Friday, October 30, 2009

Krisis Dalaman Pas Menurut Dr Mohd Asri

Walaupun saya mempunyai perbezaan pendapat dengan PAS dalam perkara-perkara tertentu, namun saya akur kewujudan PAS dalam kerangka negara demokrasi adalah satu keperluan politik. Ini bagi mengimbangi monopoli politik yang akhirnya akan mencetuskan pemerintahan yang tidak memperdulikan hasrat dan cita rakyat.

Sekalipun saya mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa persoalan asas dan pendekatan, namun sebagai rakyat Malaysia saya melihat kejatuhan atau kemusnahan PAS dalam keadaan semasa boleh mengundang impak negatif dalam percaturan politik negara.

PAS jika berpegang dengan prinsip Islamnya, dapatlah melindungi identiti Islam yang sepatutnya sentiasa zahir atau mendominasi keadaan negara dan masyarakat Malaysia. Maka adalah dibimbangi adanya usaha menghancurkan PAS secara langsung atau tidak langsung.

Bisikan Halus

Saya berpendapat, krisis dalaman PAS kini amat berkait dengan ‘bisikan halus’ yang dibisikkan oleh pihak tertentu kepada ‘telinga’ di kalangan pemimpin utama PAS. Bisikan datang dari satu pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda tersendiri dan mempengaruhi pihak-pihak tertentu.

‘Pembisik’ hanya menumpukan perhatian kepada agenda politiknya sahaja sekalipun menggadaikan atau menggugat keteguhan parti orang lain. Jika dalam sejarahnya, pihak pembisik ini pernah hampir merebahkan parti lain, maka tidak mustahil ia akan berlaku kepada PAS.

Krisis kali ini agak serius. Ia mungkin boleh didramakan seakan sudah tamat, tetapi bak kata “I can forgive, but I cannot forget”. Luka ini akan terbuka pula di masa hadapan dan akan mempengaruhi secara langsung dan tidak langsung perhubungan, tindakan, kepercayaan dan perasaan antara sesama PAS.

Hikmah

Saya berharap antara hikmah kejadian ini adalah dapat membuang perasaan fanatik sesetengah pihak yang berlebihan atau melebihi patut kepada pemimpin tertentu.

Pendapat atau pandangan seseorang pemimpin bukan dinilai dari segi nama, atau gelaran, atau peribadi semata, tetapi yang paling mustahak dilihat alasan dan hujah yang dikemukakan dalam setiap pendapat.

Apabila bertembung antara pemimpin dengan pemimpin, ahli PAS mesti menggunakan kebijaksaan, ketajaman minda, penilaian seimbangan dalam membuat keputusan, bukan hanya dengan emosi semata.

Sudi Menerima Pandangan

Satu perkara yang wajar PAS akui ialah ramai orang dalam PAS yang sangat sensitif jika ada teguran luar. Jika tidak disambut teguran itu dengan maki hamun pun, unsur-unsur mengutuk pemberi pendapat itu akan muncul. Bukan sahaja orang bawahan, bahkan pihak atasan PAS.

Sebagai contoh yang terkini, lihatlah jawapan Ketua Penerangan PAS Pusat terhadap pandangan seorang tokoh akademik yang terkenal cenderung kepada PR, Prof Dr Aziz Bari. Dalam menjawab kritikan kekalahan PAS di Bagan Pinang, Ketua Penerangan PAS itu menulis:

“Sebagai seorang Prof dan ahli akademik janganlah mengambil data di tepi jalan yang tidak ada kesahihan. Biarlah tuduhan ini dibuat oleh mereka yang tidak bergelar Prof. Memanglah menjadi ahli akademik senang membuat hipotesis daripada bilik berhawa dingin.

Tetapi menjadi ahli politik pembangkang berat lagi mata memandang maka berat lagi bahu memikul. Kita janganlah menjadi penganalisa politik yang tidak terjun medan, waktu kalah semua hendak menuding jari. Sewaktu menang di tujuh PRK tidak ada pula komen mengatakan pimpinan Pas cerdik, apabila kalah semua buat tuduhan.

Prof Aziz tahu atau tidak keadaan demografi Bagan Pinang. Beliau pergi atau tidak ke kawasan pilihanraya tersebut. Berjumpa atau tidak dengan masyarakat pengundi Bagan Pinang. Tahu atau tidak berapa ahli cawangan Pas dan dan ahli umno di kawasan itu. Keadaan di Bagan Pinang kalau Prof Aziz Bari bertanding pun akan kalah..”.

Inilah layanan terhadap kritikan yang saya kira jujur dari Prof Dr. Aziz Bari. Saya tidak menyatakan saya setuju atau tidak dengan pandangan Dr. Aziz Bari, tetapi saya hairan melihat bahasa sindir dan kutuk yang digunakan, padahal Dr Aziz Bari boleh dikatagorikan sebagai rakan mereka. Jika pun kita tidak bersetuju, gunakanlah uslub atau gaya bahasa yang lebih terhormat.

Bagaimanakah keadaan seperti ini jika PAS berjaya membentuk kerajaan, dan orang-orang awam, ahli akademik serta berkecuali ingin menyampaikan pandangan?! Saya bimbang ruang demokrasi atau bersuara akan menjadi semakin sempit. Pun begitu, alhamdulillah dalam suasana krisis ini, sudah ada pihak dalam PAS juga yang cuba menilai pandangan luar.

Akhirnya, PAS hendaklah benar-benar tahu siapakah musuhnya yang sebenar.

Beberapa perkara berikut patut difikirkan oleh PAS;

1. Siapakah yang boleh mengheret PAS melanggar prinsip-prinsip Islam yang holistik yang bukan sekadar isu tahalluf siyasi semata?
2. Siapakah yang ‘sebenarnya’ mencetuskan permusuhan dalaman secara langsung dan tidak langsung dalam PAS selama ini?
3. Jika PAS berfikir ada pemimpinnya yang patut disingkirkan, maka penyingkiran itu adakah atas alasan pelanggar prinsip, atau sekadar pelanggaran pendekatan?
4. Antara mengerat ‘orang dalam’ dan mengerat ‘orang menumpang’ yang menyusahkan; manakah yang patut diutamakan?
5. Adakah PAS yang memerlukan PR atau PR memerlukan PAS?
6. Adakah agenda Islamik itu yang lebih besar dalam PAS atau agenda politik PR?
7. Apa beza dari masa depan Islam antara kerjasama dengan DAP dan PKR dan kerjasama dengan UMNO?

- Dr Mohd Asri Zainul Abidin, USM.

Saya faham benar siapa 'pembisik' yang dimaksudkan oleh Ustaz Asri. Saya lebih bersifat terbuka jika ada pandangan yang kadang-kadang mengkritik Pakatan Rakyat. Adakah dengan mengkritik Pakatan Rakyat, kita dianggap ajen UMNO? Jadilah warga Malaysia yang benar-benar berjiwa merdeka yang sanggup mendengar dan menerima teguran dan juga berani membuat teguran.

Read more...

Saya tegur PAS sebab PAS penting dalam Pakatan Rakyat - Prof Dr Aziz Bari

Saya menyinggung politik dalam Pas kerana saya melihat parti ini penting dalam Pakatan Rakyat. Dan Pakatan pula penting dalam politik baru Malaysia.

Seterusnya politik baru ini kritikal dalam membina sistem dua parti yang akan menentukan sama ada perlembagaan kita dapat diperkasakan atau terus dimanipulasi untuk kepentingan politik sebagaimana yang kita saksikan selama ini.

Sesiapa yang menafikan bahawa perlembagaan telah dikembirikan selama 52 tahun ini adalah jahil dan menipu dirinya sendiri. Selain tindakan UMNO, istana dan mahkamah dalam krisis politik di Perak apa yang dilakukan sejak merdeka juga sebenarnya telah menghambat perkembangan kemerdekaan.

Jika ada yang tidak percaya silalah teliti laporan Suruhanjaya Reid dan draf yang mereka sediakan dan bandingkan dengan dokumen perlembagaan yang ada hari ini. Kaji juga keputusan-keputusan mahkamah sejak merdeka.

Memang Pakatan belum tentu tidak jadi macam Barisan Nasional. Tapi saya fikir kita perlu realistik dan beri mereka peluang. Jika mereka gagal kita akan letakkan kembali Barisan di tempatnya sekarang. Dalam sistem demokrasi yang kita amalkan ini sahaja cara yang kita boleh lakukan.

Inilah gambar besar yang kita harus perhatikan. Bukan soal remeh temeh yang para pencacai politik cuba paparkan dalam blog-blog mereka. Apakah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah nyanyuk dan menyusukan kera di hutan tidak relevan. Begitu juga dengan mereka yang cuba menonjolkan betapa Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi mangsa dan perlunya orang baik ini dipertahankan.

Rakyat yang sedar kepentingan negara tidak bicara soal individu. Kita bicara soal arah dan masa depan negara. Tentang perlunya sistem negara ini diperbetulkan. Proses ini sudah pasti panjang dan berliku.

Apa yang berlaku dalam Pas adalah salah satu daripada mata rantainya. Proses sama sudah bermula dalam PKR. Ini baik. Tak perlulah kita bertengkar tentang namanya. Kalau nak kata krisis pun katalah. Yang penting ia ubat yang akan menyembuhkan penyakit-penyakit yang ada.

UMNO baru sahaja mendapat suntikan baru dan ia pastinya tak senang dengan perkembangan itu. UMNO mahu Pas terus kekal dengan bisul yang sekarang cuba diubati oleh Nik Aziz. Sebab itu media miliknya ramai-ramai mengatakan bahawa krisis Pas dan PKR itu adalah tanda bahawa musuh ketat mereka sudah mula buang tabiat. Sebagaimana orang Pas dan PKR mengejek pergelutan dalam UMNO.

Sebagai rakyat yang prihatin kepada hidup mati negara kita tidak harus terjebak dengan gelagat dan permainan ahli-ahli politik seperti mereka. Kita perlu fokus kepada gambar besar tadi. Kita perlu lupakan soal-soal yang tidak wujud dan remeh seperti kedudukan dan perpaduan Melayu, Islam dan macam-macam lagi. Lagipun sejak bila yang UMNO prihatin sangat dengan Melayu dan Islam ini?

Gambar besar yang dikatakan tadi merujuk kepada imej Pas dan ini berkait dengan persepsi rakyat kepada parti itu. Dalam senario dan landskap yang ada sekarang Pas cuma boleh mendapat sekitar 40 peratus undi Melayu. Ini bermakna ia perlu mengekalkan sokongan bukan Melayu jika hendak mengekalkan kedudukannya sekarang.

Ini bukan soal menjual maruah Melayu dan Islam. Sebaliknya ia adalah cabaran kepada Pas bagaimana hendak menjelaskan konsep-konsep negara kebajikan dan Pas untuk semua yang telah dimulakannya. Abdul Hadi gagal di sini. Atau memang tidak mampu. Dalam keadaan sebegitu dia dan kawan-kawannya sembunyi-sembunyi berkira dengan UMNO.

Kita tak peduli apa namanya. Kita juga tak peduli sama ada mereka masih lagi meneruskannya atau tidak. Yang jelas aktiviti itu telah membolehkan UMNO memberikan ciuman maut buat Pas dan sekarang virusnya merebak dalam parti. Ia menyebabkan syak wasangka dan menimbulkan kemarahan bukan Melayu.

Abdul Hadi dan kumpulannya perlu ingat bahawa UMNO mahu memujuk bukan Melayu dan sekiranya Pas boleh digambarkan berada bersamanya itu sudah cukup baik. Dalam keadaan itu hanya tinggal DAP dan PKR sahaja yang perlu ditangani.

Imej Pas sudah tercalar dan Nik Aziz sebagai seorang pemain yang licik dapat menghidunya. Abdul Hadi dan kawan-kawannya semacam terlupa siapa yang mengundi mereka dalam PRU ke 12. Jika tidak masakan Datuk Dr Hassan Ali terus berdegil dan cuba menjaringkan gol sendiri! Saya sudah beritahu bahawa beliau boleh lakukan apa yang dibuatnya itu. Tapi kenalah letak jawatan dan jadi penyokong kerajaan sahaja.

Sehingga ini nampaknya usaha Nik Aziz belum disekat secara rasmi meskipun ada suara-suara yang mempersoalkan. Tak kiralah apa cara dan namanya. Muktamar khas atau sekadar mesyuarat majlis syura atau mesyuarat jawatankuasa agung membincangkan isu itu. yang penting persepsi rakyat diperbetulkan sebelum pilihan raya kecil yang akan datang.
Read more...

Thursday, October 29, 2009

BAGAIKAN DIJANJI - YB HJ NIZAR MENGIRINGI TUANKU RAJA MUDA MELAWAT JAMBATAN RUNTUH



Kebetulan atau bagaikan di janji, YB Dato' Seri Hj Nizar telah mengiringi Tuanku Raja Muda Perak melawat tapak berlakunya jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang semalam.

YB Hj Nizar telah berada di tapak jambatan gantung runtuh 2 jam sebelum ketibaan Tuanku. Sambil menunggu ketibaan Tuanku, beliau berjumpa dan bersalaman dengan pihak polis, bomba, pegawai-pegawai dari Kementerian dan Jabatan Pendidikan serta Adun-adun BN yang turut berada di situ.

Beliau sempat memberi pandangan kepada wartawan, polis, bomba, pegawai kerajaan dan yang lain-lain sebagai seorang jurutera profesional betapa silap dan salahnya kontraktor binaan tersebut yang membuat jambatan tanpa menggunakan plan asal yang mesti mempunyai spesikasinya. Beliau percaya kontraktor tidak ikut spesikasi yang sebenar.

Sehinggalah Tuanku tiba, YB Hj Nizar turut menyambut dan mengiringi tuanku sehingga tuanku berangkat pulang. Sepanjang mengiringi tuanku, orang ramai menyaksikan sendiri betapa akrabnya tuanku dengan YB Hj Nizar. Tertolaklah segala tohmahan UMNO BN kononnya Hj Nizar derhaka pada tuanku, mana mungkin orang yang derhaka pada tuanku, boleh bersama tuanku tanpa sedikitpun rasa bersalah atau malu.

Bukan sekali ini, YB Hj Nizar bersama dalam majlis bersama tuanku, sebelum inipun selepas UMNO BN tuduh Hj Nizar derhaka pada tuanku, Hj Nizar tetap menghadiri majlis bersama tuanku apabila dapat jemputan, dan ternyata hubungan tetap akrab dan mesra.

oleh: Misbahul Munir Masduki Setiausaha Politik YAB MB Perak
Read more...


Tiada EGM, PAS ganti dengan seminar

KUALA LUMPUR: PAS mengambil keputusan untuk tidak mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) seperti yang dibangkitkan oleh Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebaliknya parti itu akan mengadakan seminar politik bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan untuk memperkasakan parti.

"EGM tak ada, kita bersetuju EGM tak ada tapi diganti dengan seminar.

"Keputusan ini dicapai sebulat suara setelah mengambil kira pandangan Mursyidul Am sendiri, beliau memberi pandangan agar sebolehnya diadakan sesuatu untuk mengumpulkan akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat bersama barisan pesuruhjaya negeri yang berlangsung lebih empat jam.

Menurut Abdul Hadi, seminar yang akan diadakan pada 7 November depan akan dihadiri oleh kira-kira 1,000 perwakilan dari seluruh negara yang akan membincangkan isu-isu semasa dalam PAS.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz dalam blognya, www.blogtokguru.com mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin parti itu yang bermasalah bagi membersihkan parti daripada golongan pro-kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno yang bertentangan keputusan Muktamar PAS Jun lalu.

Tiga pemimpin yang disebut dalam blognya ialah Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali; dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Ditanya sama ada Nik Abdul Aziz memberikan penjelasan berhubung tuduhan yang mengatakan terdapat di kalangan pemimpin parti itu cuba melakukan penyatuan dengan Umno, Abdul Hadi berkata: "Itu tidak ada, tuduhan itu tidak ada, beliau dah jelaskan... beliau puas hati."

Dalam perkembangan yang sama, Abdul Hadi berkata, mesyuarat khas ini juga telah mengarahkan jawatankuasa disiplin parti menyiasat mengenai beberapa tuduhan terhadap PAS Selangor.

"Isu yang berkait dengan Selangor, yang juga terdapat beberapa tuduhan dan beberapa pandangan, perkara ini kita serah kepada jawatankuasa disiplin parti yang dipengerusikan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan pasukannya untuk menyiasat sejauh mana kebenaran tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu," katanya.

Ditanya sama ada siasatan itu akan memfokuskan kepada individu tertentu seperti Dr. Hassan, Abdul Hadi menegaskan siasatan akan dijalankan secara keseluruhan.

"Untuk siasat tuduhan yang dikatakan dalam isu Selangor... Selangor sahaja," katanya.

Abdul Hadi juga berharap siasatan berkenaan beberapa isu yang enggan didedahkan itu boleh diselesaikan secepat mungkin.

Read more...

Wednesday, October 21, 2009

Speaker Halal Vs Speaker Haram

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Motto 1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib nampaknya tidak berlaku di Perak. Di Perak rakyat disajikan dengan dua Menteri Besar iaitu MB halal ( Nizar ) dan MB haram ( siapa lagi kalau bukan Zambry ) Seterusnya Speaker halal ( V.Sivakumar ) dan Speaker haram ( R. Ganesan ).

Kewujudan dua MB dan dua Speaker di Perak adalah hasil kraftangan Najib sendiri. Beliaulah yang tanpa segan silu merompak Kerajaan sah Perak yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR).

Dari segi undang-undang dan Perlembagaan, Najib dan Umno sedar bahawa mereka tidak mampu berhujah untuk melawan V. Sivakumar. Kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah adalah terlalu jelas dan luas. Tetapi memandangkan Najib dan Umno bukanlah spesis yang ada maruah dan harga diri mereka menggunakan ( baca salah guna ) apa sahaja kuasa yang ada untuk menjatuhkan Sivakumar

Apa yang Najib dan Umno tidak lakukan untuk menjatuhkan Sivakumar.

Mula-mula Umno guna SPR untuk mengenepikan keputusan Sivakumar yang memutuskan kerusi tiga “katak” telah kosong. Apabila Sivakumar menggantung Zambry dan enam exconya yang haram Umno guna pula polis untuk soal siasat Sivakumar. Tidak cukup polis , Umno guna pula SPRM untuk soal siasat Sivakumar. Apabila polis dan SPRM tak jalan, Umno guna pula Mahkamah . Kita tentu tidak lupa usaha Umno yang menghalang Sivakumar untuk guna khidmat peguamnya sendiri bagi mewakili beliau. Malahan apabila Sivakumar mahu mewakili diri sendiri peguam Umno juga membantah.

Tidak cukup guna SPR, Polis , SPRM dan Mahkamah untuk mengenepikan Sivakumar sebagai speaker yang sah dan halal , Umno tanpa rasa malu dan bermaruah tergamak menggunakan cara yang paling kurang ajar dan paling tidak bertamadun melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah pada 7 Mei 2009 yang lalu.

Demi kuasa Umno tergamak salahguna polis untuk mengangkat Sivakumar ( dengan kerusinya sekali ) dan mengurung beliau dalam stor. Kerana kuasa Umno lupa bahawa jika sekalipun mereka ingin melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker , Umno tidak boleh sama sekali megusir Sivakumar dari dewan persidangan DUN Perak . Sivakumar adalah wakil rakyat atau ADUN yang sah , justeru itu beliau layak berada di dalam dewan persidangan.

Tanpa segan silu Umno tergamak langgar Perlembagaan dan amalan Perlembagaan ( constitutional convention ) apabila melantik V. Ganesan sebagai speaker yang haram pada 7 hb Mei 2009 yang lalu.

Dari sudut undang-undang dan amalan Perlembagaan segala urusan rasmi sidang DUN Perak ( order of business ) hanya boleh dibuat setelah persidangan DUN Perak dengan secara sah membuka urusan rasmi tersebut ( had lawfully opened for business ).

Jika dilihat kepada Standing Orders bagi DUN Perak tiada peruntukkan secara jelas berkaitan dengan persidangan DUN Perak pada 7 Mei tersebut. Oleh itu berdasarkan Standing Order No 90 amalan-amalan di Parlimen di Negara-Negara Komenwealth boleh digunapakai sekiranya Standing Orders tidak mempunyai peruntukkan yang jelas .

Buku Erskine May’s Treatise on the Law, Privileges, Proceedings and Usage of Parliament adalah satu buku yang selalu dirujuk dalam isu-isu yang berkaitan dengan prosedur Parlimen di negara-negara Komenwealth. Di dalam buku tersebut pengarang telah menyatakan

“ Dalam mana sessi Parlimen kecuali sessi Pertama ( Pembukaan ) Parlimen , sessi dikira bermula dengan ucapan Raja England ( Queen ) . Sehingga sidang diisytiharkan mula oleh Raja kedua-dua Dewan tidak boleh mulakan sebarang urusan awam yang rasmi. Amalan ini diikuti kerana tiada mana-mana urusan di Parlimen boleh dijalankan sehingga Parlimen itu sendiri dibuka secara rasmi oleh Raja ( no business can be transacted until Parliament has been opened by the Crown)"

Selanjutnya di dalam buku Halsbury’s Laws of England di bawah tajuk (v) Proceedings at the Opening of Parliament ... 713 The Queen’speech dinyatakan seperti berikut

“ Tiada mana-mana Dewan boleh meneruskan apa-apa urusan awam sehinggalah sesuatu sessi itu telah dibuka oleh Raja secara sendiri atau melalui Pesuruhjaya Lord yang bertindak bagi pihak Raja ( Queen ).”


Di dalam buku Griffith and Ryle on Parliament : Functions, Practice & Procedures.” (2nd Ed. 2003) pengarang tersebut juga menyatakan perkara yang sama

Di England, apabila Raja telah mula membuka sessi Parlimen ( di sebelah pagi ) maka urusan awam dan rasmi Dewan Rakyat ( House of Commons ) akan hanya dimulakan jam 2.30 petang.

Dalam konteks kes Perak pula adalah jelas pada 7 hb Mei 2009 ucapan Sultan Perak hanya dibuat pada jam 3.16 petang sehingga jam 3.47 petang. Maka dari segi undang-undang apa sahaja urusan rasmi DUN Perak ( termasuk usul untuk memecat Sivakumar dan melantik Ganesan ) hanya boleh dibuat selepas jam 3.47 petang.

Namun Umno dengan kesombongan dan kebodohan mereka telah mengangkat dan mengusir Sivakumar dan seterusnya melantik Ganesan sebagai speaker haram sebelum sessi DUN Perak bermula iaitu sebelum ucapan Raja Perak dimulakan pada jam 3.16 petang

Oleh itu sebarang resolusi atau usul yang diluluskan oleh Umno pada sidang DUN Perak pada 7 Mei 2009 termasuklah usul memecat speaker yang sah dan halal dan melantik speaker yang haram adalah tidak sah.

Tidak cukup Ganesan telah dilantik secara tidak sah, Umno sekali lagi melakukan kesilapan bodoh apabila gagal memastikan Ganesan meletakkan jawatan sebagai peguambela dan peguamcara dalam masa 3 bulan daripada tarikh beliau dilantik sebagai speaker yang haram iaitu pada 7 Mei 2009.

Ganesan hanya memfailkan Notis Pemberhentian sebagai peguam dan menghantar Surat Akuan Sumpah pada Majlis Peguam pada 17 Ogos 2009 sedangkan di dalam Perlembagaan Perak beliau sepatutnya berhenti menjadi peguam sebelum 7 hb Ogos 2009.

Memandangkan Ganesan adalah speaker yang haram maka tindakan beliau memanggil sidang DUN Perak pada 28 Oktober 2009 ini adalah satu tindakan yang tidak sah dan tiada sebarang nilai di sisi undang-undang. Tapi jenis spesis Umno ni dia orang kisah ke pada benda-benda haram !!!
Read more...