Friday, May 29, 2009

ULAMA PRO UMNO JANGAN CEPAT MELATAH

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Apabila timbulnya isu mogok lapar di Perak , Umno dilihat menggunakan ulama’ tertentu untuk menghentam PAS dan Pakatan Rakyat ( PR ). Tokoh agama Johor dan juga mantan Mufti Johor, Datuk Noh Gadut dilaporkan berkata, amalan mogok lapar haram dan bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah kerana ia boleh memudaratkan.

Selain Datuk Noh Gadut , Mufti Perak , Datuk Harussani juga membidas rancangan PR untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Ketika ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ''Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya," ( lihat Mingguan Malaysia 24/5/2009 )

Saya tidak pasti bagaimana kedua-dua tokoh agama ini melihat krisis Perak. Atau dengan lebih terang lagi saya tidak pasti adakah mereka benar-benar memahami krisis Perak ini ?

Kita melihat kedua-dua tokoh ini dengan begitu mudah mengharamkan perbuatan mogok lapar tanpa melihat dan merenung mengapakah mogok lapar tersebut dilakukan ?

Apa yang malang mereka begitu mudah mengatakan mogok lapar tersebut adalah haram tetapi tidak langsung mengeluarkan pendapat mereka tentang perkara-perkara berikut :-

a. Apakah hukumnya bagi Umno yang bertindak “ menculik” tiga orang bekas Adun PR bagi menjatuhkan sebuah Kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat secara sah dalam Pilihanraya Umum 2008 yang lalu

b. Apakah hukumnya Umno menggunakan segala institusi keadilan seperti Polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah ( SPRM ) bagi memberi tekanan dan ancaman kepada Speaker Perak meskipun perbuatan pihak polis dan SPRM tidak ada sebarang asas di bawah undang-undang ? Adakah hanya kerana V. Sivakumar bukan beragama Islam maka kezaliman boleh dilakukan kepada beliau ? Jika ya, bagaimanakah kedua –dua tokoh agama ini ingin menjawab ayat Al-Quran yang menyatakan “ Janganlah kebencian kamu kepada satu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil, berlaku adillah kerana dengannya ( melakukan keadilan ) akan mendekatkan kepada taqwa.”

c. Apakah hukumnya ke atas mereka yang memfitnah Dato Seri Nizar siang dan malam bahawa beliau adalah penderhaka kepada Raja hanya kerana Nizar menyatakan kalimah “ patik memohon sembah derhaka” tatkala beliau diminta untuk meletakkan jawatan oleh Sultan Perak ? Bukankah fitnah lebih dahsyat dari membunuh ?

d. Mengapakah kedua-dua tokoh agama tersebut tidak pernah bersuara menyokong Kerajaan PR yang dipimpin oleh Nizar yang memberi semula bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat ( SAR ) dan memberi tanah sebanyak 1000 hektar kepada SAR sedangkan semua orang tahu Umno telah bertindak untuk mematikan SAR dan pernah juga menuduh SAR adalah sarang pengganas.

e. Apakah hukumnya tindakan biadap pihak polis dan disokong dan direstui oleh Umno yang menangkap orang ramai dengan sesuka hati hanya kerana mereka memakai baju hitam dan berhimpun secara aman bagi meminta Dun Perak dibubarkan ? Tidakkah kedua-dua tokoh agama ini sedar bahawa Haji Mohamad Sabu ditangkap kerana hanya ingin menganjurkan solat hajat di Perak ?

f. Adakah menangkap sesuka hati adalah sebahagian ajaran Islam ? Kalau ya terangkan kepada kami ayat Al-Quran atau Hadith manakah yang membenarkan hal tersebut ? Adakah diri dan jasad manusia tanpa mengenal agama tidak perlu dihormati ? Tidakkah Al-Quran menyatakan “ Sesungguhnya kami memuliakan Bani Adam” ? Bukankah Syaidina Umar r.a pernah menegur dengan keras Gabenor Mesir Amru Al’As apabila anaknya Muhammad memukul seorang rakyat qibti dengan kata-kata berikut “ Sejak bila kamu diberi lesen/permit memperhambakan sesama manusia sedangkan manusia itu dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan bebas”.

f. Apakah hukumnya Umno menggunakan polis yang bersenjata masuk ke dalam Dun Perak pada 7 hb Mei 2009 meskipun tiada sebarang undang-undang yang membenarakan polis berbuat demikian dan tindakan polis itu semata-mata kerana ingin mewujudkan kekacauan di dalam Dun . Adakah terdapat di dalam Islam hukum mengheret keluar dengan kasar seseoarang seperti Sivakumar ( termasuk dengan mengangkat kerusinya sekali ) dan meletakkannya di dalam bilik stor tanpa membenarkan beliau masuk ke dalam sidang Dun meskipun beliau adalah seorang ADUN yang sah . Adakah hanya kerana dia bukan Islam maka mulut kedua-dua tokoh agama ini dikunci dari berkata-berkata ? Tidakkah kedua-dua tokoh agama ini ingat apa yang Rasulullah s.a.w. katakana kepada sahabat yang menegur Baginda apabila Baginda bangun mengormati mayat seorang yahudi yang lalu di hadapan Baginda. Bukankah Rasullullah s..a.w mengatakan begini “ Alaisat Nafsan ! ( Tidak mayat itu juga makhluk ? ). Lihatlah
Rasulullah s.a.w bukan sahaja menghormati orang bukan Islam tetapi juga mayat orang Islam !!!

g. Islam mengajar pendamaian . Dalam konteks kes Perak semua orang tahu keadaan haru biru hanya dapat diselesaikan apabila dibubarkan Dun dan diadakan pilihanraya semula. Mengapakah kedua-dua tokoh agama ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan supaya Dun Perak dapat dibubarkan agar kedamaian dapat pulih semula di Perak.

h. Islam melarang sebarang amalan diskriminasi dan pilih kasih. Mengapakah kedua-dua tokoh agaman ini tidak bersuara apabila Mahkamah Rayuan dengan secara mudah dan cepat menggantung keputusan Mahkamah Tinggi apabila Zambry memohon penggantungan tersebut pada 12 hb Mei 2009 iaitu pada hari sama beliau membuat permohonan. Tidakkah kedua-dua tokoh agama tersebut melihat amalan pilih kasih apabila Nizar membuat permohonan bagi membatalkan penggantungan pada 13 hb Mei 2009 permohonan beliau hanya ditetapkan untuk pendengaran pada 21 hb Mei 2009 iaitu 8 hari selepas permohonan dibuat. Itupun pada tarikh 21 hb Mei permohonan Nizar tidak didengar kerana Rayuan Zambry juga ditetapkan pada tarikh yang sama . Bolehkah Islam menjustifikasi amalan tidak adil tersebut ?
Read more...

Mahkamah isytihar kerusi Ladang tetap milik PAS

oleh: Herman

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu kawasan Ladang tetap milik PAS setelah mengetepikan rayuan Barisan Nasional Terengganu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak petisyennya mencabar keputusan pilihan raya umum ke-12.

Dalam penghakimannya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, yang bersidang bersama Hakim Datuk S.Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, mendapati tidak ada perbezaan besar daripada segi undi pos yang dikira memandangkan hanya tiga undi pos yang mungkin disalah kira dan ditolak disebabkan nombor siri yang tidak sama.

“Tiga undi ini tidak mengatasi majoriti 31 undi yang diperoleh responden (Datuk Tengku Hassan Tengku Omar daripada Pas). Oleh itu, keputusan Hakim Pilihan Raya itu dikekalkan,” katanya dalam penghakiman yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Surita Budin.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas, Tengku Hassan menewaskan Datuk Wan Hisham Wan Salleh daripada BN dengan kelebihan 31 undi, tetapi BN menerusi ketua cawangan Umno Lorong Kemunting, Mahari Endut, memfailkan satu petisyen agar 127 undi pos yang ditolak pada hari pengundian itu, dikira semula.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak petisyen itu pada 22 September lepas kerana pempetisyen gagal membuktikan dakwaannya bahawa kerani Suruhanjaya Pilihan Raya tidak menjalankan tugasnya dengan betul dalam mengendalikan undi pos itu. BERNAMA

Read more...

Semua perlu gembleng tenaga selamatkan Islam

Oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Muktamar akan menjelang tidak berapa lama lagi. Ia bukan gelanggang untuk bertarung sesama sendiri atau menunjukkan bakat petah bercakap dengan menyusun ayat-ayat yang hebat hingga mampu memukau para perwakilan.

Penganjuran muktamar saban tahun sebenarnya adalah untuk melakukan muhasabah diri setiap ahli parti atau ahli gerakan Islam dalam rangka untuk menyelamat, memperkasa, menabalkan Islam sebagai cara hidup umat dalam segenap aspek. Islam perlu diusahakan sehingga ia dapat diterima oleh segenap lapisan bangsa manusia khususnya dalam negara Malaysia sebagai agama penyelamat dan pembawa rahmat seluruh alam.

Tidak kira siapa, apa jawatan, latar belakang pengajian, ulama, profesional, muslimat atau pemuda selagi mereka adalah ahli PAS, sekali gus ahli gerakan Islam, mereka adalah dituntut untuk menggembleng tenaga bagi memastikan kesinambungan agama Islam pada ketika Islam dihinjak, diperlekeh oleh golongan tertentu yang mempunyai agenda tersendiri untuk menyekat kemaraan Islam.

Kita sedar bahawa Islam semakin diterima di kalangan rakyat berbilang kaum dalam negara ini, ia hasil dari kesungguhan dan sumbangan semua ahli PAS dari setinggi-tinggi jawatan hinggalah ke peringkat akar umbi, kerana mampu menerajui masyarakat dengan membawa mesej Islam sebagai agama yang bersifat konprehensif dan universal.

Gambaran Islam rosak akibat tindakan penganutnya

Semua pihak dalam negara ini, sama ada yang beragama Islam atau tidak, dapat menyaksikan secara langsung bagaimana terdapat individu yang bernama Islam terlibat dalam memburuk-burukkan gambaran (tasawwur) dan syiar agama Islam dalam kehidupan rutin harian mereka.

Ada yang membunuh lalu meletupkan mangsa, menyamun, meragut, memecah amanah, mengeluarkan fatwa bahawa berenang di laut Inggeris kerana menaikkan nama negara walaupun tidak melakukan ibadat solat tidak menyalahi tuntutan agama Islam, berpegangan tangan malah berpelukan antara pasangan lelaki dan perempuan bukan suami isteri dalam lakonan tidak ditegah, kes buli melibatkan pelajar sekolah agama hingga membawa kematian dan ratusan lagi kes yang tidak menjadi contoh baik kepada bukan Islam apatah lagi Muslim yang longgar ikatan dengan Islam.

Penampilan 'Islam Hadhari' yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri sedikit pun tidak membawa erti konsep Islam yang sebenar dengan ketidak-mampuannya untuk membendung kemaraan gejala rasuah yang melibatkan golongan profil tinggi, malah menyusahkan umat, negara dan bangsa.

Boleh dikatakan bahawa Islam sejak akhir-akhir ini menjadi mangsa permainan politik pihak tertentu yang begitu ghairah untuk mencapai impian yang dicita-citakan walaupun melanggar prinsip matlamat tidak menghalalkan cara, bukan sahaja melanggar peraturan agama Islam sebagai agama tertinggi negara, tetapi melanggar peraturang yang dibuat sendiri oleh manusia.

Mereka lupa, bahawa Islam menjadi tanggungjawab ke atas setiap individu muslim/muslimah untuk memeliharanya dalam apa jua keadaan, percambahan drama atau filem bercorak seram sebenarnya boleh menggugat hubungan mereka dengan Allah SWT, yang akhirnya bukan takut kepada Allah tetapi takut kepada hantu, ia sedikit sebanyak menjejas akidah umat Islam.

Apakah alternatif yang disediakan PAS?

Penggemblengan tenaga oleh kumpulan-kumpulan PAS di atas yang terdiri daripada ulama, profesional, muslimat dan pemuda menjadi alternatif kepada masyarakat dalam negara ini. Islam sudah mula diterima di kalangan bukan Islam apabila melihat MB Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sering diperkatakan mereka sejak akhir-akhir ini.

Nama Tuan Guru menjadi sebutan di bibir bukan Islam khususnya dan di kalangan rakyat Kelantan amnya termasuk ahli-ahli Umno yang menyaksikan sendiri kepimpinannya yang berteraskan Islam telah memaut hati semua lapisan masyarakat termasuk golongan tua, muda, lelaki, perempuan, yang Islam dan bukan Islam semakin merasa selesa tanpa sebarang diskriminasi, apa yang Tuan Guru utamakan adalah konsep keadilan yang diperkenalkan Islam.

Begitu juga dengan kepimpinan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ang juga diceritakan kebaikan kepimpinannya di kalangan mereka yang berkunjung ke Kedah selepas setahun pentandbiran Pakatan Rakyat. Sesungguhnya kemelut di Perak juga memberi kesan positif kepada PAS dan Pakatan Rakyat apabila ramai anak-anak muda sudah mula bercakap tentang kepimpinan Menteri Besarnya, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Apa yang perlu difokuskan oleh ulama, profesional, muslimat dan pemuda dalam muktamar kali ini, ialah penelitian perancangan masa panjang dan pendek bagaimana mereka boleh menarik lebih ramai lagi individu di luar kotak PAS hingga dapat menerima Islam sebagai agama terbaik yang pernah mereka saksikan.

Dalam muktamar, lupakan persoalan yang kecil-kecil yang tidak boleh memberi input kepada Islam dan parti, kerana mengislamkan masyarakat adalah agenda yang lebih penting daripada segala-galanya, justeru setiap kelompok dalam PAS ada jabatan dan unit tertentu yang boleh difungsikan sebagai badan sokongan untuk tujuan tersebut.

Kita begitu yakin dan optimis, bahawa penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa, pegangan agama, kerjaya, gender dan sebagainya memberi harapan kepada kepimpinan PAS dalam muktamar kali ini bagi membuat resolusi terbaik yang lebih baik daripada sebelum ini hingga Islam berjaya dapat memerintah Malaysia pada masa akan datang dengan segala perancangan rapi hasil penggembelngan tenaga semua pihak dalam PAS.

Read more...

Thursday, May 21, 2009

Tazkirah Jumaat

Mengambil iktibar watak Sayidina Abu Bakar, Omar

oleh:Ustaz Zainudin Hashim (petikan daripada harakahdaily)

Bagi pengamal sirah para sahabat r.a., akan mendapati bahawa antara kedua-dua pimpinan tertinggi khilafah Islamiyah selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. iaitu antara Khalifah Sayidina Abu Bakar as-Siddiq dan Sayidina Omar bin al-Khattab, mempunyai perwatakan dan keperibadaan yang sama sekali berbeza antara satu sama lain.

Ini kerana ada yang ulama sirah seperti Prof Dr Yahya Ismail, pensyarah Hadis di Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar dalam buku sirahnya berpendapat, bahawa kelainan perwatakan yang ada antara kedua-duanya merupakan satu anugerah Allah yang paling besar ke atas umat Islam. Ini kerana Sayidina Abu Bakar sering dikaitkan dengan seorang yang bersikap lemah lembut dan mirip kepada sifat berkasih sayang, sementara Sayidina Omar pula ada yang mengaitkan dengan seorang yang tegas, berani dan agak sedikit keras.

Kedua-dua perwatakan tersebut sebenarnya amat diperlukan dalam sebuah 'jemaah Islam' seperti PAS yang bercita-cita memperjuangkan Islam dalam segenap aspek kehidupan, terutamanya memastikan undang-undang negara berdasarkan prinsip hukum Ilahi. Ini kerana kedua-dua cara dan penampilan kedua-dua pimpinan khalifah tersebut sesuai sepanjang zaman di mana wujudnya kambing-kambing hitam yang mahu menumbangkan pemerintahan secara tidak demokratik.

Apa yang kita boleh belajar daripada kedua-dua tokoh sahabat Rasulullah berkenaan, ialah salah seorang daripada keduanya memiliki sifat 'low profile' dan seorang lagi tegas, lebih-lebih lagi berlaku insiden atau tragedi yang menyanggah kesucian agama, ia dapat dilihat dalam satu peristiwa selepas berakhirnya perang Badar Kubra.

Dalam peperangan itu, umat Islam berjaya membunuh kira-kira 70 musyrikin dan menawan 70 yang lain, baginda Rasulullah s.a.w. tidak dapat memutuskan kedudukan 70 tawanan tersebut. Maka kedua-dua Abu Bakar dan Omar dipanggil untuk mendapatkan pendapat mereka. Sayidina Abu Bakar mencadangkan agar setiap daripada tawanan berkenaan mengajar 10 anak orang Islam mengenai hal-hal yang bersangkutan dengan ilmu peperangan, cara-cara membuat senjata dan sebagainya, jika projek itu berjaya bermakna 700 anak-anak orang mahir dalam bidang peperangan.

Rasulullah bersetuju dengan pendapat Abu Bakar itu, walau bagaimanapun baginda tetap mahu mendengar pendapat daripada Sayidina Omar pula. Omar juga menyatakan bahawa pendapat Abu Bakar itu ada kebenarannya, tetapi baginya disebabkan puak-puak musyrikin itu adalah punca kepada berlakunya penyelewengan terhadap umat manusia, maka beliau mecadangkan agar kesemua mereka yang ditawan itu dipancung sahaja kepala mereka.

Rasulullah s.a.w. tidak dapat nak memutuskan antara kedua-dua pendapat itu, namun baginda menegaskan bahawa mahu berjumpa mereka berdua pada keesokan hari di tempat yang sama. Pada malam itu Allah SWT memutuskan keputusannya mengenai kedudukan tawanan perang melalui ayat 67 surah al-Anfal sebagai teguran kepada Nabi: "Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum dia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Boleh dibuat kesimpulan mengenai ayat di atas, bahawa Allah SWT mahu agar Nabi-Nya membunuh (dengan memenggal kepala) para tawanannya, ada mufassir menyebut seolah-olah pendapat Omar menepati ayat yang telah Allah tentukan sejak di 'Luh Mahfuz' lagi kedudukan mereka yang menentang Rasulullah. Ia bukanlah satu pendapat yang memperlihatkan kegarangan Omar, akan tetapi merekalah punca ramai manusia menentang Allah SWT.

Setelah kewafatan baginda Rasulullah, tampuk pemerintahan diserahkan kepada Sayidina Abu Bakar dengan cara syura dijalankan. Abu Bakar berpegang prinsip yang menepati cara dan kaedah perwatakannya. Justeru beliau memilih orang yang tegas dalam memimpin ketumbukan perang agar ketahan Islam dapat dipelihara. Khalid Bin al-Walid menjadi pilihannya, kerana Khalid adala individu yang suka berperang dan mempunyai banyak pengalaman dalam peperangan.

Ringkasnya, apabila Sayidina Abu Bakar meninggal dunia, jawatan itu tidak dikekalkan Omar kepada Khalid, kerana Omar tahu bahawa beliau dan Khalid mempunyai watak yang sama, nanti mereka berdua akan bertindak mengarahkan agar umat Islam sentiasa berperang. Khalid menerima pelucutan jawatannya sebagai panglima perang, kerana beliau juga tahu keadaan tersebut, maka Sayidina Omar melantik Sa'ad Bin Abi Waqqas yang memiliki ciri-ciri yang ada pada Abu Bakar.

Maknanya, kedua-dua Sayidina Abu Bakar dan Omar memahami tuntutan berjemaah, di mana perlu ada seorang yang berwatak agak tidak keras dan seorang lagi berwatak agak tegas pada satu-satu masa. Inilah yang mereka belajar daripada Sirah baginda Rasulullah s.a.w. yang mahukan kedua-dua watak itu wujud dalam 'jemaah Islam'.

Maka dalam PAS juga yang menyifatkan dirinya Islamik, sudah tentu tidak boleh membebaskan dirinya daripada kedua-dua elemen penting itu yang mampu melonjakkan sebagai sebuah gerakan Islam, ia tidak berkecuali apa yang pernah terjadi kepada pimpinan Gerakan Ikhwan Muslimun dalam menentukan sikap mereka terhadap perjuangan Syiah, ada yang berlembut dan ada yang tegas menolak untuk berbaik dengan Syiah.

Dalam senario politik tanah air, banyak yang diperkatakan sejak akhir-akhir ini oleh pihak tertentu mengenai keperibadian kedua-dua tokoh tertinggi dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS), iaitu Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, seolah-olah suatu kecenderungan mahu melaga-lagakan antara mereka berdua. Bagi yang telah mengikuti huraian di atas, maka tidak akan ada lagi spekulasi yang membabitkan kedua-dua tokoh berkenaan.

Sebenarnya perbuatan seumpama itu akan merugikan perjuangan parti sendiri. Apa yang penting kita memiliki panduan iaitu al-Quran, jika sesuatu berita itu dilihat cenderung ke arah melaga-lagakan tokoh pimpinan PAS yang berusaha untuk mendaulatkan Islam, anggaplah ia sebagai sebuah berita yang didatangkan oleh golongan yang fasik, maknanya berita itu perlu diselidiki terlebih dahulu kesahihannya seperti yang diarahkan Allah untuk berbuat demikian menerusi ayat 6 surah al-Hujurat: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka hendaklah selidiki dengan teliti terlebih dahulu, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu."

Sebagai kesimpulan, bagi menjernihkan keadaan di kalangan ahli-ahli parti lebih-lebih lagi menjelang 'Muktamar Tahunan PAS' pada Jun depan dalam suasana pemilihan pucuk pimpinan parti, adalah diharapkan agar setiap perwakilan dapat menggunakan kewarasan cara berfikir dengan tidak bertindak secara melulu, lebih-lebih lagi isu yang mengaitkan ketokohan kedua-dua pimpinan tertinggi PAS yang semakin panas di dada akhbar dan laporan siaran berita yang mempunyai agenda tersendiri.

Read more...

Monday, May 11, 2009

Pusat Tarbiyyah Ehsan (PUTEH)


Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T, dengan limpah kurniaNya, dapatlah PUTEH membina blognya sendiri untuk memberi maklumat dan informasi terkini mengenai program dan aktiviti terkini dan semasa serta aktiviti lampau yang telah dilaksanakan oleh PUTEH.
PUTEH adalah satu singkatan bagi Pusat Tarbiyyah Ehsan yang merangkumi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Cawangan Taman Ehsan/Desa Jaya bagi DUN Paya Jaras serta menjadi nadi untuk Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).
Read more...