Friday, June 5, 2009
Thursday, June 4, 2009
Syarat Pertama Beriman Kepada Allah S.W.T. Ialah Kufurkan Semua Thoghut !
AL - HADHARAHAllah swt berfirman maksudnya; “ Tidak ada paksaan di dalam memilih agama Islam atau tidak, kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu barangsiapa yang mengkufurkan thoghut (tidak percayakan thoghut) dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali) yang kukuh yang tidak akan putus. Dan ingatlah Allah amat mendengar lagi amat mengetahui.
Allah pelindung orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya. Dan orang-orang yang kafir itu penolong mereka ialah thoghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan. Mereka itulah ahli neraka mereka kekal di dalamnya” (al-Baqarah 256-257)
Maha suci Allah yang telah memberikan nikmat Iman dan Islam kepada kita, selawat dan salam perjuangan kepada Penghulu semua Rasul, Muhammad saw kaum keluarga dan para sahabat Baginda seluruhnya. Sebagai ummat kebangkitan kali ke2 kita mengharapkan semoga Allah swt terus memberikan taufiq serta inayahNya kepada semua.
Tidak dapat tidak kita sebagai makhluk yang bernama manusia ini perlu mengenali sesuatu yang `berlawanan` atau `bertentangan` sifatnya, bagi memudahkan kita membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam semua muamalah atau aktiviti kehidupan yang sementara ini. Sebagai manusia yang normal, lumrah baginya sentiasa dalam situasi memilih, menilai, menyaring, membuat penelitian dan akhirnya terpaksa atau rela memihak kepada kebenaran yang ditentukan Penciptanya sendiri Allah swt.
Kita akur akan `kehebatan` ciptaan Allah swt kepada manusia iaitu aqal fikiran yang sehingga sekarang tidak dapat dihuraikan oleh mana-mana pengkaji otak manusia yang cuba sedaya upaya melihat bagaimana sel-sel otak berfungsi sebagai `pemikir`. Kita juga akur akan `keunikan` hawa nafsu yang dibekalkan kepada insan yang berada di dalam diri, tetapi kita kadangkala begitu kerdil tewas kepada nafsu sendiri.
Tanpa kitab `katalog` yang dibekalkan kepada manusia dari Pencipta manusia itu sendiri, manusia sebenarnya tidak mampu mengharungi hidupnya dengan selamat sampai ke destinasi sepatutnya. Di sinilah peranan al-Quran (dan Kitab sebelumnya), Iman, Islam dan para Rasul itu sendiri meletakkan `satu titik` keseimbangan kepada manusia-manusia yang mahu beriman. Dengan menganut Islam dan teguh keimanannya kepada Allah swt insyaAllah kita telah berada dalam zon keseimbangan antara pemikiran dan hawa nafsu yang dikatakan tadi. Zon keseimbangan ini akan menjadi landasan terbaik kepada pemikiran manusia, insyaAllah akan mampu membawa para mukmin meneroka (explore) segala khazanah jagatraya ini untuk kebaikan semua hamba-hambaNya. Zon ini juga akan menjadi pengawal atau pengembala yang terbaik kepada hawa nafsu yang pasti akan mententeramkan serta memastikan keindahan sentiasa mewarnai kehidupan manusia-manusia muslim di bumi ini.
Kita boleh bayangkan bagaimana kaku dan rakusnya kemajuan sains dan teknologi yang terhasil di barat sekarang apabila landasan pemikiran mereka bukanlah landasan orang-orang yang beriman kepada Allah swt. Begitu juga dengan nilai-nilai kemanusiaan yang telah lama hilang dari dunia mereka digantikan dengan tabiat-tabiat haiwan yang liar di hutan belantara, apabila nafsu bermaharaja di minda bertakhta di jiwa. Di dalam menggambarkan suasana masyarakat yang begitu `maju` sekarang saya teringat ucapan al-Marhum al-Ustaz Fadhil Mohd Noor; “ Kemajuan sains dan teknologi telah berjaya membawa manusia terbang di angkasa bagaikan burung, berenang di lautan seperti ikan tetapi sayangnya! masih tidak mampu mengajar manusia untuk berjalan di atas mukabumi ini sebagai manusia”
Berbalik kepada titik keseimbangan yang disebutkan tadi, itulah sebenarnya hikmah pengajaran untuk membolehkan manusia seluruhnya dapat berjalan dengan sempurna sebagai manusia di atas muka bumi ini. Sains dan teknologi yang mengagungkan kebendaan tidak mampu membawa manusia menjadi manusia yang `sempurna`. Biarpun mereka mampu sampai ke bulan dan ke angkasaraya, menyelami dasar lautan yang paling dalam, namun mereka berjalan dengan terhoyong-hayang, meraba-raba akibat lemahnya tarikan graviti dan kesukaran pernafasan, begitulah realiti kehidupan sebenar mereka.
Sebagai ummat Islam lebih-lebih lagi insyaAllah sebagai ummat kebangkitan kali ke 2, kita tidak sepatutnya terperangkap sama dengan perangkap `the big black hole` para `intelektual` barat. Mereka tidak dapat melihat cahaya kebenaran kerana apabila cahaya itu di bawa kepada mereka yang masih berada di dalam lubang gelap yang sangat besar semuanya akan lenyap menjadi gelita bersama. Cahaya kebenaran hanya mampu di lihat dan di terima oleh mereka yang mahu menerima dan mengakui keimanan kepada Allah swt. Itulah kesilapan dan kejahilan terbesar `kemajuan` barat apabila mereka tidak mahu atau tidak mampu mengkufurkan segala bentuk thoghut yang ada atas mukabumi ini. Mereka masih mengagungkan thoghut kebebasan tanpa had, menghormati dan menagih simpati thoghut demokrasi, percaya kepada thoghut pasaran global, berkeyakinan dan merujuk kepada thoghut mahkamah dunia dan segala thoghut yang bermaharajalela.
Tidak hairan kewujudan lubang gelap di angkasa mereka akui, sebaliknya dunia gelap di barat hanya mampu melahirkan para orientalis mempunyai `ilmu` tetapi meletakkan lampu suluh ke dalam lubang gelap yang ada di dalam diri masing-masing. Sedangkan bagi orang-orang mukmin mereka mengambil dan menerima ilmu kebenaran supaya menjadi penyuluh kepada jalan-jalan kehidupan di atas mukabumi ini. Para orientalis ini begitu mahu mereka diagung-agungkan dan kalau perlu mereka suka berada dalam kelompok `pemikir ummat` yang mendapat sanjungan. Ummah jangan mudah terpesona dengan racun-racun pemikiran yang mereka hamburkan kepada kita.
Perjuangan Islam tidak pernah mewujudkan `golongan kelas pemikir` sahaja dalam sejarahnya yang panjang. Nabi saw, para sahabat, tabien, tabien at-tabien dan mujaddid-mujaddid serta imam-imam mujtahid tidak pernah hidup goyang kaki menikmati kemewahan hidup pada zaman mereka. Mereka hidup susah, sederhana bersama ummah kebanyakkan kenapa ?? Kerana ilmu dan keimanan yang ada pada mereka…, mereka dapatkan dari contoh ulung iaitu Rasul saw, yang hidup di tengah-tengah orang-orang miskin, faqir, marhaen, mustad`afin. Mereka tidak sanggup membohongi ilmu mereka sendiri dengan bersembunyi di sebalik kerusi-kerusi empuk, kereta-kereta besar, rumah-rumah..masyaAllah…!
Maaf! Saudara-saudaraku dunia `ivory tower` dan gajah putih bukanlah gelanggang sebenar perjuangan yang membawa aspirasi ummah. Tidak salah jika sekadar mengambil peluang menimba pengalaman demi perjuangan ummah. Samalah jika ummat kebangkitan kali ke 2 ini tidak memerlukan pelacur-pelacur politik begitu juga ummat ke 2 ini juga, tidak memerlukan profesor-profesor `kangkung` atau `kaduk naik junjung`.
Jangan mudah terpesona!.. Islam tidak pernah berjaya ditegakkan di atas muka bumi Allah ini dengan kata-kata indah dan madah falsafah, tetapi Islam telah pernah berjaya ditegakkan dan memerintah di bumi ini oleh individu-individu ummah yang mempunyai falsafah. Wallahu`alam! Dari - Ibnu Ramadhan.
Read more...
Wednesday, June 3, 2009
Jangan lupa pejuang tanpa nama...
Azamin Amin | |
Maneer, 37 hanya bekerja kampung untuk menyara enam anaknya sambil membantu isteri yang menjadi suri. Mereka sekeluarga menumpang teduh di sebuah balai kecil. Rumahnya, baru-baru ini dijilat api. Ketika ditemui lewat malam, dia sedang menyarung baju terang 'highlight' berwarna hijau kekuningan sambil memegang cota berlampu merah. "Nak kena jaga jalan dan 'parking' kereta. Malam ni ada ceramah," katanya kepada saya dan rakan yang berkunjung ke tempatnya, di sebuah kampung di Pahang. Dalam sibuk-sibuk itu, dia sempat menjamu kami, yang baru dikenalinya sehari. Biarpun hanya nasi putih, daging masak kicap dan pucuk ubi, kami makan cukup selera sekali. "Itu daging sembelih minggu lepas untuk rai pemimpin yang datang. Kami kongsi-kongsi satu kampung, beli seekor lembu sebab nak raikan mereka. "Seronok rasanya. Ada lebih, saya simpan sikit, dapat juga Azamin merasa," katanya membuatkan saya tersentak seketika. Anak-anak kecilnya terintai-intai di balik dapur, membuatkan saya malu dan terasa kenyang secara tiba-tiba. Itu kisah, dua tahun lalu. Manakala tahun lepas, Suhaili, 40 berbaju melayu lusuh sedang menunggu bas untuk pulang ke rumah di Negeri Sembilan. Di sebelah bahunya dikendong sebuah beg buruk, sambil mengelap peluh yang memercik di dahi. Pancaran matahari cukup terik tengahari itu. "Ana pergi berarak di Parlimen tadi. Selesai semua, nak baliklah, lagipun ana datang seorang je naik bas," katanya ketika saya menyapa. Lain pula pada 10 November 2007 tika azan subuh menjelma di masjid negara, sekumpulan lebih 100 orang berbaju kuning berkumpul di pekarangan, sementara menanti himpunan besar-besaran itu dilancarkan. "Kami ni mai dari Kedah. Naik bas takut kena sekat, jadi kami mai naik keretapi. Bertolak malam tadi. Tempah tiket pi balik. "Sat lagi bertolak balik. Harap-harap tak dak yang kena hambat, esok pagi kami nak pi motong," kata Sayed, 35 seorang penoreh getah di Sik. Tiga nama di atas hanyalah secebis rakaman nama-nama 'samaran' pejuang yang tidak mungkin dititipkan nama mereka satu persatu. Mereka ini penyokong, ahli dan peminat PAS yang amat setia. Sering ke mana-mana pun secara rela tanpa dipaksa. Ikhlas tanpa minta apa-apa. Disuruh mereka datang, diarah mereka pergi. Siangnya mereka memukat, menuai, menebas lalang. Malamnya mereka di kaki legar bersimpuh dengar ceramah. Adakalanya, keluar seringgit dua, buat tabung amanah demi perjuangan agama Allah. Jika ceramah, himpunan dan ada peristiwa besar, mereka datang dengan besar hati tanpa peduli cabaran yang menjelma. Ada yang membonceng menaiki motosikal. Ada yang berberkongsi kereta. Menaiki bas, dari utara mereka turun, dari selatan mereka datang. Tidak lupa, dari Timur Barat mereka muncul. Adakalanya mereka pulang. Adakala keluarga menanggung resah berpanjangan, menunggu mereka tak kunjung datang. Ada yang diasak teruk. Sekali, dua libasan cota cukup memedihkan rasa. Malah lebih ramai yang tertusuk perit lantaran semburan gas pemedih mata. Tidak kurang, yang tersiat kulit luka tercedera. Ada yang meringkuk sehari dua di penjara, manakala selebihnya diusung ke mahkamah keesokan harinya. Ada yang hilang pekerjaan, tertahan pangkat, ditukar ke sana ke mari dan dikenakan tindakan. Ada yang belum sempat mengucup segulung ijazah lantaran tindakan yang tak berjiwa dan bermata. Mereka ini ikhlas berjuang. Hujan, ribut, petir, embun dan panas mentari, mereka tetap taat di situ. Apa jua rintangan tidak pernah menyekat hati untuk terus berbakti kepada parti. Sambil menggulung daun pucuk, mereka ini tersenyum membaca kejayaan PAS, satu demi satu. Sambil menghirup udara bendang, yang buta huruf, meminta rakan taulan dan anak-anak membaca berita-berita gembira, parti tercinta. Mereka ini tidak mengerti apa itu label-labelan atau jenama-jenama yang mencucuk mata. Kelas-kelas atau kasta-kasta yang memisahkan mereka. Mereka ini tidak ambil pusing. Mereka tidak pernah bising-bising. Walaupun kubur mereka kelak tidak bertanda, susuk tubuh mereka tidak pernah ditanya atau disapa, namun yang penting, parti terus dijulang, agama Allah terus bertakhta! Teringat kata-kata bekas Timbalan Presiden PAS Ustaz Hassan Shukri bahawa para pendukung PAS ini tidak pernah minta dibalas tetapi cukup sekadar sebuah senyuman dan sapaan daripada pimpinan, yang membuat hati mereka berbunga mekar dan semarak semangat juangnya. Jika ada yang sudi, sisipkanlah cebisan doa buat mereka ini... datang dan pergi tanpa dikenali. Mereka ini tanpa nama, jauh sekali dapat ke Muktamar... 'Selamat bermuktamar!' |
Muktamar ke 55 - Persediaan PAS untuk menggantikan Umno
oleh: Dr Dzulkefly Ahmad | |
Sesungguhnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sedang berada di tahap paling baik dalam 58 tahun sejarah jatuh-bangun perjuangan politiknya. Natijah dari pelbagai dinamika politik nasional dan hasil kesediaan kepimpinan memposisi kepentingan perjuangan, PAS kini berada sekali lagi di kedudukan penting yang sekaligus menuntut parti Islam ini terus membuat beberapa pilihan strategik. Paling kritikal, atas pilihan strategik ini pula akan ditentukan keupayaan dan kelangsungan PAS, samada untuk terus mara menempah kejayaan yang lebih besar atau berpatah balik seumpama yang disaksikan pasca-kejayaan PRU ke-10, yakni keputusan PRU ke-11 April 2004 yang mengembalikan PAS pada garis sokongan tegarnya, tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Maka di ambang Muktamar ke-55 ini, punya cita-cita besar bagi meletakkan seluruh kepimpinan parti, aktivis, pendukung dan pencintanya, supaya sedar dan insaf, bahawa sekali lagi, kita berada di persimpangan kritikal ini. Umum bahkan dunia, sedang memerhatikan penampilan serta pengolahan 'Risalah Perjuangan Parti Politik Islam' ini, dalam persaingan mendominasi kuasa abad 21 Masihi-15 Hijrah. Khususnya di persada pertarungan politik sebuah negara-bangsa yang punya demografi cukup plural atau majmuk, di segi pertentangan pelbagai tuntutan agama, etnik dan budaya yang bersifat 60:40 Islam:Bukan-Islamnya. Cabaran inilah yang cuba digarap dalam penulisan ini, bagi menyambung penulisan lalu "Meniti Tuntutan Perjuangan Pasca Muktamar ke-55". Penulis ingin pertama-tamanya merakamkan perasaan terkilannya, bahawa polemik kepimpinan Ulama-Profesional telah menelan waktu, tenaga dan penumpuan yang agak keterlaluan. Yang lebih penting dari kesemua itu sewajarnya ialah menekuni serta mentakrifkan tuntutan perjuangan yang bakal dipikul kepimpinan yang akan dipilih. Dengan kejelasan itu, akan terserlah gandingan pasukan kepimpinan yang diperlukan bagi memantapkan lagi kepemimpinan Presiden memacu dan melonjakkan parti ke garis prestasi ke keluk yang seterusnya. Maka membicarakan pilihan strategik di ketika ini adalah satu yang 'dhoruri' dan paling tidaknya sangat dihajatkan parti dalam rangka tuntutan kebijaksanaan perjuangan. Menggantikan kepimpinan Umno bagi kelompok Islam-Melayu Seperti yang ditegaskan kepimpinan tertinggi parti umpama Pengarah JK Pilihanraya PAS Pusat, waktunya telah tiba untuk mengambil alih kedudukan Umno selaku parti politik pilihan nombor satu untuk kelompok demografi pengundi Melayu-Islam di Negara ini. Meski pun telah acap disebut termasuk salah seorang calon Timbalan Presiden, belum ada satu kejelasan strategi yang pernah dilakarkan kearah itu. Sementara PAS berada di tahap paling kukuh dan kuat, Umno sebaliknya sedang berada di tahap paling lemah dalam laluan usia politiknya. Sebelum kita dikatakan berkhayal, PAS (dan Pakatan) perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan 72 kerusi parlimen yang memiliki 2/3 majoriti Melayu-Islam dan 42 kerusi di mana yang majoriti mudahnya adalah pengundi Islam-Melayu. Selebih 51 kerusi parlimen yang lain adalah kerusi majoriti Bukan-Melayu, di mana 18 adalah kerusi majoriti 2/3 dan 33 adalah kerusi majoriti mudah Bukan-Melayu. Jumlah kerusi pertarungan di Semenanjung ialah 165. Nah, perhatikan baik-baik apa maksud untuk menumbangkan Umno sebagai parti untuk orang Melayu-Islam. Penulis, seorang optimis tegar seperti didakwanya, yakin bahawa objektif tersebut mampu dilakukan. Telahan para 'pundit' politik meramalkan Umno tidak akan dapat memugarkan atau 'reengineer' kembali perjuangan sehingga parti Melayu terbesar itu mengalami kekalahan kuasa di peringkat Pusat dan belajar semula selepas menjadi pembangkang untuk satu jangka waktu. Menarik tesis tersebut. Tidak mustahil kerana kemenangan disilih gantikan Allah SWT. (al-ayat) . Pun begitu, di segi perhitungan politiknya PAS perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan pilihanraya umum akan datang. Untuk ingatan, PAS bertanding dalam 64 kerusi parlimen di Semenanjung, sementara memenangi 27 kerusi. Umno sebagai perbandingan, menguasai 78 kerusi di Semenanjung. Sebutan mengambil alih kedudukan Umno sebagai parti pilihan orang Islam-Melayu wajar menyedari tuntutan realitinya. PAS dalam ukuran politik hari ini sudah melepasi kekangan prestasi tradisinya. Dulu, PAS hanya mampu menang dalam pertandingan kerusi-kerusi yang berada dalam 'Malay Belt' atau Kawasan Melayu di Utara dan Pantai Timur. PAS telah memecahkan tembok ini dalam pola Politik Baru dan bersedia memenangi kerusi-kerusi campuran 60:40 bahkan lebih �mixed� dari itu seperti kerusi Kota Raja. Tegasnya PAS telah menemui formula dan resepi kejayaannya. Persoalan buat kepimpinan kini ialah: Apakah yang perlu dilakukan kepimpinan parti untuk seterusnya merealisasikan cita-cita mengambil alih kedudukan Umno? Apakah yang bakal menghalang pencapaian objektif ini? Bersama menggandingkan kekuatan menjatuhkan Umno-BN Muktamar ke-55 ini juga membawa erti besar untuk parti Islam yang terbesar di negara ini, sekali lagi mempertegaskan komitmennya untuk menyaksikan tumbang kuasa yang telah memerintah negara selama lebih 5 desawarsa. Lanjutnya kuasa ini telah menafikan negara dan rakyat mengecapi kesejahteraan hidup sebenar sesuai dengan kedudukan negara yang memilikki sumber per kapita antara tertinggi di dunia kerana pelbagai kebobrokan gelagat segelintir pemerintah yang sarat rasuah, kerakusan dan mementing diri. Amalan demokrasi rosak sementara institusi kehakiman terus reput dan badan legislatif dicekik kuasa Eksekutif. Media Baru memerdekakan rakyat dan pengundi. Tekanan ke arah pertanggungjawaban dan ketelusan menuntut kerajaan mendedahkan segala kecurangan yang dilakukan pihak pemerintah. Terkini skandal besar PKFZ yang bakal menelan RM12.8 bilion, sebagai 'mercu tanda' pengurusan sarat rasuah Umno-BN. Umno-BN sudah sampai ke penghujung usianya. Mereka wajib di kalahkan dalam PRU ke-13 bagi mengangkat martabat, maruah dan daya saing negara. Tidak ada kemungkaran yang lebih jelek dan membinasakan watak negara-bangsa ini amnya dan ummat Islam khususnya dari kehidupan yang menjauhkan manusia dari fitrahnya untuk memakmurkan bumi dan mensejahterakan kehidupan bermasyarakat dan bernegara. PAS bergandingan dengan komponen parti Pakatan Rakyat, KeADILan dan DAP, berupaya melakukan sesuatu yang ajaib dan bijak dalam Politik Permuafakatan atau Tahaluf Siyasi (Coalition Politics). Sindrom takut kalah Umno, takut menang PAS Di persimpangan 'Politik Transisi' yang serba tidak menentu ini, Umno jelas telah dihinggapi 'Sindrom Takut Kalah' atau 'Atichyphobia- Fear of Failures', sehingga sanggup memberi laluan mudah di Penanti. Umno akan terus dihantui ketakutan dahsyat ini sehinggalah dapat menjalani rawatannya. Namun PAS juga ditanggapi menghadapi satu fenomena yang sama tetapi sedikit berlainan. Apa yang dialami PAS kini ialah 'Sindrom Takut Kejayaan - Fear of Success'. PAS bukan takut dikalahkan tetapi lebih takut kejayaan akan mengakibatkan parti Islam kehilangan aAl-Asolahnya' atau 'Ketulenan keIslamannya' lantas curiga serta khawatir untuk menempuh 'jalan-jalan' yang ditanggapi bukan lebuhrayanya bahkan didakwa sesetengah pihak berpotensi membawa kelunturan, pelarutan dan penyimpangannya dari cita-cita perjuangannya. Penulis memerhatikan bahawa di sebaliknya polemik Ulama-Profesional, tersirat secara lebih mendalam tekanan sindrom ini, khususnya kepada golongan tertentu yang tidak dapat mentasawurkan proses dan gelagat perubahan yang wajar di pacu PAS dalam persaingan di gelanggang politik pluralis yang punya matlamat yang saling bertentangan dan bersimpang-siur. PAS sangat berhajatkan dirawat dengan tekunan ilmu yang lebih mendalam dan keberanian ijtihad para ulama harakinya untuk keluar dari bahana sindrom ini. Kesimpulan Di persimpangan kritikal ini juga, PAS perlu tahu bahawa Umno bukan kawan tapi lawannya. PAS wajar menegaskan bahawa Pakatan Rakyat adalah wasilah paling bijak bertepatan dengan tuntutan waqi� dan fiqh siyasi serta berpadanan dengan maslahah perjuangannya. PAS sangat perlu menekuni kebijaksanaan untuk menampilkan terus 'tag-line' - 'PAS Untuk Semua' dan 'Islam Untuk Semua' melalui program-program perjuangan yang lebih 'Inklusif' menggamit serta melebarkan tapak sokongan, sementara memperkukuhkan kemurnian agenda Islam bagi sokongan tegar Melayu-Islam. Sebagai contoh kecil, sedikit waktu lalu beberapa tokoh muda ulama PAS cukup berani membicarakan tentang zakat yang harus dipanjangkan kepada golongan 'asnaf muallaf' termasuk yang bukan-Islam seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Tegasnya, PAS wajar keluar dari kotak pemikiran terlalu 'fiqhiy' (legalistik) kepada paradigma pemikiran 'Usuliy dan Maqasidiy' (Prinsip dan Maksud) lantas berani memposisi Islam dengan lebih mantap lagi dengan hujjah tekunan ilmu Islam yang lebih 'daqiq' (mendalam) dan intelek yang lebih peka dengan realiti semasa. Terlalu banyak yang perlu digarap termasuk hiburan, mua'malat kewangan-ekonomi, pembangunan sosial, pendidikan dan pertentangan perundangan itu sendiri. Inilah antara pengisian agenda "Penampilan Agenda Politik Islam PAS" dalam persaingan era baru. PAS mengongsi Keadilan serta Kesejahteraan sistem Islam kepada semua dan Aqidah Islam kepada yang meyakini. PAS tidak wajar mengulangi kesilapan pendekatan terlalu 'eksklusif' dan 'centrik' yang meminggir rakyat dan pengundi dan dalam kedudukan yang tidak difahami kecuali penyokong tegarnya di kawasan-kawasan tradisinya. Kesemua ini adalah agenda kepimpinan yang wajar diperbahaskan dan dicermati dengan lebih mendetail dalam Muktamar yang mempersiapkan parti untuk menempah kejayaan yang sama-sama di ingini dan diperjuangkan. Memang benar kejayaan bukan segala-galanya, namun segala-galanya menantikan kejayaan bagi melakasanakam cita-cita perjuangan! (Penulis adalah AJK PAS Pusat). |
Monday, June 1, 2009
Gerakan dakwah di Selangor bakal diperkasakan
oleh: Muhammad Arif Ismail | |
Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Dato' Dr Hasan Ali berkata gerakan Islam bakal diperkasakan dengan memperbanyakkan program dakwah di negeri ini. "Apa yang saya harapkan ialah natijah yang baik iaitu tidak lain dan tidak bukan, Kerajaan Negeri kena memperkasakan lagi gerakan Dakwah di Selangor," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Konvensyen Dakwah Negeri Selangor tahun 2009M bersamaan 1430H Dewan Seminar, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dekat sini semalam. Program ini dianjurkan oleh Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) turut dihadiri oleh Pensyarah Universiti Malaya, Ust Roslan Mohammad dan Pendakwah Bebas, Abdul Ghani Shamsudin dan Mufti Selangor, Dato' Mohd Tamyes Abd Wahid. "Ini merupakan siri-siri lanjutan yang diadakan tahun lepas, pada hari ini kita dapat mengumpul seluruh Selangor, daripada universiti, pertubuhan, jabatan kerajaan dan swasta. "Bagi membincangkan beberapa kertas kerja yang dibuat oleh beberapa orang pendakwah yang terkenal di Negara kita seperti Ust Roslan Mohammad dan Abdul Ghani Shamsudin," katanya. Ahli Dewan Undangan (Adun) Gombak Setia itu juga berkata, sambutan kepada Konvensyen ini sangat baik, kehadiran pun sangat baik, kertas kerja pun disampaikan dengan begitu baik oleh pembentang yang berkaliber. Sementara itu, katanya, bagi memperkasakan gerakan dakwah di Selangor katanya, Kerajaan Negeri akan mengadakan program bulanan yang dipanggil Forum Perdana Ehwal Islam bersiri dan bersilibus. "Apa yang dimaksudkan dengan bersiri ialah program ini diadakan setiap bulan, setiap hari sabtu malam Ahad, minggu kedua setiap bulan. "Apa erti bersilibus ialah ia mencakupi empat kompenan utama dalam Islam, iaitu Akidah, Syariah, Akhlak dan juga Ibadah. "Pada 13 Jun ini, kita akan mengulas mengenai kedudukan, menangani permasalahan akhlak dalam masyarakat, keluarga dan remaja bahkan warga emas pun menghadapi pelbagai masalah akhlak," jelasnya. Menurutnya, bagi menangani isu permasalahan akhlak yang semakin menular sekarang, pada minggu lalu, Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan dengan 100 wakil dari peniaga arak. "Apa yang kita buat sekarang ialah kita mendengar luahan dari pengusaha kedai yang menjual minuman ini di premis masing-masing di seluruh negeri ini seperti 7 Eleven, Tesco, Giant dan Carrefour. "Hasil perbincangan ini nampaknya menjurus ke arah positif. Namun, ada pihak kurang memahami mengenai isu ini kerana mereka kurang memahami enakmen yang ada di Negeri ini. "Selagi kita tidak membaca enakmen jenayah Selangor dan enakmen pentadbiran agama negeri Selangor selagi itulah kita tidak dapat sebenar nak meletakkan kedudukan arak. Sama ada dikaca mata orang bukan Islam dan orang Islam,"jelasnya lagi. Tambahnya lagi, apabila semua rakyat Selangor sudah memahami peruntukan yang ada dalam Enakmen ini. Pertama, minuman arak ini ditegah kepada orang Islam sahaja. "Kedua, kalau yang bukan Islam ditetapkan 18 tahun kebawah tidak dibenarkan sama sekali untuk membeli minuman arak di premis-premis perniagaan dan 18 tahun keatas diharuskan untuk membeli. "Ketiga, kita juga telah memikirkan apa juga cara-cara terbaik supaya penjualan arak dapat diasingkan dengan penjualan minuman lain dan juga kita juga akan membuat iklan yang besar yang mengatakan dari segi Islam arak adalah haram ditegah membeli arak," ujar beliau. Beliau berharap agar orang melayu yang beragama Islam dapat menghindarkan diri dari tegahan Allah. "Sesiapa sahaja orang Islam tidak dibenarkan langsung ada yang mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung tentang arak ini. "Hatta yang memproses arak diharamkan begitu juga yang menghidangnya, mencuci gelasnya pun haram dan menama pokok untuk dijadikan arak pun tidak boleh," katanya. Sementara itu, Abdul Ghani Shamsudin dalam pembentangan kertas kerja yang bertajuk, 'Teknologi maklumat sebagai medium dakwah yang berkesan' menegaskan, pendakwah perlu memiliki kemahiran untuk menelusuri pelbagai laman rujukan untuk hasil terbaik. "Mereka perlu bijak, pandai memilih dan tahu kaedah memanfaatkan wahana ini dengan pencarian Google perkataan 'al Quran Online' menunjukkan 1,990,000 pautan yang berkaitan dengan perkataan itu. "Antara laman web al Quran yang berfaedah ialah holyquran.net, al-islam.com, terjemahan al quran, rujukan seperti tafsir online dan belajar baca al quran serta berkenaan dengan hadith pula dapat diikuti di Islam Web Net," katanya |
Akhlak ahli gerakan Islam
oleh: Ustaz Zainudin Hashim | |
Setiap manusia memiliki potensi dan bakat tersendiri yang boleh melonjakkannya menjadi insan yang amat diperlukan oleh masyarakat, apatah lagi jika manusia ini daripada jenama Muslim, pasti dia amat diperlukan oleh agamanya untuk mengembang, memperkasa, membenteng, melindunginya daripada anasir yang boleh menggugat kekuatannya daripada serangan makhluk perosak akidah, iman dan ilmu pengetahuan agama. Ia semua tertakluk kepada sejauhmana insan Muslim itu dapat membentuk jati dirinya dengan aspek tarbiyah yang telah diperkatakan sebelum ini, dengan mengambil kira semua jenis tarbiyah yang diperlukan oleh seseorang ahli gerakan Islam yang aktif, di samping memelihara uslub dakwah yang berkesan bagi memastikan kesinambungan gerakan Islam terus utuh dan kukuh di persada alam ini. Bagi memastikan agar Islam terus berkembang melalui usaha dan kerja dakwah, ahli-ahli gerakan Islam perlu memelihara beberapa konsep akhlak yang dikira sebagai penting bagi meneruskan misi untuk memartabatkan Islam sebagai agama tertinggi dalam perjuangan hidup sebagai hamba Allah di muka bumi ini, antara akhlak tersebut yang mesti dipelihara ialah: 1. Akhlak terhadap Allah 2. Akhlah terhadap Rasulullah 3. Akhlak terhadap kitab Allah (al-Quran) 4. Akhlak terhadap Sunnah/hadis Rasulullah 5. Akhlak sesama jiran tetangga 6. Akhlak terhadap orang ramai Konsep akhlak dalam Islam Islam mempunyai dua sumber iaitu al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi pegangan dalam menentukan segala urusan dunia dan akhirat. Kedua-dua sumber itulah juga yang menjadi sumber akhlak Islamiyah. Prinsip-prinsip dan kaedah ilmu akhlak Islam semuanya didasarkan kepada wahyu yang bersifat mutlak dan tepat neraca timbangannya. Apabila melihat perbahasan bidang akhlak Islamiyah sebagai satu ilmu berdasarkan kepada dua sumber yang mutlak ini, dapatlah dirumuskan definisinya seperti berikut: Satu ilmu yang membahaskan tatanilai, hukum-hukum dan prinsip-prinsip tertentu bagi mengenal pasti sifat-sifat keutamaan untuk dihayati dan diamalkan dan mengenalpasti sifat-sifat tercela untuk dijauhi dengan tujuan membersihkan jiwa berasaskan wahyu Ilahi bagi mencapai keredhaan Allah (ridwaanullah). Manakala akhlak pula dapatlah kita rumuskan sebagai satu sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan tingkah laku perbuatan manusia dalam usaha membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah. Dengan kata lain, akhlak ialah suatu sistem yang menilai perbuatan zahir dan batin manusia baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan Allah, manusia sesama manusia, manusia dengan haiwan, dengan malaikat, dengan jin dan juga dengan alam sekitar. Justeru, baginda Rasulullah s.a.w. ada menegaskan bahawa, akhlaklah yang menjadikan seseorang Muslim itu hingga mencapai iman yang sejati, ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sesempurna iman seseorang yang beriman itu adalah yang paling baik akhlaknya." Akhlak terhadap Allah SWT Ia bermaksud bahawa yang paling utama sekali ialah beriman kepada Allah SWT selaku Pencipta yang meliputi kepercayaan dan pegangan kental mengenai 'Tauhid Uluhiyyah' dan 'Tauhid Rububiyyah' bagi melahirkan iman dan akidah yang sejahtera daripada sebarang kepercayaan khurafat, bid'ah, tahayul, syirik yang sememangnya tidak sinonim dengan ahli-ahli gerakan Islam yang memperjuangkan akidah yang benar berpaksikan al-Quran dan Sunnah baginda Rasulullah s.a.w. Akhlak terhadap Rasulullah s.a.w. Iaitu keimanan dan kepercayaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul dan nabi terakhir seperti yang ditegaskan oleh al-Quran, membenarkan risalah yang dibawa kepada umat bagi menyatakan konsep 'Amar Makruf Nahi Mungkar' tanpa mengira batas sempadan kaum, bangsa, kedudukan, pangkat, jantina dan sebagainya, semuanya sama di sisi Allah, kerana yang paling bertakwa adalah yang paling mulia di sisi-Nya. Akhlak terhadap kitab Allah (al-Quran) Sesungguhnya al-Quran adalah rujukan utama kepada ahli-ahli gerakan Islam, ia dapat dijelmakan melalui pembacaan, penghayatan, kajian, penghafazan jika mampu lakukan atau menghafaz surah-surah tertentu yang sering dibaca oleh orang awam dan mentafsirkannya dengan pendekatan yang mudah difahami oleh golongan sasaran, ia bertujuan bagi menarik mereka kepada jalan hidup Islam yang sempurna. Ini kerana al-Quran seperti apa yang pernah disampaikan oleh baginda sendiri, bahawa di dalam al-Quran ada menceritakan kisah orang-orang terdahulu daripada umat hari ini dan berita mengenai kehidupan di alam akhirat, ia memberi maksud bahawa kitab suci itu amat berguna untuk pegangan ahli-ahli kerana ia mampu menginsafkan mereka di samping menetukan hala tuju hidup terakhir untuk menuju jalan menemui Allah SWT. Ahli gerakan Islam perlu tahu tafsir al-Quran dengan baik, kerana ia terbahagi kepada tafsir al-Ma'thur sama ada tafsir ayat dengan ayat yang lain, atau tafsir ayat yang diperjelaskan oleh hadis Nabi, tafsir bi ar'yi al-Mamduh aitu tafsir dengan menggunakan pendapat yang boleh diterima seperti kitab tafsir yang dibuat oleh kedua-dua Tuan Guru Mursyidul Am dan Presiden PAS, tafsir Hamka, tafsir Ustaz Sonhaji Mohammad al-Ibr al-Athir dalam bahasa Melayu, Saiyid Qutb yang ditrerjemahkan dalam bahasa Melayu oleh al-marhum Yusuf Zaki Yaakob dan lain-lain. Akhlak terhadap Sunnah/hadis Rasulullah Hadis adalah perkara yang berkisar tentang Sunnah Rasul s.a.w. dan apa yang disandarkan kepada Rasul s.a.w. dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat akhlak (peribadi) dan sifat kejadiannya. Hadis atau Sunnah Rasul s.a.w. adalah sumber rujukan kedua selepas al-Quran. Sebagai ahli gerakan Islam, mereka perlu melihat bahawa hadis atau sunnah Nabi Muhammad penting dalam kehidupan rutin harian, iaitu mereka perlu menghafaz beberapa hadis penting sebagai rujukan hujah ketika menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai. Mereka juga perlu menguasai perkara yang berkaitan dengan hadis atau sunnah seperti mengetahui imam-imam tersohor agak tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pihak musuh yang berselindung dalam kelambu orang Melayu. Imam-imam itu adalah seperti Imam Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Ibnu Majah dan Nasa~ie disamping Imam Baihaqi, Tabarani, al-Hakim dan lain-lain, begitu juga menguasai ilmu 'Ulum al-Hadis' dengan mengetahui istilah hadis sohih, do'if, mutawatir, mursal, maudo' (palsu) dan lain-lain. Akhlak sesama jiran tetangga Ia juga merupakan pendekatan Nabi Muhammad s.a.w. dengan memelihara jiran tetangga walaupun mereka bukan beragama Islam, ini adalah kerana mereka juga merupakan makhluk manusia yang mempunyai hati dan perasaan yang sama dengan kita. Ahli-ahli gerakan Islam adalah disaran agar memiliki ciri mesra alam dengan sesiapa terutama jiran tetangga, dengan tidak diri atau isteri mendedahkan aurat ketika berinteraksi dengan mereka kerana ini boleh menghilangkan sedikit rasa tidak percaya mereka kepada diri dan menjejaskan potensi untuk mengajak mereka kepada Islam secara praktikal. Layanilah mereka dengan santun dengan tidak mengguris perasaan mereka walaupun mereka tidak menerima dakwah yang kita syorkan kepada mereka, apatah lagi mereka tidak sinonim dengan masjid atau program surau yang berbentuk kemasyarakatan dan ilmiah. Ahli perlu bersabar terhadap keranah mereka sebagai menyahut seruan baginda s.a.w. yang bermaksud: "Seorang mukmin yang bercampur/bergaul dengan orang ramai dan bersabar terhadap karenah-karenah mereka adalah lebih baik daripada mukmin yang tidak bercampur/bergaul dengan orang ramai dan tidak bersabar terhadap karenah-karenah mereka." Akhlak terhadap orang ramai Ia satu lagi akhlak yang perlu dititik-beratkan oleh ahli gerakan Islam, iaitu menjadikan orang ramai sebagai medium untuk menyampaikan mesej dakwah. Tetapi apapun sebelum melakukan tugas atau usaha dakwah itu, ahli perlu menguasai ilmu-ilmu alat di samping menyelami kehendak mereka bagi memudahkan kerja-kerja dakwah dengan tidak menghalalkan cara yang salah untuk sampai kepada matlamat. Usaha dakwah terhadap orang ramai perlu menunjukkan sikap dan akhlak terpuji, apatah lagi ia tidak kelihatan menyanggah sunnah-sunnah Rasululla s.a.w. seperti menghisap rokok, minum atau makan berdiri, memakai pakaian yang tidak dianggap sopan menurut pandangan orang ramai. Ia bertujuan untuk sampai kepada matlamat sebenar penciptaan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, sekali gus menaikkan taraf mereka sebagai sebaik-baik umat seperti yang ditegaskan Allah melalui ayat 110 surah Ali 'Imran yang bermaksud: "Kamu adala sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada umat manusia sejagat, dengan menyuruh mereka melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah." |