Friday, July 31, 2009

Anda Patut Tahu..!!!

Anda akan menyertai Demonstrasi ANTI I.S.A atau KEKALKAN I.S.A? Tak kisahlah kalau anda ingin menyertai mana-mana kumpulan kerana setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan pendapat masing-masing. mansuh I.S.A

Namun anda juga perlu bersedia untuk berhadapan dengan risiko ditahan atau ditangkap pihak berkuasa (POLIS) sama ada yang beruniform ataupun pegawai Special Branch yang memakai baju preman (Mungkin juga dia orang yang sama berdiri disebelah anda dan melaungkan ‘reformasi”, “takbir” dll..Jangan terpedaya dengan janggut dan kopiah mereka…Hehe.)

Baiklah, secara ringkas, sila hadamkan Hak-hak anda seperti berikut agar anda lebih yakin dan bersedia. Ingat, jika anda tidak mengetahuinya maka kemungkinan hak ini akan dinafikan dan anda akan diperdaya!
Puluhan Ribu Semasa Perhimpunan BERSIH

Puluhan Ribu Semasa Perhimpunan BERSIH

1. Anda mempunyai hak untuk bertanya kenapa anda ditangkap. Dapatkan nama pegawai yang
2. bertanggungjawab dalam penangkapan. Jika tiada jawapan maka anda boleh nyatakan bahawa anda sebenarnya tidak ditangkap.
3. Jika anda digari semasa di tangkap, anda berhak meminta agar gari itu ditanggalkan sebaik sahaja anda dimasukkan ke dalam trak polis.(Budi bicara polis)
4. Terus hubungi peguam, ahli keluarga dan kawan anda apabila tiba di balai polis.Pastikan anda tahu balai mana anda berada. SMS dahulu sebelum membuat panggilan.SMS ke seberapa banyak kenalan yang ada dalam phonebook anda. Jika telefon anda dirampas, minta senarai barang rampasan dari Polis sama yang merampasnya.(jika mereka enggan, hafal nama,nombor atau cam muka mereka.Perhatikan tanda seperti tahi lalat atau bekas parut dsb).
5. Kemungkinan anda akan dijamu sedikit makanan dan minuman. Kalau lapar makanlah, tetapi ini hanya satu taktik untuk menenangkan anda supaya mudah memberi kerjasama kepada mereka dalam soal-siasat.
6. Jika anda disoal dibawah Seksyen 133, pegawai penyiasat (I.O) akan membacakan hak anda seperti ““Adalah menjadi kewajipan saya memberi amaran kepada kamu bahawa kamu tidak diwajibkan berkata apa-apa atau menjawab apa-apa soalan, tetapi apa-apa jua yang kamu katakan samada sebagai jawapan kepada sesuatu soalan atau tidak, boleh dijadikan sebagai keterangan”.
7. Minta dengan baik pensil dan kertas. Anda boleh mencatatkan soalan yang ditanya. Dan yang paling penting, anda boleh menjawab dengan perkataan “saya tiada jawapan” sekiranya anda kurang pasti. Ingat, jawapan anda boleh memungkinkan anda didakwa dan disabitkan bersalah.Jadi berhati-hati apabila menjawabnya.
8. Berhati-hati apabila anda diminta menandatangani sebarang kertas. Pastikan anda membaca setiap baris yang tertulis di dalam kertas tersebut. Terjadi dalam banyak kes bahawa OKT tidak tahu bahawa mereka menandatangani Borang 28 yang menafikan hak mereka kepada Peguam. Maknanya jika ada sahabat anda atau wakil dari mana-mana bantuan guaman, mereka tidak boleh berjumpa dengan anda kerana anda telah menandatangani borang tersebut.

Artikel 5 (3), Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28 Criminal Procedure Code menyatakan hak statutori anda untuk mendapatkan peguam (hak asasi).

Oleh itu, ketahuilah hak anda sebagai rakyat Malaysia yang meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai sumber yang tertinggi dalam pentadbiran negara ini. Insyaallah, betulkan niat, berdoa & bertawakallah. Wallahu ma’assobirin”..
Bar Council

Bar Council Legal Aid Centre (Kuala Lumpur),
6th Floor, Wisma Kraftangan, Jalan Tun Perak,
50050 Kuala Lumpur.
Phone: 03-26932072 / 26913005 – simpan dalam telefon bimbit anda!
Fax: 03-26930527
E-mail : lacklb@klbar.org.my
Website: www.legalaidkl.org Read more...

Thursday, July 30, 2009

Makluman pergerakan Himpunan Mansuhkan ISA 1 Ogos


KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Bagi melancarkan Himpunan Aman Mansuhkan ISA pada 01 Ogos 2009, Sekretariat Himpunan Aman Mansuhkan ISA mengumumkan tempat berhimpun dan pergerakan himpunan seperti berikut:

1. Tempat berhimpun dan negeri-negeri berkaitan:

a. Sogo:

Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak

b. Masjid Jame� Kuala Lumpur:

Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan

c. Masjid Negara:

Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

(Peserta-peserta himpunan aman dikehendaki berkumpul mengikut negeri masing-masing)

2. Perarakan ke Istana Negara akan dimulakan tepat jam 2 petang untuk menyerahkan Deklarasi Rakyat membantah ISA

3. Semua peserta dikehendaki mengikut arahan pihak keselamatan (Jabatan Amal) yang berpakaian merah

4. Peserta digalakkan masuk awal ke Bandaraya Kuala Lumpur dengan meggunakan kenderaan awam untuk mengelakkan kesesakan

Sekian,


Kamaruzaman Mohamad
Timbalan Pengarah Himpunan Mansuh ISA,
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat. _

Read more...

Testimoni anak seorang tahanan ISA

Suhaib Mat Sah

Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga.

Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....

7 tahun telah berlalu

Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo

Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...

*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Dipetik daripada blog merdekareview - azm

Read more...

Monday, July 27, 2009

Nizar Pegang Lilin..Najib??



WEL..WEL..WEL..

YELEY PETEY YELEK

SAYA..SAMI NAJIB..DATANG DARI PEKAN MARI..AMMAAAKKKKKK Read more...

Friday, July 24, 2009

Mengenang kembali gerakan ISLAM yang ditekan....

SELEPAS demonstrasi mahasiswa tahun 1974, ketika itu Anwar Ibrahim dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pucuk pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) jatuh ke atas bahu Ustaz Fadzil Nor, ketika itu seorang pensyarah agama di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Jalan Gurney.

Pada masa itu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dipimpin Asri Muda, berada dalam Barisan Nasional.

Obor panji-panji gerakan Islam ketika itu dipegang oleh ABIM. Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang mengetuai Barisan Nasional pula sedang bergolak. Kepimpinan Razak Hussein sedang dicabar oleh Harun Idris. Pemergian beliau menjadikan keadaan politik bertambah buruk. Hussein Onn mewarisi masalah politik ini.

PAS pula yang selesa berada dalam Barisan Nasional sudah dijauhi oleh anak-anak muda khususnya mahasisiwa. Bagi mereka yang jemu dengan politik Barisan Nasional memikirkan bahawa pembaharuan politik hanya ada pada Islam.

Sosialisme sudah tidak menarik bagi anak-anak muda Melayu. Kegagalan kerajaan-kerajaan sosialis memberi kemakmuran kepada rakyatnya dan sifat mereka yang menindas di Indonesia, Mesir dan lain-lain negara mendorong anak-anak muda Islam melihat kembali kepada agamanya.

Kerajaan sosialis Mesir menindas Ikhwanul Muslimin. Di Indonesia, kerajaan Suharto menekan Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi).

Di atas platfom ABIM, anak-anak muda melancarkan perjuangan gerakan Islam. Di kampus-kampus, perbincangan diadakan dengan mewujudkan kumpulan-kumpulan kecil yang berpusat di surau-surau asrama. UTM, Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Teknologi Mara (ITM) menjadi tempat timbulnya pergerakan baru ini.

Dalam kesibukan bekerjanya, Ustaz Fadzil turut berkempen memperjuangan usaha membebaskan Anwar daripada tahanan ISA.

Tidak bebas bergerak

Anak-anak muda di kampus ini tidak bebas bergerak. Walaupun mereka berjaya mendapat sokongan mahasiswa melalui gerak kerja tersusun hingga menguasai Persatuan Mahasiswa Islam dan Persatuan Mahasiswa Universiti, aktiviti mereka ditekan. Antara tindakan pihak berkuasa ialah memindahkan Ustaz Fadzil ke Sabah untuk mengurangkan kesan perjuangannya.

Pada tahun-tahun akhir 1970-an itu, Umno yang di dalamnya tetap bergolak mempunyai cita-cita untuk merampas Kelantan daripada PAS. Seorang pemimpin muda Umno yang bercita-cita tinggi turut ingin membuktikan kewibawaannya dengan projek bagi menawan kembali Kelantan. Umno sebagai rakan kerajaan campuran dalam Barisan Nasional Kelantan yang dipimpin PAS tidak berpuas hati dengan kedudukannya.

Pemimpin muda itu ialah Razaleigh Hamzah yang bercita-cita untuk menjadi Presiden Umno sedangkan Hussein memberi laluan kepada Mahathir Mohamad. Mengapa kalau Umno percaya kepada kepentingan Melayu dan perpaduannya tidak komited untuk mempertahankan PAS dalam Barisan Nasional? Mereka mencari peluang untuk mendapatkan kembali Kelantan.

Peluang itu terbuka apabila dalam PAS, yang ketika itu sudah selesa berada dalam kerajaan berlaku rebutan kedudukan bagi jawatan Menteri Besar Kelantan.

Peluang inilah yang diambilnya. Mereka menyokong pihak yang menentang pucuk pimpinan PAS. Biasalah dalam politik, memecahkan pihak lawan dengan mengadu-domba. Hussein dan Razaleigh menyokong Mohamad Nasir untuk menentang ketuanya, Asri. Oleh kerana PAS tidak mahu tunduk, Barisan Nasional melalui Umno menendang keluar PAS.

Maka berlakulah kekecohan dalam politik Kelantan tetapi akhirnya setelah semuanya selesai, PAS mendapati dirinya menjadi pembangkang, bukan saja di peringkat Persekutuan, tetapi juga di Kelantan.

Tetapi yang menjadi Menteri Besar bukannya daripada kalangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) pimpinan Mohamad Nasir, parti yang menggantikan PAS dalam Barisan Nasional. Setelah melalui pilihan raya negeri yang didahului dengan darurat, Kelantan berjaya dirampas oleh Umno.

Ketika PAS berada di luar Barisan Nasional, tekanan terhadap gerakan Islam meningkat. Berapa banyak pemimpin PAS yang ditahan ISA sejak parti itu keluar daripada Barisan Nasional? Penyusunan semula terhadap gerakan Islam berlaku selepas PAS ditendang keluar. Ia muncul sebagai wadah gerakan Islam yang utama.

Di bawah pimpinan Allahyarham Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Nor dan Ustaz Hadi Awang, PAS meredah onak dan duri yang ditaburkan oleh Umno.

Tidak semua yang dapat tahan mengharungi kesusahan-kesusahan yang ditanggung oleh PAS sebagai gerakan Islam yang ditekan oleh Umno yang memiliki jentera kerajaan.

Pada tempoh tahun-tahun 80-an, PAS dan Umno masing-masing tetap bergolak. Asri yang keluar PAS untuk memimpin Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) pada mulanya membawa partinya ke dalam Barisan Nasional akhirnya menyertai Umno itu sendiri.

Tokoh PAS seperti Nakhaie Ahmad dan Suhaimi Said juga menyertai Umno. Pada masa itu, ABIM sudah lama menyokong Umno mengikut jejak Anwar yang berjaya mencapai satu tahap lagi untuk menjadi presiden parti tersebut.

Tetapi di pihak Umno, pergolakan lebih hebat. Ia berpecah dua menjadi Umno Baru dan Semangat 46. Razaleigh yang berjaya merampas Kelantan untuk Umno akhirnya mengembalikan negerinya kepada PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990.

Maka Ustaz Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan. Antara program pertama beliau selepas menjadi ketua kerajaan negeri itu ialah mengunjungi pusara Allahyarham Ibrahim Libya di Memali, Baling, Kedah. Ini kerana peristiwa Memali merupakan simbol tekanan yang diterima oleh gerakan Islam negara ini khususnya PAS.

Perjuangan PAS penuh dengan keperitan dan pengorbanan dan matlamatnya bukan untuk membawa pemimpin-pemimpinnya tinggal di banglo-banglo Putrajaya atau memandu Mercedes. PAS adalah gerakan Islam untuk rakyat tertindas dalam perjuangan mencari keredaan Ilahi. Read more...

Zaid Ibrahim - Satu Lagi 'Cover Up' akan berlaku....

Kata Dr Mahathir orang Melayu mudah lupa; saya pula kata orang Malaysia juga mudah lupa. Dari tragedi kematian Teoh Beng Huat, ada antara kita yang sudah pun puas hati dengan pengumuman penubuhan Suruhanjaya Diraja oleh kerajaan Barisan Nasional. Seolah-olah dengan adanya pengumuman itu, semua masalah akan selesai.

Nampaknya ada orang Malaysia sudah lupa dalam soal salah laku polis dan kes-kes kematian semasa siatan dan sewaktu dalam tahanan. Mereka sudah lupa bahawa cadangan-cadangan pokok yang dibuat oleh Tun Dzaiddin dan Tun Hanif dalam Laporan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) lima tahun lalu masih belum dilaksanakan.

Mereka juga lupa mengenai cadangan-cadangan Suruhanjaya Diraja yang diketuai oleh Tan Sri Haidar mengenai kes pita video V.K. Lingam. Walaupun kandungan laporan itu sudah dimaklumkan kepada umum, dan secara “prima facie” memang ada kes salah laku oleh orang-orang ternama, tindakan susulan yang sepatutnya dilaksanakan oleh Peguam Negara tidak pun berlaku.

Kini satu lagi sejarah hitam berlaku dalam negara kita di mana Teoh menjadi mangsanya. Rakyat Malaysia sekali lagi mahu sa buah Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh. Nampaknya sekali lagi kita akan dipermainkan, dan sudah pasti kita akan terus kecewa dan hampa.
Perdana Menteri menyediakan dua badan untuk menyiasat kes tersebut. Oleh kerana rakyat mahukan Suruhanjaya Diraja, maka Najib menghadiahkan satu Suruhanjaya tapi ia hanya untuk menyiasat prosedur yang digunakan oleh pihak penyiasat, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Yang menyiasat soal pokok yang lebih besar dan penting, iaitu mengenal punca sebab kematian Teoh yang memang semua orang ingin tahu; Najib menyerahkan tugas yang maha berat itu kepada seorang majistret, iaitu pegawai mahkamah yang paling rendah pangkat dan kedudukannya di bawah kawalan Peguam Negara.

Jadi, marilah kita sama-sama fikirkan sendiri, sejauh mana hasil siasatan sa orang majistret dan sama ada kebenaran akan terserlah nanti. Saya jangka satu lagi “cover up” akan berlaku.

Ingin dingatkan bahawa Suruhanjaya Diraja di bawah undang-undang hanya boleh membuat cadangan-cadangan sahaja. Tindakan muktamad terhadap orang yang didapati bersalah bergantung kepada Peguam Negara. Kalau Peguam Negara kata tak ada salah laku, maka dengan itu tak wujudlah kesalahan, walaupun Suruhanjaya Diraja mendapati ada kesalahan. Tengoklah apa yang berlaku dalam kes pita video Lingam. Sampai hari ini, yang jelas bersalah masih belum di bawa kamuka pengadilan.

Kalau rakyat mahu tahu dengan sebenar-benarnya mengenai bagaimana dan sebab-sebab Teoh, A. Kugan dan 1,500 orang lagi yang mati dalam tahanan sejak 6 tahun lalu, hanya ada satu cara sahaja – KITA MESTI MENOLAK BN. Biarlah Pakatan Rakyat pula diberi peluang memerintah. Itu sahaja harapan kita untok mengetahui perkara yang sabenar. Read more...

Thursday, July 16, 2009

Rasuah terang-terangan Umno di Manek Urai

sumber:ajijoi

Ramai beratur ambil wang di MU

Kira-kira 40 dilihat beratur di hadapan sebuah rumah kayu dalam kawasan bangunan pejabat Kesedar, yang terletak kira-kira 50 meter dari pusat mengundi di SK Peria.

Malaysiakini nampak mereka menghulurkan kad pengenalan masing-masing kepada beberapa petugas di depan pintu rumah tersebut.

Beberapa orang yang bertugas di situ memegang senarai nama yang didakwa pengundi yang tinggal di luar Manek Urai dalam daftar pemilih.

Petugas terbabit kemudiannya memanggil nama dari senarai berkenaan dan mereka yang beratur di situ akan menunjukkan kad pengenalan masing-masing bagi mengesahkan identiti mereka.

Seorang lelaki warga emas yang pulang dari Kuala Lumpur untuk mengundi, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka menerima RM300 jika nama mereka terdapat dalam senarai tersebut sebagai elaun tambang.

Wartawan melihat sendiri orang ramai menunjukkan kad pengenalan mereka kepada petugas di situ dan kemudian keluar sambil memegang beberapa keping wang tunai RM50.

Tidak kelihatan sebarang logo parti politik tetapi terdapat sebuah kereta Proton Wira warna putih bersama logo Kesedar di depan rumah tersebut, tempat orang ramai beratur.

Seorang petugas lelaki yang berbaju putih memanggil nama mereka yang beratur. Difahamkan beliau merupakan tuan rumah bagi ceramah "Pentas Pemuda" di Sungai Peria beberapa hari lalu.

Mafrel, polis siasat rumah kayu

Sementara itu, pemantau piihanraya, Mafrel, telah pergi ke rumah kayu tersebut dengan ditemani anggota polis pada jam 11.30 pagi, ekoran dakwaan pemiliknya membayar RM300 kepada pemilih yang tinggal di luar Manek Urai, yang pulang mengundi hari ini.

Pemilik rumah tersebut, ketika ditemui pihak Mafrel sebelum itu, menghalang mereka daripada masuk ke dalam.

Lelaki itu berkata:"Ni dah janji daripada Kuala Lumpur untuk bagi pada mereka sebagai transportation allowance (elaun tambang), ini sama dengan PAS, awak tak buat pulak."

Wakil Mafrel berkata, beliau bukan dari PAS tetapi dari badan bukan kerajaan.

"Kita tidak memihak... jika ada laporan, kami akan siasat," katanya.

Lelaki berkenaan yang menganjurkan ceramah untuk seorang pemimpin Pemuda Umno minggu lalu, tetap tidak membenarkan mereka masuk ke dalam, dan berkata:

"Awak semua tak boleh masuk, ini duit politik Datuk Aziz," katanya.

Bagaimanapun, apabila Mafrel tetap bertegas, mereka dibenarkan masuk dengan diiringi anggota polis.

Di bawah ini adalah sebahagian gambar-gambar yang sempat dirakam oleh Perisik Rakyat…

Read more...

Keputusan PRK MU Satu Amaran

Oleh Hamzah Filfilan


Akhirnya debaran menanti keputusan PRK MU telahpun berakhir, PAS yang mewakili PR berjaya mempertahankan kerusi DUN tersebut dengan majoriti yang amat tipis berbanding PRU ke-12 yang lalu. Saya secara peribadi memang telahpun menjangkakan awal-awal lagi sama ada PAS akan tewas ataupun akan menang tipis. Kita amat berharap agar para pimpinan yang duduk kat atas tu faham akan isyarat yang ditunjukkan oleh rakyat di MU.

Berbagai alasan akan diberikan.... BN guna duitla...janji-janji pilihanraya a, media berat sebelahla....dan seribu satu alasan akan dikemukakan. Dan kita telah mendengar semalam PAS akan mengadakan post-mortem untuk mengkaji kenapa perkara ini boleh berlaku.

Bagi saya, tragedi ini (saya anggap ini tragedi) adalah kerana salah PR sendiri, bukan salah sesiapa. Di ambang kita hendak menghadapi PRK ini berbagai kontroversi melanda dan diperbesarkan oleh media. Nak salahkan media? Sendiri cari penyakit sendiri jawabla....

Kita sebok nak menghadapi PRK, yang sebok bawak idea Kerajaan Perpaduan tu kenapa? Idea ini dari PAS kemudian PAS sendiri yang tolak. PM dengan senang hati kata sudi menerima idea ni. Sekarang yang nampak jahat siapa? PAS tolak perpaduan, BN nak perpaduan. Benda ini telah dieksploit dengan baik oleh BN. Kadang-kadang pening memikirkan apa punya idea ni...dulu sebok dengan muzakarah la, muqabalah la dan entah apa-apa lagi....yang pemuda PAS pulak sibuk nak berwacana dengan pemuda UMNO.....????? Sepatutnya idea-idea macam tu bincang dulu diperingkat kepimpinan, jangan sebok dan gatal mulut pergi bercakap dengan media!

Kalau nak sangat berbincang, bermuzakarah, bermuqabal, berwacana....buatla di peringkat komponen PR...kalau mereka sanggup berwacana sesama sendiri pastilah isu tempat sembelih babi tak timbul di Kedah. Isu ini juga telah menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap PR. PR kelihatan tidak kukuh dan bersatu.

Timbul pulak isu Kg. Buah pala di Penang. Nampak sangat tidak sepakatnya PR. Ketua AMK sendiri boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak sedap didengar. Malasla nak ulas. Lepas tu keluar pula berita dalam akhbar, Lim Guan Eng seolah-olah menyalahkan DSAI yang berjanji nak selesaikan masalah ni dan bukannya beliau. Sebelum ni timbul isu ahli majlis MPSP yang dipecat.....macam-macam hal....malslah nak ulas panjang-panjang.

Pergi pula ke sebuah lagi negeri PR....Selangor. Ni satu hal lagi...tiba-tiba seorang pemimpin kanan PKR tibai secara sindiran terhadap EXCO, dan turut ditambah semangkok oleh salah seorang MP PR dari Wilayah Persekutuan. YB Ronnie pulak minta penjelasan MP ni telah isu yang ditimbulkan. Tak ke nampak bercelaru? Kalau yepun tak puas hati kan mereka boleh berbincang secara tertutup....bermuzakarah, bermuqabalah, berwacana....sesama sendiri. Tak payahla dihebohkan sehingga menjejaskan imej dan moral kami para pendodokong Pakatan.

Dan hari ini dalam blog LKY ada tajuk ni..."Time for Pakatan Rakyat to set up a disciplinary committee to restore public confidence in PR cohesion, coherence, discipline, unity and common sense of purpose" .... saya amat bersetuju sekiranya perkara ini diberi keutamaan. Sepatutnya dah lama ada. Tapi tak apa...better late then never...keceluparan sesetengah pemimpin dalam memberi keyataan atas sesuatu isu perlu d disiplinkan. Kita bersetuju pendekatan telus dan terbuka, tetapi kalau sampai menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap PR maka perkara ini hendaklah dikaji sedalam-dalamnya.

BN telahpun menganggap kekalahan tipis mereka sebagai kemenangan moral, dan kita dapat menjangkakan pasti mereka akan bertungkus lumus menaikkan kembali imej mereka di kalangan rakyat. Mereka kini telah mendapat talian hayat yang dinanti-nantikan. Keadaan mereka yang kelihatan nazak sebelum ini seakan-akan telah pulih....awas para pendokong PR, pasti mereka akan menggasak hebat selepas ini.

Diharap para pendokong PR berhentilah berbulan madu....kini masanya kita bermuhasabah, mencari dan mengkaji kelemahan diri, dari dok asyik menyalahkan pihak lain. Kini rakyat ingin melihat hasil bukan lagi dibuai mimpi-mimpi indah kemenangan semalam. Masa masih ada untuk kita sama-sama membetulkan kesilapan...

Apapun bagi kami para reformis tegar, apa keadaan sekalipun kami ingin melihat perubahan senario politik yang dicetuskan pada PRU itu akan kekal momentumnya...namun kalau jadi sebaliknya kami tetap tidak akan berubah....lawan tetap lawan.....INSYA ALLAH!
Read more...

Monday, July 13, 2009

BN - Beruk N....

Read more...

Tuesday, July 7, 2009

Manek Urai






Read more...

Monday, July 6, 2009

Menggempur Umno di Manek Urai

Oleh: Mohd Rashidi Hassan

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Manek Urai, Kuala Krai bermula 6 Julai ini harus dijadikan titik mula untuk membenam Umno-Barisan Nasional dipersada politik negara.

Dengan sokongan dan dokongan semua pihak, dari kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama, terutamanya daripada rakan-rakan Pakatan Rakyat, PAS seharusnya berada dalam kedudukan yang selesa berbanding Umno-BN.

PAS memperolehi keselesaan, apabila sudah tiada lagi isu-isu dalaman mahu pun luaran yang boleh dipergunakan Umno-BN untuk menyerang atau memecahbelahkan PAS, khususnya dalam isu yang berkaitan dengan Kerajaan Perpaduan.

Kepimpinan dan anggota Pakatan Rakyat, khususnya Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim juga sudah memberi akujanji untuk turun habis-habisan membantu kemenangan calon PAS.

Kesepaduan saf kepimpinan PAS sudah mulai terjalin. Tiada lagi kedengaran suara-suara teguran terhadap kepimpinan, lantaran kebijaksanaan Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden merungkaikan isu Kerajaan Perpaduan.

Di kalangan rakan-rakan Pakatan Rakyat juga, sudah tiada lagi pandangan negatif terhadap PAS dan mula memahami sedikit sebanyak fungsi dan peranan PAS sebagai parti tonggak orang-orang Melayu yang bertunjangkan Islam.

Dalam konteks Manek Urai, sebuah kawasan majoriti Melayu-Islam. Sudah tentu isu-isu berkaitan agama, bangsa, pembangunan dan keadilan sosial bakal mendominasi kempen.

PAS dalam isu-isu berkaitan agama, jauh lebih terkehadapan daripada Umno.

PAS juga dalam isu-isu berkaitan kepentingan bangsa Melayu, juga lebih diyakini dan semakin mendapat kepercayaan rakyat, khususnya dalam memperjuangkan isu bahasa, pendidikan dan pembahagian ekonomi orang-orang Melayu.

PAS beruntung kerana keperibadian dan kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan, begitu disanjungi dan dihormati rakyat dari tahun 1990, kekal sehingga kini.

Namun, petugas-petugas PAS tidak seharusnya terlalu yakin dengan kelebihan yang ada. Mereka harus bekerja lebih keras untuk mempertahankan kemenangan PAS di Dun Manek Urai.

Mempertahankan kemenangan adalah lebih sukar daripada merebut kerusi yang dikuasai parti lawan.

PAS tidak seharusnya memandang ringan keupayaan Umno-BN. Sebagai sebuah parti yang mendominasi Kerajaan Pusat sekian lama, sudah tentu Umno-BN begitu mahir dan licik mengeksploitasi peluang.

Sejak sekian lama, sama ada Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil, Umno-BN sentiasa mengambl peluang untuk mengeksploitasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menyebarkan propaganda menerusi media arus perdana untuk menyerang PAS dan Pakatan Rakyat dan mempergunakan jentera kerajaan termasuk polis untuk kempen BN.

Semua institusi ini dipergunakan untuk mencemar dan memburuk-burukkan PAS dan Pakatan Rakyat yang dilabel sebagai pembangkang.

Setakat ini, alhamdulillah, walaupun kita sering bertembung 'di padang yang tidak sama rata', namun Pakatan Rakyat berjaya memenangi hampir kesemua kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Kecil.

PAS dan Pakatan Rakyat tidak harus berdiam diri, harus dituntut supaya Pilihan Raya Kecil ini dianjurkan secara adil, telus dan saksama.

PAS juga harus membuktikan bahawa ianya merupakan sebuah parti yang benar-benar bersedia untuk menggantikan Umno-BN.

Semua ahli, penyokong PAS serta Pakatan Rakyat harus mengambil peluang untuk menyanggah doktrin Umno-BN di Manek Urai, bekerja keras untuk memenangkan calon PAS, sekaligus memperkukuhkan pengaruh PAS di Kelantan Darul Naim

Read more...