Gerakan dakwah di Selangor bakal diperkasakan
oleh: Muhammad Arif Ismail | |
Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Dato' Dr Hasan Ali berkata gerakan Islam bakal diperkasakan dengan memperbanyakkan program dakwah di negeri ini. "Apa yang saya harapkan ialah natijah yang baik iaitu tidak lain dan tidak bukan, Kerajaan Negeri kena memperkasakan lagi gerakan Dakwah di Selangor," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Konvensyen Dakwah Negeri Selangor tahun 2009M bersamaan 1430H Dewan Seminar, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dekat sini semalam. Program ini dianjurkan oleh Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) turut dihadiri oleh Pensyarah Universiti Malaya, Ust Roslan Mohammad dan Pendakwah Bebas, Abdul Ghani Shamsudin dan Mufti Selangor, Dato' Mohd Tamyes Abd Wahid. "Ini merupakan siri-siri lanjutan yang diadakan tahun lepas, pada hari ini kita dapat mengumpul seluruh Selangor, daripada universiti, pertubuhan, jabatan kerajaan dan swasta. "Bagi membincangkan beberapa kertas kerja yang dibuat oleh beberapa orang pendakwah yang terkenal di Negara kita seperti Ust Roslan Mohammad dan Abdul Ghani Shamsudin," katanya. Ahli Dewan Undangan (Adun) Gombak Setia itu juga berkata, sambutan kepada Konvensyen ini sangat baik, kehadiran pun sangat baik, kertas kerja pun disampaikan dengan begitu baik oleh pembentang yang berkaliber. Sementara itu, katanya, bagi memperkasakan gerakan dakwah di Selangor katanya, Kerajaan Negeri akan mengadakan program bulanan yang dipanggil Forum Perdana Ehwal Islam bersiri dan bersilibus. "Apa yang dimaksudkan dengan bersiri ialah program ini diadakan setiap bulan, setiap hari sabtu malam Ahad, minggu kedua setiap bulan. "Apa erti bersilibus ialah ia mencakupi empat kompenan utama dalam Islam, iaitu Akidah, Syariah, Akhlak dan juga Ibadah. "Pada 13 Jun ini, kita akan mengulas mengenai kedudukan, menangani permasalahan akhlak dalam masyarakat, keluarga dan remaja bahkan warga emas pun menghadapi pelbagai masalah akhlak," jelasnya. Menurutnya, bagi menangani isu permasalahan akhlak yang semakin menular sekarang, pada minggu lalu, Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan dengan 100 wakil dari peniaga arak. "Apa yang kita buat sekarang ialah kita mendengar luahan dari pengusaha kedai yang menjual minuman ini di premis masing-masing di seluruh negeri ini seperti 7 Eleven, Tesco, Giant dan Carrefour. "Hasil perbincangan ini nampaknya menjurus ke arah positif. Namun, ada pihak kurang memahami mengenai isu ini kerana mereka kurang memahami enakmen yang ada di Negeri ini. "Selagi kita tidak membaca enakmen jenayah Selangor dan enakmen pentadbiran agama negeri Selangor selagi itulah kita tidak dapat sebenar nak meletakkan kedudukan arak. Sama ada dikaca mata orang bukan Islam dan orang Islam,"jelasnya lagi. Tambahnya lagi, apabila semua rakyat Selangor sudah memahami peruntukan yang ada dalam Enakmen ini. Pertama, minuman arak ini ditegah kepada orang Islam sahaja. "Kedua, kalau yang bukan Islam ditetapkan 18 tahun kebawah tidak dibenarkan sama sekali untuk membeli minuman arak di premis-premis perniagaan dan 18 tahun keatas diharuskan untuk membeli. "Ketiga, kita juga telah memikirkan apa juga cara-cara terbaik supaya penjualan arak dapat diasingkan dengan penjualan minuman lain dan juga kita juga akan membuat iklan yang besar yang mengatakan dari segi Islam arak adalah haram ditegah membeli arak," ujar beliau. Beliau berharap agar orang melayu yang beragama Islam dapat menghindarkan diri dari tegahan Allah. "Sesiapa sahaja orang Islam tidak dibenarkan langsung ada yang mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung tentang arak ini. "Hatta yang memproses arak diharamkan begitu juga yang menghidangnya, mencuci gelasnya pun haram dan menama pokok untuk dijadikan arak pun tidak boleh," katanya. Sementara itu, Abdul Ghani Shamsudin dalam pembentangan kertas kerja yang bertajuk, 'Teknologi maklumat sebagai medium dakwah yang berkesan' menegaskan, pendakwah perlu memiliki kemahiran untuk menelusuri pelbagai laman rujukan untuk hasil terbaik. "Mereka perlu bijak, pandai memilih dan tahu kaedah memanfaatkan wahana ini dengan pencarian Google perkataan 'al Quran Online' menunjukkan 1,990,000 pautan yang berkaitan dengan perkataan itu. "Antara laman web al Quran yang berfaedah ialah holyquran.net, al-islam.com, terjemahan al quran, rujukan seperti tafsir online dan belajar baca al quran serta berkenaan dengan hadith pula dapat diikuti di Islam Web Net," katanya |
No comments:
Post a Comment