua orang ketawa pecah perut.

Rupa-rupanya banduan itu mahu bertanya tentang rokok. Isu panas di penjara ketika itu.

“Dulu, Ulama bandingkan rokok ni dengan bawang, dengan petai, dengan jering. Bau busuk. Itu yang dihukumkan makruh. La ni Ulama kaji dalam lagi. Rupa-rupanya rokok ni bukan takat busuk, malah membunuh. Pakcik kalau anak umoq 9 tahun hisap rokok pakcik buat apa?” jawab Ustaz Asri sambil melontarkan soalan kepada banduan tersebut.

“Uih, saya lempang dia!” katanya.

“Hah, tau pun merokok tak elok!” simpul Ustaz Asri.

Seluruh hadirin ketawa. Penjara gamat dengan sesi soal jawab yang sungguh unik.

Kenangan itu masih jelas di kepala saya. Peristiwa di penjara itu memperlihatkan satu contoh kepada budak mentah seperti saya bahawa dakwah harus sesuai dengan mad’u. Ustaz Asri banyak membantu daripada sudut itu.

Mungkin kenangan paling bermakna, ialah semasa saya menemankan Ustaz Asri pergi ke rumah al-Marhum Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS ketika itu. Ustaz Asri mahu menjemput al-Marhum Ustaz ke majlis perkahwinan beliau dan saya sedia maklum akan hubungan yang amat akrab di antara al-Marhum dengan Ustaz Asri.

Tatkala saya dikejutkan dengan berita kematian al-Marhum Ustaz Fadzil Noor, antara yang paling awal terlintas di fikiran saya ialah, “siapa lagi yang boleh nasihatkan Ustaz Asri kalau Ustaz Fadzil sudah tiada!”

PENDIRIAN SIASAH

Benar.

Selepas masa berlalu, banyak yang terjadi.

Selepas pulang ke Malaysia tamat mastautin di bumi Ireland, saya ada dikunjungi oleh Ustaz Asri yang datang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Seminar Usul Fiqh yang diadakan di Bangi. Beliau hadir bersama Ustaz Arief Salleh iaitu teman serumah saya semasa kami mengaji di Jordan dahulu.

Ustaz Arief sudah menjadi Pensyarah di UTM Skudai..

Manakala Ustaz Asri baru selesai menamatkan pengajian peringkat PhD beliau di UIAM dan berkhidmat sebagai pensyarah di USM Pulau Pinang.

Kami berbual tentang perkembangan semasa. Turut terselit adalah isu tentang kepimpinan PAS yang dilihat lemah pasca kekalahan teruk di dalam Pilihanraya Umum ke-11 tidak lama sebelumnya. Saya menegaskan bahawa PAS itu ada hampir sejuta ahli dan jika kita nampak kelemahan mereka, kita mesti menjadi sebahagian penyelesaiannya.

“Takpa la. Ana doakan anta!” kata Ustaz Asri dengan nada berseloroh.

“Takkan doa aje. Buatlah apa yang patut!” saya menambah.

Kami tidak bersembang berat kerana ia lebih kepada pertemuan untuk menjalin kembali silaturahmi yang terputus selepas lama mastautin saya di Eropah.

KEUNIKAN JORDAN

Uniknya Jordan.

Jordan dan sistem pengajiannya tidak pernah mendoktrinkan pelajarnya untuk menjadi Wahabi, Salafi, Sufi, Syafie, Orientalis atau apa sahaja.

Jordan mengamalkan sistem pengajian terbuka. Segala mazhab disentuh dan didedahkan. Pelajar digalakkan mengkaji dan pensyarah jarang sekali cuba mendominasi pelajar agar terikat dengan aliran masing-masing. Justeru ada pensyarah kami yang Khalaf, ada yang Salafi, ada yang Sufi, ada juga klon orientalis dari Sorbonne Perancis.

Tetapi satu titik temunya ialah, ILMIAH.

Titik musuhnya pula ialah, TAASUB.

Pelajarlah yang kemudiannya memilih untuk membentuk dirinya menjadi apa, pasca menamatkan pengajian di Jordan. Oleh sebab itu, ada graduan Jordan yang Salafi, ada yang keras Syafie dan taasub Sufi, ada yang mati hangus pun PAS juga, tak kurang pula yang bersalin bantal berjodohkan UMNO. Malah ada juga yang bermastautin di wacana Islam Progresif. Senang cerita, macam-macam ada.

Suntikan pengajian di Jordan menjadikan graduannya bebas berkembang. Pendedahan yang diberikan tentang aliran-aliran yang sudah sekian lama wujud di dalam tradisi keilmuan Islam, turut menyumbang kepada pendirian mu’tadil (bersederhana) pada asatizah keluarannya. Hanya segelintir yang tertonjol kekerasannya dalam apa sahaja aliran yang diwakili. Ia pilihan peribadi, bukan acuan universiti atau indoktrinasi.

BERBEZA PENDIRIAN

Ustaz Asri yang sudah bergelar doktor, terus maju di bidangnya sama ada di medan dakwah mahu pun kesarjanaan akademik. Saya teruja melihat sambutan yang diberikan oleh masyarakat kepada pendekatan dakwah beliau, terutamanya daripada kalangan anak muda dan siswazah universiti.

Dakwah Ustaz Asri juga meluas di kalangan profesional kerana apa yang dikemukakannya sangat bertepatan dengan orientasi kelompok profesional yang datang daripada latar belakang pengajian Sains yang berorientasikan bukti. Jika dalam pekerjaan mereka, kelompok ini sangat evidence based oriented, sudah tentu mereka mahukan benda yang sama dalam soal beragama.

Seruan tajdid minda Ustaz Asri ialah pada mengisi kedahagaan kelompok ini kepada beragama secara berdalil, bukan sekadar ikut-ikutan.

Namun ada sekelumit kekhuatiran di minda saya. Di suatu ketika, Ustaz Asri turut menerima sambutan hebat daripada kelompok yang lazim dikaitkan dengan Islam Liberal. Saya pernah melontarkan saranan bahawa gerakan Tajdid dan Islam Liberal memang ada satu titik pertemuan iaitu pada menolak dan menentang tradisionalisma. Akan tetapi Tajdid dan Islam Liberal selepas bertemu di titik itu mahu berangkat ke destinasi yang berbeza. Saya pernah menyuarakan kerisauan tentang hal ini. Jangan terlarut dengan sokongan kelompok urban yang satu ini.

Ketaksuban anak muda yang mendefiniskan diri mereka sebagai orang Ustaz Asri juga menerbitkan kekhuatiran yang sama.

Saya percaya, pemurnian manhaj adalah sesuatu yang sepatutnya berada di semua tempat. Ia tidak harus membentuk satu kelompok baru kerana pembentukan kelompok baru dengan label ‘geng Sunnah’, ‘puak Tajdid’ dan lain-lain, sama ada yang dinamakan sendiri oleh pendukung manhaj tajdid ini, mahu pun yang digelar oleh orang lain, kesemua perkembangan ini menyebabkan musuh-musuh baru tercipta.

Saya tidak mahu terbabit dalam pengelompokan ini.

Rasa tidak selesa itu semakin bertambah apabila Ustaz Asri semakin lunak pandangannya terhadap parti memerintah, berbeza dengan bahasa saranannya kepada PAS. Perbezaan pandangan menjadi nyata ketika berlakunya kekecohan akibat demonstrasi BERSIH pada November 2007. Ketika itu saya mengirimkan email kepada beliau, sebagai seorang sahabat kecil yang mengasihinya, seorang saudara seperjuangan.

Teguran saya berkisar pada saranan agar beliau melembutkan bahasanya ketika menegur PAS. Sesungguhnya PAS bukan lagi satu, dua atau tiga muka yang tidak disenangi beliau. Sebaliknya PAS ialah satu gerakan yang dianggotai oleh hampir sejuta ahli. Sindiran beliau menimbulkan provokasi, menjadi trend anak-anak buahnya di kampus dan ini menyulitkan apa sahaja nasihatnya untuk diterima.

Malah saya juga menyebut, “jika ustaz dilantik menjadi Mufti selepas Pilihanraya tahun depan, ana ucapkan tahniah siap-siap. Tetapi jika ustaz dilantik menjadi Mufti sebelum Pilihanraya, ana tunggu dan lihat dahulu, kerana tidak pasti siapa yang mempergunakan siapa”

Email itu ditulis dengan berat hati.

Namun ia ditutup dengan pesanan, “ketahuilah ustaz, mungkin orang yang paling tajam mengkritik ustaz adalah orang yang paling mengasihi ustaz, berbanding orang yang memuja dan memuji di sekeliling kita. Ana hanya seorang sahabat, dan kekal sahabat sebelum dan selepas kritikan ini.”

Entahlah email itu sampai dan dibaca atau tidak.

Tetapi semenjak BERSIH 2007, saya memang dilihat sebagai seorang yang tidak bersetuju dengan Ustaz Asri, malah keletihan kerana terpaksa bertempur dengan ‘pengikut’ yang tidak senang dengan kritikan saya.

INSIDEN PENANGKAPAN

Berita penahanan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini tidak mengejutkan saya. Sebelum Ustaz Asri, Dr. Abdullah Yasin pernah ditahan. Ramai juga tokoh lain turut berdepan tindakan yang sama.

Tetapi penahanan Ustaz Asri amat mengganggu fikiran.

Apatah lagi pada memikirkan di JAIS, JAKIM malah YADIM sendiri, ada ramai wajah teman sepengajian semasa di Jordan dahulu. Ada yang sempat bersama dengan Ustaz Asri, ada yang sekadar mendengar dari jauh. Tetapi lubuk ilmunya satu. Bumi Syam, Bumi Isra’ yang penuh barakah itu.

Justeru mengenangkan wajah-wajah teman, berat untuk saya fikirkan ada sahabat yang mahu menikam sahabatnya sendiri.

Makan makanan yang sama, basah dengan hujan dari langit yang sama, tidur berselimutkan sejuk malam yang sama, kering oleh simbahan bahang mentari yang sama, mengaji di bawah bumbung ilmu yang sama, selepas bertuhankan Tuhan yang sama dan bernabikan Rasul yang sama. Sukar sekali untuk dibayangkan ada yang mahukan mudarat dan kehancuran pada sahabatnya sendiri. Jauh benar akhlaq Rasulullah, Alul Bait, Imam Syafie, Imam Nawawi, Imam Abu Hasan al-Asy’ari, Imam Ibnu Taimiyah dan Imam al-Ghazzali daripada kehendak yang sebegitu, melainkan nafsu dan dendam kesumat sahajalah terbitnya perasaan sedemikian rupa, jika ada.

Saya tidak mampu untuk membuat andaian atau spekulasi kerana apa yang tersirat mungkin terlalu besar berbanding dengan apa yang tersurat.

Tip of the iceberg, kata orang putih.

Tetapi menggunakan kekerasan untuk menguruskan perbezaan pandangan, ia terlalu sukar untuk ditelan. Ia meliarkan masyarakat dan memberanakkan kekeliruan.

Di sepanjang sejarah umat, pemikiran yang tidak dipersetujui, ditundukkan dengan debat dan hujah. Muktazilah, Jabariah dan Qadariah ditundukkan dengan debat dan dukungan hujah. Ada pun menggunakan law enforcement, ia hanya berlaku selepas jalan hujah bertemu mati.

Semoga kekalutan yang timbul, dapat diselesaikan dengan sebaiknya. Wa imma isunya ialah pertembungan Wahabi dan tradisionalis, atau politik kepartian dan apa sahaja, semua ibrahnya pulang sebagai manfaat yang membangunkan umat.

42_13“…Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya…” [al-Syura 42: 13]

SAJAK KENANGAN

Pada tahun 1994, Ustaz Asri ada menulis sebuah sajak. Ia diabadikan di buku cenderamata majlis sambutan pelajar baru. Saya meminta izin agar sajak itu dikembangkan dan kemudian dijadikan lirik sebuah nasyid.

Hasil uzlah saya di sebuah bilik, sajak itu ditajukkan sebagai TETAMU DATARAN SYAM, nasyid dendangan saya yang kekal disebut-sebut oleh setiap mereka yang singgah bertamu di Bumi Syam hingga ke hari ini.

Semasa nasyid tersebut mahu dimasukkan ke dalam album Gemilang kumpulan Usrah al-Firdaus pada tahun 1995, saya berkali-kali menegaskan bahawa penulis lirik nasyid itu adalah Mohd Asri Zainul Abidin dan Hasrizal Abdul Jamil. Namun disebabkan oleh pelbagai kontroversi yang sangat sinonim dengan susuk tubuh manusia bernama Asri, permintaan saya ditolak dan nasyid itu direkodkan penyanyi dan pencipta lagunya sebagai Hasrizal Abdul Jamil, demikian juga penulis liriknya.

Saya tidak mempunyai banyak mutiara untuk dihadiahkan sebagai tanda prihatin dan ingatan saya kepada Ustaz Asri. Hanya nasyid itulah yang saya nukilkan kembali di sini, sebagai tazkirah buat diri saya, Ustaz Asri, dan pegawai-pegawai JAIS, JAKIM atau YADIM yang menadah barakah di Bumi Syam:

TETAMU DATARAN SYAM

Tetamu di Dataran Syam ini
Harus gagah seperti Abu Ubaidah
Tanah yang gersang disuburkan
Dengan darah jihad dan jiwa pahlawan

Di celah pohon zaitun yang rendang
Bersemadi Syuhada’ pahlawan Islam
Menanti dan terus menanti
Hadirnya barisan waris perjuangan

Medan ini medan yang susah dan payah
Sesusah Medan Mu’tah di puncak sana
Dan penghuninya juga harus gagah
Segagah Kota Karak perakam sejarah

Di sinilah kau akan membina jiwamu
Jiwa pembela maruah agama
Berbekalkan ilmu berpandukan iman
Islam pasti akan kau merdekakan

Ketibaanmu adik-adikku
Kusambut dengan seribu pengharapan
Agar kau menjadi insan berilmu
Dan pembela nasib agamamu

Hatimu perlu cekal dan tabah
Sesabar tiga Sahabat Rasulullah
Jiwamu perlu subur dengan iman
Sesubuh Dataran Syam bertuah

Kita diajar cintakan kematian
Bagai musuh kita cinta kehidupan
Maka di Bumi Isra’ ini tempatnya
Kau mengenal jihad dan perjuangan

Tetamu Dataran Syam engkaulah harapan
Untuk ummah melihat masa depan
Sebagai Ulama’ sebagai pejuang
Islam pasti akan kau merdekakan

Selamat Datang Tetamu Dataran Syam

Lagu / Lirik / Nyanyian : Hasrizal Abdul Jamil
Persembahan: Usrah al-Firdaus
Album: Gemilang 1995

Justifikasi seorang teman.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Read more...

Friday, October 30, 2009

Krisis Dalaman Pas Menurut Dr Mohd Asri

Walaupun saya mempunyai perbezaan pendapat dengan PAS dalam perkara-perkara tertentu, namun saya akur kewujudan PAS dalam kerangka negara demokrasi adalah satu keperluan politik. Ini bagi mengimbangi monopoli politik yang akhirnya akan mencetuskan pemerintahan yang tidak memperdulikan hasrat dan cita rakyat.

Sekalipun saya mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa persoalan asas dan pendekatan, namun sebagai rakyat Malaysia saya melihat kejatuhan atau kemusnahan PAS dalam keadaan semasa boleh mengundang impak negatif dalam percaturan politik negara.

PAS jika berpegang dengan prinsip Islamnya, dapatlah melindungi identiti Islam yang sepatutnya sentiasa zahir atau mendominasi keadaan negara dan masyarakat Malaysia. Maka adalah dibimbangi adanya usaha menghancurkan PAS secara langsung atau tidak langsung.

Bisikan Halus

Saya berpendapat, krisis dalaman PAS kini amat berkait dengan ‘bisikan halus’ yang dibisikkan oleh pihak tertentu kepada ‘telinga’ di kalangan pemimpin utama PAS. Bisikan datang dari satu pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda tersendiri dan mempengaruhi pihak-pihak tertentu.

‘Pembisik’ hanya menumpukan perhatian kepada agenda politiknya sahaja sekalipun menggadaikan atau menggugat keteguhan parti orang lain. Jika dalam sejarahnya, pihak pembisik ini pernah hampir merebahkan parti lain, maka tidak mustahil ia akan berlaku kepada PAS.

Krisis kali ini agak serius. Ia mungkin boleh didramakan seakan sudah tamat, tetapi bak kata “I can forgive, but I cannot forget”. Luka ini akan terbuka pula di masa hadapan dan akan mempengaruhi secara langsung dan tidak langsung perhubungan, tindakan, kepercayaan dan perasaan antara sesama PAS.

Hikmah

Saya berharap antara hikmah kejadian ini adalah dapat membuang perasaan fanatik sesetengah pihak yang berlebihan atau melebihi patut kepada pemimpin tertentu.

Pendapat atau pandangan seseorang pemimpin bukan dinilai dari segi nama, atau gelaran, atau peribadi semata, tetapi yang paling mustahak dilihat alasan dan hujah yang dikemukakan dalam setiap pendapat.

Apabila bertembung antara pemimpin dengan pemimpin, ahli PAS mesti menggunakan kebijaksaan, ketajaman minda, penilaian seimbangan dalam membuat keputusan, bukan hanya dengan emosi semata.

Sudi Menerima Pandangan

Satu perkara yang wajar PAS akui ialah ramai orang dalam PAS yang sangat sensitif jika ada teguran luar. Jika tidak disambut teguran itu dengan maki hamun pun, unsur-unsur mengutuk pemberi pendapat itu akan muncul. Bukan sahaja orang bawahan, bahkan pihak atasan PAS.

Sebagai contoh yang terkini, lihatlah jawapan Ketua Penerangan PAS Pusat terhadap pandangan seorang tokoh akademik yang terkenal cenderung kepada PR, Prof Dr Aziz Bari. Dalam menjawab kritikan kekalahan PAS di Bagan Pinang, Ketua Penerangan PAS itu menulis:

“Sebagai seorang Prof dan ahli akademik janganlah mengambil data di tepi jalan yang tidak ada kesahihan. Biarlah tuduhan ini dibuat oleh mereka yang tidak bergelar Prof. Memanglah menjadi ahli akademik senang membuat hipotesis daripada bilik berhawa dingin.

Tetapi menjadi ahli politik pembangkang berat lagi mata memandang maka berat lagi bahu memikul. Kita janganlah menjadi penganalisa politik yang tidak terjun medan, waktu kalah semua hendak menuding jari. Sewaktu menang di tujuh PRK tidak ada pula komen mengatakan pimpinan Pas cerdik, apabila kalah semua buat tuduhan.

Prof Aziz tahu atau tidak keadaan demografi Bagan Pinang. Beliau pergi atau tidak ke kawasan pilihanraya tersebut. Berjumpa atau tidak dengan masyarakat pengundi Bagan Pinang. Tahu atau tidak berapa ahli cawangan Pas dan dan ahli umno di kawasan itu. Keadaan di Bagan Pinang kalau Prof Aziz Bari bertanding pun akan kalah..”.

Inilah layanan terhadap kritikan yang saya kira jujur dari Prof Dr. Aziz Bari. Saya tidak menyatakan saya setuju atau tidak dengan pandangan Dr. Aziz Bari, tetapi saya hairan melihat bahasa sindir dan kutuk yang digunakan, padahal Dr Aziz Bari boleh dikatagorikan sebagai rakan mereka. Jika pun kita tidak bersetuju, gunakanlah uslub atau gaya bahasa yang lebih terhormat.

Bagaimanakah keadaan seperti ini jika PAS berjaya membentuk kerajaan, dan orang-orang awam, ahli akademik serta berkecuali ingin menyampaikan pandangan?! Saya bimbang ruang demokrasi atau bersuara akan menjadi semakin sempit. Pun begitu, alhamdulillah dalam suasana krisis ini, sudah ada pihak dalam PAS juga yang cuba menilai pandangan luar.

Akhirnya, PAS hendaklah benar-benar tahu siapakah musuhnya yang sebenar.

Beberapa perkara berikut patut difikirkan oleh PAS;

1. Siapakah yang boleh mengheret PAS melanggar prinsip-prinsip Islam yang holistik yang bukan sekadar isu tahalluf siyasi semata?
2. Siapakah yang ‘sebenarnya’ mencetuskan permusuhan dalaman secara langsung dan tidak langsung dalam PAS selama ini?
3. Jika PAS berfikir ada pemimpinnya yang patut disingkirkan, maka penyingkiran itu adakah atas alasan pelanggar prinsip, atau sekadar pelanggaran pendekatan?
4. Antara mengerat ‘orang dalam’ dan mengerat ‘orang menumpang’ yang menyusahkan; manakah yang patut diutamakan?
5. Adakah PAS yang memerlukan PR atau PR memerlukan PAS?
6. Adakah agenda Islamik itu yang lebih besar dalam PAS atau agenda politik PR?
7. Apa beza dari masa depan Islam antara kerjasama dengan DAP dan PKR dan kerjasama dengan UMNO?

- Dr Mohd Asri Zainul Abidin, USM.

Saya faham benar siapa 'pembisik' yang dimaksudkan oleh Ustaz Asri. Saya lebih bersifat terbuka jika ada pandangan yang kadang-kadang mengkritik Pakatan Rakyat. Adakah dengan mengkritik Pakatan Rakyat, kita dianggap ajen UMNO? Jadilah warga Malaysia yang benar-benar berjiwa merdeka yang sanggup mendengar dan menerima teguran dan juga berani membuat teguran.

Read more...

Saya tegur PAS sebab PAS penting dalam Pakatan Rakyat - Prof Dr Aziz Bari

Saya menyinggung politik dalam Pas kerana saya melihat parti ini penting dalam Pakatan Rakyat. Dan Pakatan pula penting dalam politik baru Malaysia.

Seterusnya politik baru ini kritikal dalam membina sistem dua parti yang akan menentukan sama ada perlembagaan kita dapat diperkasakan atau terus dimanipulasi untuk kepentingan politik sebagaimana yang kita saksikan selama ini.

Sesiapa yang menafikan bahawa perlembagaan telah dikembirikan selama 52 tahun ini adalah jahil dan menipu dirinya sendiri. Selain tindakan UMNO, istana dan mahkamah dalam krisis politik di Perak apa yang dilakukan sejak merdeka juga sebenarnya telah menghambat perkembangan kemerdekaan.

Jika ada yang tidak percaya silalah teliti laporan Suruhanjaya Reid dan draf yang mereka sediakan dan bandingkan dengan dokumen perlembagaan yang ada hari ini. Kaji juga keputusan-keputusan mahkamah sejak merdeka.

Memang Pakatan belum tentu tidak jadi macam Barisan Nasional. Tapi saya fikir kita perlu realistik dan beri mereka peluang. Jika mereka gagal kita akan letakkan kembali Barisan di tempatnya sekarang. Dalam sistem demokrasi yang kita amalkan ini sahaja cara yang kita boleh lakukan.

Inilah gambar besar yang kita harus perhatikan. Bukan soal remeh temeh yang para pencacai politik cuba paparkan dalam blog-blog mereka. Apakah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah nyanyuk dan menyusukan kera di hutan tidak relevan. Begitu juga dengan mereka yang cuba menonjolkan betapa Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi mangsa dan perlunya orang baik ini dipertahankan.

Rakyat yang sedar kepentingan negara tidak bicara soal individu. Kita bicara soal arah dan masa depan negara. Tentang perlunya sistem negara ini diperbetulkan. Proses ini sudah pasti panjang dan berliku.

Apa yang berlaku dalam Pas adalah salah satu daripada mata rantainya. Proses sama sudah bermula dalam PKR. Ini baik. Tak perlulah kita bertengkar tentang namanya. Kalau nak kata krisis pun katalah. Yang penting ia ubat yang akan menyembuhkan penyakit-penyakit yang ada.

UMNO baru sahaja mendapat suntikan baru dan ia pastinya tak senang dengan perkembangan itu. UMNO mahu Pas terus kekal dengan bisul yang sekarang cuba diubati oleh Nik Aziz. Sebab itu media miliknya ramai-ramai mengatakan bahawa krisis Pas dan PKR itu adalah tanda bahawa musuh ketat mereka sudah mula buang tabiat. Sebagaimana orang Pas dan PKR mengejek pergelutan dalam UMNO.

Sebagai rakyat yang prihatin kepada hidup mati negara kita tidak harus terjebak dengan gelagat dan permainan ahli-ahli politik seperti mereka. Kita perlu fokus kepada gambar besar tadi. Kita perlu lupakan soal-soal yang tidak wujud dan remeh seperti kedudukan dan perpaduan Melayu, Islam dan macam-macam lagi. Lagipun sejak bila yang UMNO prihatin sangat dengan Melayu dan Islam ini?

Gambar besar yang dikatakan tadi merujuk kepada imej Pas dan ini berkait dengan persepsi rakyat kepada parti itu. Dalam senario dan landskap yang ada sekarang Pas cuma boleh mendapat sekitar 40 peratus undi Melayu. Ini bermakna ia perlu mengekalkan sokongan bukan Melayu jika hendak mengekalkan kedudukannya sekarang.

Ini bukan soal menjual maruah Melayu dan Islam. Sebaliknya ia adalah cabaran kepada Pas bagaimana hendak menjelaskan konsep-konsep negara kebajikan dan Pas untuk semua yang telah dimulakannya. Abdul Hadi gagal di sini. Atau memang tidak mampu. Dalam keadaan sebegitu dia dan kawan-kawannya sembunyi-sembunyi berkira dengan UMNO.

Kita tak peduli apa namanya. Kita juga tak peduli sama ada mereka masih lagi meneruskannya atau tidak. Yang jelas aktiviti itu telah membolehkan UMNO memberikan ciuman maut buat Pas dan sekarang virusnya merebak dalam parti. Ia menyebabkan syak wasangka dan menimbulkan kemarahan bukan Melayu.

Abdul Hadi dan kumpulannya perlu ingat bahawa UMNO mahu memujuk bukan Melayu dan sekiranya Pas boleh digambarkan berada bersamanya itu sudah cukup baik. Dalam keadaan itu hanya tinggal DAP dan PKR sahaja yang perlu ditangani.

Imej Pas sudah tercalar dan Nik Aziz sebagai seorang pemain yang licik dapat menghidunya. Abdul Hadi dan kawan-kawannya semacam terlupa siapa yang mengundi mereka dalam PRU ke 12. Jika tidak masakan Datuk Dr Hassan Ali terus berdegil dan cuba menjaringkan gol sendiri! Saya sudah beritahu bahawa beliau boleh lakukan apa yang dibuatnya itu. Tapi kenalah letak jawatan dan jadi penyokong kerajaan sahaja.

Sehingga ini nampaknya usaha Nik Aziz belum disekat secara rasmi meskipun ada suara-suara yang mempersoalkan. Tak kiralah apa cara dan namanya. Muktamar khas atau sekadar mesyuarat majlis syura atau mesyuarat jawatankuasa agung membincangkan isu itu. yang penting persepsi rakyat diperbetulkan sebelum pilihan raya kecil yang akan datang.
Read more...

Thursday, October 29, 2009

BAGAIKAN DIJANJI - YB HJ NIZAR MENGIRINGI TUANKU RAJA MUDA MELAWAT JAMBATAN RUNTUH



Kebetulan atau bagaikan di janji, YB Dato' Seri Hj Nizar telah mengiringi Tuanku Raja Muda Perak melawat tapak berlakunya jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang semalam.

YB Hj Nizar telah berada di tapak jambatan gantung runtuh 2 jam sebelum ketibaan Tuanku. Sambil menunggu ketibaan Tuanku, beliau berjumpa dan bersalaman dengan pihak polis, bomba, pegawai-pegawai dari Kementerian dan Jabatan Pendidikan serta Adun-adun BN yang turut berada di situ.

Beliau sempat memberi pandangan kepada wartawan, polis, bomba, pegawai kerajaan dan yang lain-lain sebagai seorang jurutera profesional betapa silap dan salahnya kontraktor binaan tersebut yang membuat jambatan tanpa menggunakan plan asal yang mesti mempunyai spesikasinya. Beliau percaya kontraktor tidak ikut spesikasi yang sebenar.

Sehinggalah Tuanku tiba, YB Hj Nizar turut menyambut dan mengiringi tuanku sehingga tuanku berangkat pulang. Sepanjang mengiringi tuanku, orang ramai menyaksikan sendiri betapa akrabnya tuanku dengan YB Hj Nizar. Tertolaklah segala tohmahan UMNO BN kononnya Hj Nizar derhaka pada tuanku, mana mungkin orang yang derhaka pada tuanku, boleh bersama tuanku tanpa sedikitpun rasa bersalah atau malu.

Bukan sekali ini, YB Hj Nizar bersama dalam majlis bersama tuanku, sebelum inipun selepas UMNO BN tuduh Hj Nizar derhaka pada tuanku, Hj Nizar tetap menghadiri majlis bersama tuanku apabila dapat jemputan, dan ternyata hubungan tetap akrab dan mesra.

oleh: Misbahul Munir Masduki Setiausaha Politik YAB MB Perak
Read more...


Tiada EGM, PAS ganti dengan seminar

KUALA LUMPUR: PAS mengambil keputusan untuk tidak mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) seperti yang dibangkitkan oleh Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebaliknya parti itu akan mengadakan seminar politik bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan untuk memperkasakan parti.

"EGM tak ada, kita bersetuju EGM tak ada tapi diganti dengan seminar.

"Keputusan ini dicapai sebulat suara setelah mengambil kira pandangan Mursyidul Am sendiri, beliau memberi pandangan agar sebolehnya diadakan sesuatu untuk mengumpulkan akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat bersama barisan pesuruhjaya negeri yang berlangsung lebih empat jam.

Menurut Abdul Hadi, seminar yang akan diadakan pada 7 November depan akan dihadiri oleh kira-kira 1,000 perwakilan dari seluruh negara yang akan membincangkan isu-isu semasa dalam PAS.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz dalam blognya, www.blogtokguru.com mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin parti itu yang bermasalah bagi membersihkan parti daripada golongan pro-kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno yang bertentangan keputusan Muktamar PAS Jun lalu.

Tiga pemimpin yang disebut dalam blognya ialah Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali; dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Ditanya sama ada Nik Abdul Aziz memberikan penjelasan berhubung tuduhan yang mengatakan terdapat di kalangan pemimpin parti itu cuba melakukan penyatuan dengan Umno, Abdul Hadi berkata: "Itu tidak ada, tuduhan itu tidak ada, beliau dah jelaskan... beliau puas hati."

Dalam perkembangan yang sama, Abdul Hadi berkata, mesyuarat khas ini juga telah mengarahkan jawatankuasa disiplin parti menyiasat mengenai beberapa tuduhan terhadap PAS Selangor.

"Isu yang berkait dengan Selangor, yang juga terdapat beberapa tuduhan dan beberapa pandangan, perkara ini kita serah kepada jawatankuasa disiplin parti yang dipengerusikan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan pasukannya untuk menyiasat sejauh mana kebenaran tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu," katanya.

Ditanya sama ada siasatan itu akan memfokuskan kepada individu tertentu seperti Dr. Hassan, Abdul Hadi menegaskan siasatan akan dijalankan secara keseluruhan.

"Untuk siasat tuduhan yang dikatakan dalam isu Selangor... Selangor sahaja," katanya.

Abdul Hadi juga berharap siasatan berkenaan beberapa isu yang enggan didedahkan itu boleh diselesaikan secepat mungkin.

Read more...

Wednesday, October 21, 2009

Speaker Halal Vs Speaker Haram

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Motto 1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib nampaknya tidak berlaku di Perak. Di Perak rakyat disajikan dengan dua Menteri Besar iaitu MB halal ( Nizar ) dan MB haram ( siapa lagi kalau bukan Zambry ) Seterusnya Speaker halal ( V.Sivakumar ) dan Speaker haram ( R. Ganesan ).

Kewujudan dua MB dan dua Speaker di Perak adalah hasil kraftangan Najib sendiri. Beliaulah yang tanpa segan silu merompak Kerajaan sah Perak yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR).

Dari segi undang-undang dan Perlembagaan, Najib dan Umno sedar bahawa mereka tidak mampu berhujah untuk melawan V. Sivakumar. Kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah adalah terlalu jelas dan luas. Tetapi memandangkan Najib dan Umno bukanlah spesis yang ada maruah dan harga diri mereka menggunakan ( baca salah guna ) apa sahaja kuasa yang ada untuk menjatuhkan Sivakumar

Apa yang Najib dan Umno tidak lakukan untuk menjatuhkan Sivakumar.

Mula-mula Umno guna SPR untuk mengenepikan keputusan Sivakumar yang memutuskan kerusi tiga “katak” telah kosong. Apabila Sivakumar menggantung Zambry dan enam exconya yang haram Umno guna pula polis untuk soal siasat Sivakumar. Tidak cukup polis , Umno guna pula SPRM untuk soal siasat Sivakumar. Apabila polis dan SPRM tak jalan, Umno guna pula Mahkamah . Kita tentu tidak lupa usaha Umno yang menghalang Sivakumar untuk guna khidmat peguamnya sendiri bagi mewakili beliau. Malahan apabila Sivakumar mahu mewakili diri sendiri peguam Umno juga membantah.

Tidak cukup guna SPR, Polis , SPRM dan Mahkamah untuk mengenepikan Sivakumar sebagai speaker yang sah dan halal , Umno tanpa rasa malu dan bermaruah tergamak menggunakan cara yang paling kurang ajar dan paling tidak bertamadun melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah pada 7 Mei 2009 yang lalu.

Demi kuasa Umno tergamak salahguna polis untuk mengangkat Sivakumar ( dengan kerusinya sekali ) dan mengurung beliau dalam stor. Kerana kuasa Umno lupa bahawa jika sekalipun mereka ingin melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker , Umno tidak boleh sama sekali megusir Sivakumar dari dewan persidangan DUN Perak . Sivakumar adalah wakil rakyat atau ADUN yang sah , justeru itu beliau layak berada di dalam dewan persidangan.

Tanpa segan silu Umno tergamak langgar Perlembagaan dan amalan Perlembagaan ( constitutional convention ) apabila melantik V. Ganesan sebagai speaker yang haram pada 7 hb Mei 2009 yang lalu.

Dari sudut undang-undang dan amalan Perlembagaan segala urusan rasmi sidang DUN Perak ( order of business ) hanya boleh dibuat setelah persidangan DUN Perak dengan secara sah membuka urusan rasmi tersebut ( had lawfully opened for business ).

Jika dilihat kepada Standing Orders bagi DUN Perak tiada peruntukkan secara jelas berkaitan dengan persidangan DUN Perak pada 7 Mei tersebut. Oleh itu berdasarkan Standing Order No 90 amalan-amalan di Parlimen di Negara-Negara Komenwealth boleh digunapakai sekiranya Standing Orders tidak mempunyai peruntukkan yang jelas .

Buku Erskine May’s Treatise on the Law, Privileges, Proceedings and Usage of Parliament adalah satu buku yang selalu dirujuk dalam isu-isu yang berkaitan dengan prosedur Parlimen di negara-negara Komenwealth. Di dalam buku tersebut pengarang telah menyatakan

“ Dalam mana sessi Parlimen kecuali sessi Pertama ( Pembukaan ) Parlimen , sessi dikira bermula dengan ucapan Raja England ( Queen ) . Sehingga sidang diisytiharkan mula oleh Raja kedua-dua Dewan tidak boleh mulakan sebarang urusan awam yang rasmi. Amalan ini diikuti kerana tiada mana-mana urusan di Parlimen boleh dijalankan sehingga Parlimen itu sendiri dibuka secara rasmi oleh Raja ( no business can be transacted until Parliament has been opened by the Crown)"

Selanjutnya di dalam buku Halsbury’s Laws of England di bawah tajuk (v) Proceedings at the Opening of Parliament ... 713 The Queen’speech dinyatakan seperti berikut

“ Tiada mana-mana Dewan boleh meneruskan apa-apa urusan awam sehinggalah sesuatu sessi itu telah dibuka oleh Raja secara sendiri atau melalui Pesuruhjaya Lord yang bertindak bagi pihak Raja ( Queen ).”


Di dalam buku Griffith and Ryle on Parliament : Functions, Practice & Procedures.” (2nd Ed. 2003) pengarang tersebut juga menyatakan perkara yang sama

Di England, apabila Raja telah mula membuka sessi Parlimen ( di sebelah pagi ) maka urusan awam dan rasmi Dewan Rakyat ( House of Commons ) akan hanya dimulakan jam 2.30 petang.

Dalam konteks kes Perak pula adalah jelas pada 7 hb Mei 2009 ucapan Sultan Perak hanya dibuat pada jam 3.16 petang sehingga jam 3.47 petang. Maka dari segi undang-undang apa sahaja urusan rasmi DUN Perak ( termasuk usul untuk memecat Sivakumar dan melantik Ganesan ) hanya boleh dibuat selepas jam 3.47 petang.

Namun Umno dengan kesombongan dan kebodohan mereka telah mengangkat dan mengusir Sivakumar dan seterusnya melantik Ganesan sebagai speaker haram sebelum sessi DUN Perak bermula iaitu sebelum ucapan Raja Perak dimulakan pada jam 3.16 petang

Oleh itu sebarang resolusi atau usul yang diluluskan oleh Umno pada sidang DUN Perak pada 7 Mei 2009 termasuklah usul memecat speaker yang sah dan halal dan melantik speaker yang haram adalah tidak sah.

Tidak cukup Ganesan telah dilantik secara tidak sah, Umno sekali lagi melakukan kesilapan bodoh apabila gagal memastikan Ganesan meletakkan jawatan sebagai peguambela dan peguamcara dalam masa 3 bulan daripada tarikh beliau dilantik sebagai speaker yang haram iaitu pada 7 Mei 2009.

Ganesan hanya memfailkan Notis Pemberhentian sebagai peguam dan menghantar Surat Akuan Sumpah pada Majlis Peguam pada 17 Ogos 2009 sedangkan di dalam Perlembagaan Perak beliau sepatutnya berhenti menjadi peguam sebelum 7 hb Ogos 2009.

Memandangkan Ganesan adalah speaker yang haram maka tindakan beliau memanggil sidang DUN Perak pada 28 Oktober 2009 ini adalah satu tindakan yang tidak sah dan tiada sebarang nilai di sisi undang-undang. Tapi jenis spesis Umno ni dia orang kisah ke pada benda-benda haram !!!
Read more...

Wednesday, September 30, 2009

Duit rakyat digunakan sewenang-wenangnya oleh Khir Toyo dan rakan-rakannya

Saksikan Sendiri Mengapa UMNO Begitu Galak Menuduh PAS Diperalat DAP

Patutla galak sangat UMNO sekarang ni menuduh PAS dihambakan DAP. Rupanya, ada udang sebalik batu. Dari beberapa siri prosiding SELCAT, rakyat mulai sedar bahawa sewaktu UMNO memerintah Selangor dahulu, duit rakyat di Selangor mereka gunakan macam bapak mereka punya.

Adake patut belanja duit rakyat RM1.6 semata-mata untuk membawa keluarga pergi bercuti di Disneyland, California, USA. Pergi Disneyland atas nama urusan kerajaan tapi pihak Disneyland pun tak tahu diorang datang.

Kalau ini bukan tindakan khianat kepada bangsa Melayu, saya tak tau la nak kata apa. Duit RM 1.6 juta tu boleh membeli 40 rumah kos sederhana kepada 40 keluarga Melayu yang miskin
BUKANKAH INI SATU PENGKHIANATAN KEPADA BANGSA MELAYU dan UMAT MELAYU SEDUNIA? Jawab wahai ahli2 UMNO sekelian jawab. Pemimpin kamu pergi bercuti ke Disneyland dgn wang rakyat RM1.6 juta





Read more...

Tuesday, September 29, 2009

Ucapan TGNA di Majlis Mesra Aidil Fitri Kelantan




Hari Raya: Kenapa Ayat Qiamat dibaca sedangkan Hari Raya adalah Hari Bergembira antara Ucapan Mursyidul Am/ Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Majlis Mesra Aidil Fitri PAS Kelantan pada 8 Syawal 1430/ 27 September 2009 di Perkarangan Stadium Sultan Mohamed ke IV, Kota Bharu.

Read more...

Pegawai Kerajaan Dibuli SELCAT? Saksikan Sendiri di Youtube

Dakwaan ini dibuat galak kali sehingga Ketua Pemuda PAS Pusat yang duduk di Pahang pun guna hujjah yang serupa. Itulah dia hujjah yang kerap diulang dan diulang kononnya kasihan kepada pegawai2 kerajaan ini.

Dibawah diberikan beberapa rakaman di Youtube. Terserahlah kepada tuan-tuan untuk membuat keputusan. Bagi saya, tidak ada bukti pun menunjukkan pegawai-pegawai kerajaan dilayan seperti budak-budak.

Sedarlah, bahawa atas tindakan para pegawai2 kerajaan Selangor ini yang mengeluarkan peruntukan setahun (Januari ke Disember 2008) pada bulan March 2008, telah menyebabkan PAS tewas di majority kerusi di Selangor.

DAP tidak kalah walau satu kerusi dan PKR hanya kalah dibeberapa kerusi sahaja. Yang menjadi mangsa paling teruk adalah PAS. Dan, apa yang Teng Chang Kim lakukan ini adalah untuk membantu PAS supaya pegawai2 ini tidak lagi menghambakan diri pada UMNO.

Sikap Hasan Ali membela pegawai2 ini tanpa membawa apa2 bukti yang menunjukkan mereka dilayan seperti budak-budak adalah satu bentuk penghinaan kepada PAS dan seluruh jentera PAS. Juga, ianya berlawanan dengan keputusan Muktamar di Ipoh dan Shah Alam.

Selain dari itu, boleh juga melihat kenyataan Dato Hasan Ali di sini :
Dan boleh juga melihat kenyataan Teng Chang Kim bagi menjawab beberapa persoalan dan isu yang ditimbulkan ke atas SELCAT:
Read more...

Wednesday, September 16, 2009

1Malaysia Kena Tipu Dek Proton...

Kenapa Proton tak jual harga macam dekat Arab Saudi..?

Apa istimewanya orang Arab?

Kata "Rakyat didahulukan" … Kenapa orang Arab lebih diutamakan? Pemilik Proton di Malaysia semuanya dah kena tipu... Hahaha...

Harga Persona kat Saudi = SR 36,100

Harga Gen2 kat Saudi = SR 33,600

Harga Waja kat Saudi = SR 37,950

1 Saudi Riyal = RM 0.94
Maknanya harga Persona kat Saudi = RM 33,934 aje

Maknanya harga Proton Gen2 kat Saudi = RM 32,256 aje

Maknanya harga Waja kat Saudi = RM 35,673 aje…

Tu dah siap masuk tambang kapal pulak tu…

Haaaa… Ini baru harga Proton… Kalau aku tunjuk harga kereta bukan Proton, ada yang sakit jantung nanti…

"1Malaysia - Rakyat DiHULUkan, KeUNTUNGan DiuTAMAKkan..!" Read more...