Wednesday, March 31, 2010

Pameran 'seni' yg berlangsung di sepanyol,Apa Pendapat anda?

pic32257
By: hijjaz79

Salam, sekadar nak berkongsi gambar yang ana copy paste dari DPPNS Yahoo Groups. Alangkah biadap dan kurang ajarnya puak2 Yahudi dan Kristian. Jika dilihat dan diteliti, senario masa sekarang memang benarlah gambar tu, Islam dipijak oleh Kristian, Kristian pula dipijak Yahudi. Amerika ikut telunjuk Yahudi dan pemimpin Islam yg sekular pula tunduk dan patuh dengan Amerika. Contoh yg terdekat, pemimpin negara kita laaa.... X de langsung ada usaha nak martabatkan Islam... Lihat gambar ni, teringat pulak tentang isu karikatur hina Nabi oleh salah satu akhbar Sweden baru-baru ni. Jumaat lepas 26hb Mac, ana sempat ikut serta demonstrasi dan perarakan ke Kedutaan Sweeden dari Tabung Haji ke Kedutaan Sweeden untuk menghantar memorandum bantahan ke atas kebiadaban salah satu akhbar Sweden yang menghina nabi anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat. Ana tunggu jugak kot2 ada Pemuda umNO nak buat demonstrasi atau bantahan, tapi sampai sekarang tak de langsung, senyap je.... tapi, tang Kalimah Allah, macam singa!!! opps mcm singa SARKAS. Tapi, mungkin diorg x de budget kot... Ni la, salah satu contoh org Islam (ye ke?) yang dimaksudkan dlm gambar di atas, berjuang Islam bila ada kepentingan.... harap2 kita tidak tergolong dalam gambar di atas. Pikirlah sendiri...

Read more...

Monday, March 8, 2010

Syarahan Perdana Sempena Ulang Tahun Ke 2 Kemenangan Pakatan Rakyat Negeri Selangor

8 Mac 2010 (Isnin)

8.00 – 12.00 Malam

Stadium Malawati, Syah Alam, Selangor

Syarahan Oleh:

1) YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
2) YAB Tan Sri Khalid Ibrahim
3) YB Dato Dr Hassan Ali
4) YB Teresa Kok Suh Shim
5) YB Mohamad Azmin Mohamad Ali

Read more...

Saturday, March 6, 2010

PAS nekad bantah GST, pengurangan cukai pendapatan hanya untungkan orang kaya


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membantah cadangan Kerajaan Barisan Nasional yang nekad melaksanakan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dilaksanakan menjelang pertengahan 2011 bagi mengantikan cukai perkhidmatan dan jualan sedia.
Pada masa ini kedua-dua cukai itu masing-masing berada 10 peratus dan lima peratus, tetapi hanya meliputi barang mewah sahaja dan bukannya barangan keperluan utama. Walaupun GST hanya 4 peratus tetapi ia akan melibatkan ke semua jenis barang termasuk barangan keperluan utama yang dikawal.


Strategi Kerajaan yang mahu mengurangkan cukai pendapatan dan korporat secara beransur-ansur bagi mengurangkan beban pengguna ini juga dilihat tidak logik kerana pembayar cukai pendapatan dan syarikat hanya melibatkan mereka yang berkemampuan, sedangkan cukai GST akan melibatkan semua lapisan rakyat termasuk mereka yang tidak berkemampuan.

GST akan menyusahkan ibubapa yang mahu membeli susu untuk anak-anak mereka, peniaga restoran juga terpaksa menaikan harga makanan jika beras, ikan, daging, ayam dan sayuran dikenakan cukai. Mereka yang hidup diluar bandar pasti akan lebih terasa kerana barangan keperluan yang dihasilkan dikilang akan meningkat dalam pasaran.

PAS juga melihat pembatalan cadangan penstrukturan semula subsidi Petroleum tidak memberi apa-apa makna, kerana bila GST 4 peratus dilaksanakan, kemungkinan harga minyak bercukai ini akan naik sebanyak 10 sen seliter atau lebih dari itu.

Harga tambang perkhidmatan juga kemungkinan akan berubah dengan peningkatan sebanyak 4 peratus. Bayangkanlah nasib pengguna perkhidmatan Komuter, LRT, Bas dan kapal terbang dimasa depan dengan cukai ini.

Bagi barangan yang dihasilkan dalam kilang pengguna berkemungkinan menerima cukai GST 8 peratus kerana 4 peratus dikenakan oleh pengilang dan 4 peratus dikenakan melalui pemborong atau penjual dipasaran.

Rakyat harus membuka mata terhadap isu ini dan PAS nekad membantah dasar GST demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Read more...

Anwar, ini bukan teguran saya, ini teguran Tuhan

Saya mendapati banyak respon dari apa yang saya sifatkan sebagai warkah saya buat saudara yang saya tulis sebelum ini. Respon ini bukan hanya dari kalangan kenalan yang masih berjuang di dalam PKR, tetapi juga rakan-rakan sepengajian saya dahulu, rakan-rakan di sekolah menengah (MRSM Kuala Terengganu), juga rakan-rakan ketika di Kolej Matrikulasi MARA Kulim. Kebanyakan mereka ini adalah dari lingkaran bukan parti, bukan politik, kebanyakan mereka ini sekarang berada di kedudukan kanan dan profesional dalam profesion masing-masing. Sikap prihatin dan ambil berat mereka terhadap saudara menandakan saudara masih dipercaya oleh masyarakat di luar sana untuk memimpin sebuah perjuangan perubahan, tetapi seperti saya juga, mereka sependapat yang saudara telah salah pertimbangan bila mengangkat “kawan-kawan Anwar” dari kelas elit politik untuk membarisi saf kepimpinan PKR.


Apa yang saya hujahkan lewat warkah saya buat saudara tempohari menjadi semakin benar bila ia siap ditulis dan disiarkan oleh Harakahdaily. Zahrain Hashim bukan penamat cerita, seorang demi seorang “orang pilihan” saudara angkat punggung dan meninggalkan PKR. Salehuddin Hashim, kononnya sahabat saudara yang berjaya dalam perniagaan dibawa masuk ke dalam PKR untuk membantu pentadbiran parti. Ketika dia masuk dengan jawatan Setiausaha Pengelola PKR, saya masih di dalam parti, dan kalau tidak salah ingatan, kami dimaklumkan dia cuma dibayar “token” RM1 sebulan. Pada masa itu tentulah saya terkasima dengannya, betapa tidak, seorang Datuk bergelar, berstatus usahawan berjaya, “rugged” dengan rambut berekor, sanggup membantu perjuangan seorang sahabat dengan hanya “token” RM1 sebulan… sungguh mulia hatinya!

Hari ini lain pula pendedahannya, Salehuddin Hashim menerima gaji RM9,000 sebulan! Saya rasa pendedahan ini bakal menggamit rasa marah dari ramai kalangan aktivis PKR. Lebih malang dari itu bila dia mengatakan jumlah tersebut sedikit berbanding dengan kerja dan tarafnya sebagai ahli korporat yang punya pendapatan melampau tinggi. Saudaraku Anwar, inilah “orang pilihan” saudara, “sahabat” puluhan tahun saudara yang saudara angkat untuk membarisi saf kepimpinan sebuah wadah perjuangan bernama PKR, lagak orang perjuangankah ini? Mana ada orang perjuangan mengungkit soal taraf dan kelas? Mana ada orang perjuangan mengungkit soal upah dan timbal-balas?

Ini baru kisah Salehuddin Hashim, belum lagi kisah Mohsin Fadzli Samsuri, Ahli Parlimen Bagan Serai, yang dalam kenyataan keluar dari PKRnya juga mengaku “sahabat” saudara selama 20 tahun. Belum juga kisah Zulkifli Noordin yang secara teknikalnya sahaja masih ahli PKR, mana mungkin seorang ahli parti, bukan sahaja menolak, bahkan tidak mengiktiraf keputusan Majlis Pimpinan Partinya sendiri?

Sesungguhnya benarlah teguran Tuhan itu…

Mengikuti kisah Salehuddin Hashim ini membuatkan saya terkenang kepada seorang aktivis PKR yang sekarang ini tidak lagi aktif, namanya Kamal Mohd Taib, semasa menyertai parti, dia adalah seorang perunding IT yang punya firma sendiri, tidaklah besar tetapi cukuplah untuk menampung hidup, yang saya pasti dia bukanlah “sahabat” atau “orang pilihan” saudara. Dia kemudiannya menjadi Setiausaha Perhubungan Keadilan Negeri Pahang, sekali lagi saya pasti dia tidak dibayar RM9,000, mahupun RM1,000 sebulan kerana tugasnya itu. Dari Kuala Lumpur, ke Mentakab kampung halamannya, kini dia di Kuantan. Kali terakhir saya jumpa dia berniaga kecil-kecilan di pasar tani, masih ramah dan mesra. Saya juga pernah melihat dia solat di masjid, wajahnya jernih, saya kira solatnya khusyuk. Dari keramahan dan wajah jernihnya, saya kuat merasa dia redha dengan apa yang telah dia lalui kerana sebuah perjuangan. Saya membayangkan, jika dia dibayar RM9,000, tidak perlu RM9,000lah, separuhpun memadai, hidupnya tidak akan perlu berkelana sebegitu rupa. Tetapi yalah, dia bukan Salehuddin Hashim yang pandai meminta, dia bukan “sahabat” saudara, dia ikhlas menyerahkan jiwa-raga demi sebuah perjuangan yang diseru oleh saudara.

Salehuddin Hashim dan Kamal Mohd Taib ini adalah dua contoh kontra, seorang dari kelompok elit, Datuk bergelar, sementara seorang lagi rakyat biasa yang datang entah dari mana. Senario inilah yang membawa saya kepada kesimpulan bahawa ini adalah teguran dari Tuhan.

Untuk mengungkap sebuah sirah Nabawi, tentulah saudara sebagai bekas pemimpin gerakan Islam lebih arif, tetapi saya titipkan juga di sini sebagai ingatan buat semua, betapa Allah sudah mengingatkan yang golongan elit ini sentiasa merasa mereka ada semua, apakah mereka sanggup kehilangan atau kekurangannya? Apakah tujuan mereka dekat dengan perjuangan? Adakah untuk turut sama berkorban demi perjuangan, atau mengintai peluang menambah laba keuntungan dari keberhasilan perjuangan tersebut?

Allah berfirman dalam Surah ‘Abasa atau orang kampung lebih ingatnya sebagai Surah ‘Abasa watawalla, ayat 1-11, mafhumNya…

[1] Ia memasamkan muka dan berpaling
[2] Kerana ia didatangi orang buta
[3] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu)!
[4] Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya
[5] Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran)
[6] Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya
[7] Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya)
[8] Adapun orang yang segera datang kepadamu
[9] Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah)
[10] Maka engkau berlengah-lengah melayaninya
[11] Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi)

Inilah kisah Ummu Maktum, si buta yang setia dengan perjuangan Islam pimpinan Nabi s.a.w. Menurut riwayatnya, Ummu Maktum ini, sudahlah orang biasa, buta pula tu, sering bertemu Nabi s.a.w untuk bertanya tentang petunjuk baru, wahyu baru yang diturunkan Allah s.w.t. Pada satu hari ketika Ummu Maktum datang berjumpa Nabi s.a.w, Nabi s.a.w sedang menerima kunjungan tetamu, seorang pemuka, elit politik Quraish. Kerana kepentingan kedudukan elit Quraish ini (yang difikir boleh memberi kelebihan kepada perjuangan Islam kalau dia menyertainya), Nabi s.a.w lantas merasa terganggu dengan kehadiran Ummu Maktum yang buta ini lalu berpaling dan memasamkan muka. Kerana kesilapan Nabi s.a.w ini, maka Allah s.w.t segera berfirman menegur baginda melalui ayat di atas.

Dalam konteks senario yang berlaku hari ini, Ummu Maktum mewakili kelompok rakyat biasa, sementara elit Quraish itu samalah dengan Zahrain Hashim, Nallakarupan, mahupun Salehuddin Hashim, semuanya Datuk bergelar, elit dalam masyarakat.

Perhatikan ayat kelima di atas, orang-orang elit yang merasa keadaannya telah cukup tidak berhajat lagi dengan perjuangan. Kalau mereka dekat dengan perjuangan, kononnya atas alasan “kawan” Anwar, berhati-hatilah!

Sedangkan ribuan rakyat biasa, ada yang hina-dina, bangkit datang kepada saudara bila saudara dianiaya hanyalah kerana ayat lapan dan sembilan di atas, mereka takut, mereka takut turut menjadi zalim di sisi Tuhan kerana tidak membela saudara yang dizalimi. Ummu Maktum, kerana jasanya menjadi orang yang menyebabkan Nabi ditegur oleh Allah s.w.t, akhirnya diangkat oleh Nabi s.a.w menjadi Gabenor Madinah sebanyak dua kali. Orang ramai, orang biasa yang menyokong saudara selama ini tidaklah mengharap sampai ke tahap itu, tetapi mereka juga tidak mahu lagi orang-orang seangkatan dengan Zahrain Hashim, Nallakarupan, Salehuddin Hashim, mahupun Zulkifli Noordin, diberi layanan dan kedudukan istimewa, lebih banyak curiga dari percaya.

Mengambil pengajaran dan iktibar dari Surah ‘Abasa di atas, saya kira saudara juga sedang berada dalam tempoh keteguran, bukan keteguran hantu-jembalang, tetapi keteguran oleh Tuhan seperti yang difirmankanNya dari ayat lima hingga ayat kesebelas. Saudara keteguran kerana tersilap tidak memandang dan melayani wajah-wajah muda, wajah orang biasa yang mungkin tidak kaya harta-benda ini tetapi dari dahulu kekal setia dengan perjuangan yang dipimpin saudara.

Sepatah firman Allah dalam ayat kesebelas di atas, “Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu!” Semoga kita sentiasa di dalam petunjuk dan rahmatNya.

- Zukri Aksah Read more...

Thursday, March 4, 2010

Ceramah Perdana Pakatan Rakyat , Kepong, 6 Mac

Program Jamuan Makan Malam dan Ceramah Perdana 'Selamatkan Malaysia' di Kepong
Anjuran DAP Kepong

6 Mac 2010 (Sabtu)

Lokasi:

Jalan Metro Perdana Timur 5, (Belakang Carrefour Kepong)
Taman Usahawan Kepong,
Kepong, Kuala Lumpur

Jam: 9.00 – 11.00 Malam

Penceramah:

1) YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
2) YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
3) YB Lim Kit Siang

sumber: http://anwaribrahimblog.com/2010/03/04/ceramah-perdana-pakatan-rakyat-kepong6-mac/
Read more...